Thursday, May 27, 2010

TERIMA KASIH GURU

16 Mei yang lalu khalayak di Malaysia meraikan Hari Guru buat menghargai jasa dan sumbangan para guru. Tidak sedikit yang menyanggah sambutan hari ini dengan mengatakan penghargaan buat guru tidak seharusnya terbatas pada waktu tertentu. Apapun dengan adanya tanggal tertentu untuk ‘Hari Guru’ dirasakan penghargaan buat usaha murni para guru dapat dilahirkan secara tersusun dan formal. Tak salah kan?

Diri ini juga tidak ingin ketinggalan dalam menyuarakan cetusan hati bersempena hari ini. Mungkin catatan ini agak sedikit keterlewatan - 10 hari terlewat. Namun, bak kata Hlovate – better late than never but still… it’s better to never be late.

Catatan ini sebenarnya ingin merungkai rasa terima kasih buat semua guru yang pernah memberi ilmu, mengajar dan mendidik diri ini. Buat semua guru yang pernah mendidik semasa di:
- Fatima Kindergaten Bukit Nanas, KL (1977 – 1978)
- Convent (2) Bukit Nanas, KL (1979 – 1984)
- Kolej Tunku Kurshiah, NS (1985 – 1989)
- Sek. Tuanku Abd Rahman, Ipoh (1989 – 1990)
- Pusat Matrikulasi USM, PP (1990 – 1991)
- University of Adelaide (1992)
- University of South Australia (1992)
- University of Flinders (1992)
- University of Western Australia (1993)
- Pusat Pengajian Pengurusan, USM (1994 – 1998)
- Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (Ekonomi), USM (1999 – 2002)
- Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (Perancangan dan Pengurusan Pembangunan), USM (2003 – 2006)
- Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam), USM (2007 – 2008)

TERIMA KASIH YANG TIDAK TERHINGGA DIUCAPKAN

Kiranya dicatat satu persatu nama wahai guru tidaklah mungkin. Namun kiranya diizinkan, di sini diperturunkan ucapan terima kasih buat sebahagian kecil dari keseluruhan yang berjasa agar mungkin dapat menggambarkan pengorbanan, kesukaran, kepayahan, ketabahan dan kesabaran insan yang bernama guru dalam proses melahirkan diri ini yang ada pada hari ini, tika ini, saat ini.

Antaranya:

Ma’am Principal Fatima Kindergarten – yang sering ada mendakap apabila ketakutan tiap kali imaginary hantu stokin menjelma. Lama selepas itu baru difahami bahawa staf di Kindergarten yang mengenakan pakaian biarawati serba putih bukanlah makhluk-makhluk yang harus ditakuti.

Mrs. Kumari – yang sering memastikan bekalan makan dan minum yang dititip ibu dihabiskan sewaktu rehat.

Puan Hasnah – yang telah menyelamatkan uniform baju sekolah daripada terbakar bahana anak-anak mancis buat alat bantuan pengajaran Ilmu Hisab yang menyala secara tidak sengaja di dalam poket.


Puan Faridah – yang ada merawat ketika tangan disengat tebuan tatkala menikmati air gas di bawah pohon Semarak Api tatkala waktu rehat.

Puan Fatimah – yang telah menunjukkan cara-cara bermain bola jaring dengan penuh kesabaran hingga akhirnya melahirkan seorang wakil pemain bola jaring bagi Matrikulasi Sains USM.

Cik Rohana – yang pernah pengsan di hadapan mata akibat terlalu keletihan menanggung beban tugas seorang guru sekalipun bibir tidak pernah menuturkannya.

Mrs. Pickering – yang telah menghukum – mungkin lebih sesuai diistilahkan sebagai ‘mendidik’ sekumpulan kami dengan meminta berdiri di atas pentas sepanjang perhimpunan sekolah kerana bermain rounders dalam hujan di padang sekolah sebelum waktu persekolahan bermula sehingga mengotorkan kasut sekolah. Hingga ke sudah apabila hujan sahaja kasut sekolah akan sedaya upaya dipelihara ‘keputihannya’.

Mr. Eddy – yang telah menjadikan mata pelajaran Sejarah tidak menjenuhkan apabila menayangkan filem-filem sejarah yang sangat memberi kesan.

Mr. Cheok – yang memupuk minat untuk melukis peta-peta dalam subjek Geografi dan ‘mengaler’-nya dengan penuh semangat. Memori melukis dan me'ngaler' ini menerjah kembali ingatan bila ada antara negara tersebut yang diziarahi kini.

Puan Nora – yang memberi kepercayaan mewakilkan kolej untuk Kuiz Sastera hingga akhirnya aliran inilah yang diceburi sepenuhnya.

Mr. Tan Hock Ann – yang memperkenalkan istilah-istilah menarik biologi seperti krofil, fotsinsis dan segai-segainya.

Mr. Tan Chuan Yee – yang bersabar apabila dikunci dan tidak dibenarkan masuk ke kelas kerana sebahagian besar kelas allergic dengan Add. Maths. Mohon maaf ya Mr. Tan. Kesalahan ini kembali diingati tiap kali berhadapan dengan pelajar yang mengunci minda dan dirinya daripada ilmu yang disampaikan.

Cik Jami’ah – yang bersabar ‘berbincang’ dan ‘bermuzakarah’ dengan pakar-pakar perasan tera bahasa ibundanya.

Puan Habibah – yang mengindahkan hari dengan baju-baju yang indah-indah sentiasa - memahamkan diri bahawa penampilan guru sedikit sebanyak ada impak pada minat dan konsentrasi dalam pembelajaran pelajar.

Ustazah Fatimah – yang sangat mengambil berat terhadap etika berpakaian pelajar – pakaian secara keseluruhannya.

Ustadz Muhammad – yang bersedia secara sukarela membuat kelas bacaan al-Qur’an di hujung minggu untuk para pelajar - mengenalkan erti kerja-kerja tidak rasmi seorang guru.

Profesor Fauziah Md Taib – yang tegas tetapi tulus dalam mendidik dan memastikan kejayaan pelajar.

Prof. Madya Ismail Omar – yang memperkenalkan alam penyelidikan buat pertama kali bagi diri ini dengan memberi peluang terlibat dengan projek IRPAnya.

Profesor Muhammad Syukri – yang sangat sabar membimbing lahiriah dan rohaniah dalam menyelidik dan menulis tesis ‘pelajar air mata’nya serta mengamalkan perkaedahan pendidikan Imam Malik – Imam Shafie, Nabi Khidir - Nabi Musa dan Imam al-Ghazali - Guru Imam Ahmad terhadap diri ini.

Sekiranya ingin dicatat keseluruhannya nescaya tidak akan terhenti tinta ini. Apapun, ingin diucapkan buat semua yang pernah mendidik diri ini:
TERIMA KASIH GURU ATAS SEGALANYA.


No comments:

Post a Comment