Saturday, April 30, 2011

KECIL? TIADA MASALAH!

Saya begitu tertarik dengan siri Junior Masterchef Australia yang bersiaran di Astro dan baru sahaja mencapai kemuncaknya minggu ini. Juaranya juga telah dinobatkan. Entah mengapa saya begitu meminatinya. Mungkin kerana saya sememangnya sukakan makanan atau mungkin juga kerana berasa takjub dengan hidangan bertaraf ‛lima bintang’ yang dihasilkan dengan baik sekali oleh si kecil berusia antara 8 hingga 12 tahun.

Hidangan yang dihasilkan oleh Sienna - 9 tahun

Hidangan yang dihasilkan oleh Lucy - 11 tahun

Ataupun mungkin hati tertarik kerana melihatkan anak-anak kecil ini seolah-olah tidak pernah memikirkan mereka ini hanyalah punya ketinggian separas dapur. Malah terus-menerus sahaja mereka berusaha menghasilkan hidangan terbaik, jauh lebih baik daripada upaya usia mereka – secara adatnya. Seakan-akan usia, saiz dan kemudaan tidak pernah menjadi halangan buat mereka.

Para juri Junior Masterchef Australia

Sebenarnya, dalam catatan sejarah Islam terdapat anak-anak kecil yang jauh lebih berjiwa besar daripada mereka ini. Perhatikan kisah Nabi Daud ‛alaihissalam yang mencatatkan beliau telahpun ikut menyertai bala tentera Talut ketika berusia 9 tahun. Bahkan beliaulah yang membunuh Jalut sehingga memberi kemenangan kepada angkatan tentera Talut. Sayyidina Ali ibn Abi Talib pula tatkala mengetahui tentang Islam daripada Rasulullah salallahu ‛alaihi wassalam dan Sayyidatina Khadijah mengambil keputusan besar dengan memeluk agama tersebut pada usia 8 tahun sehingga menjadi kanak-kanak pertama memeluk agama Islam dan insan kedua selepas Sayyidatina Khadijah sebagai Muslim di celah-celah amuk Jahiliyyah tika itu. Imam Shafie radhiallahu ’anhu pula telah menghafaz al-Qur’an seawal usia 7 tahun. Pada usia 10 tahun pula beliau telah menghafal kitab al-Muwatta’ yang mengandungi 5,000 potong Hadith. Beliau hanya mengambil masa 9 malam sahaja untuk menghafal keseluruhan kitab tersebut.


Apakah sebenarnya rahsia mereka? Pepatah Arab ada mengatakan “Man Jadda Wa Jada” yang bermaksud “Barangsiapa yang bersungguh-sungguh akan mendapat apa yang diinginkan”. Bermakna, bukan faktor usia, bukan faktor kelebihan-kelebihan lain seperti kewangan, kesenangan, kelapangan masa, kedudukan pangkat dan lain-lain kemudahan. Tetapi faktor kesungguhan. Tanpa kesungguhan, sekalipun punya seluruh nikmat di dunia ini kejayaan tidak akan dikecapi. Sebaliknya, dengan kesungguhan kejayaan bisa dicapai. Kerana apa? Kerana di sisi Islam, orang yang bersungguh-sungguh ini sentiasa dalam perhatian Allah dan senantiasa akan ditunjukkan jalan sebagaimana firman Allah:

Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh pada jalan Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” [al-Ankabut, 29:69].

Lebih-lebih lagi kiranya kesungguhan ini berpasakkan iman, insya-Allah kekecewaan tidak akan menyapa kerana Allah SWT juga berfirman

Dan janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi jika kamu orang-orang yang beriman [Aali 'Imraan, 3:139].

Yakinlah dengan janji-janji ini.

Thursday, April 28, 2011

ADA APA DENGAN MISDEV?

Akhir-akhir ini ramai yang bertanya tentang Program Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam (MISDEV). Tidak menghairankan memandangkan tawaran untuk memohon program MISDEV bagi kemasukan 2011 sedang dibuka kini. Mungkin mereka yang bertanya ini sedang menilai apakah program yang akan dipohon ini sesuai dan bermanfaat buat mereka ataupun tidak.

Kalau hendak diterangkan secara terperinci tentang MISDEV dirasakan tentu memakan ruang yang cukup banyak kerana terlalu sarat yang perlu dan ingin diterangkan. Walau bagaimanapun, dalam kesempatan ini biarlah semua penerangan itu diwakilkan dengan gambar foto kerana bak kata orang putih - "A picture is worth a thousand words".

Jadi, kiranya masih lagi ditanya; "Apakah yang ada dalam MISDEV?". Jawapannya - ia merupakan perjalanan dan pengalaman:

MENEROKA BIDANG KEILMUAN BARU

Gambar - keratan akhbar NST tentang program Ijazah Tinggi di ISDEV


MENGUTIP ILMU UNTUK PEMBANGUNAN MINDA DAN JIWA

Gambar - warga ISDEV menghayati tazkirah yang disampaikan selepas tiap kali solat secara berjemaah


MEMUPUK RASA BERTANGGUNGJAWAB DALAM MENUNAIKAN PERANAN ASAS SELAKU HAMBA-NYA

Solat secara berjemaah sentiasa diusaha untuk dilaksanakan. Gambar - solat jemaah di Masjid Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) yang diimami sdr Khairul Faizi (MISDEV2009)


MELATIH MENGHASILKAN YANG TERBAIK DALAM PENGAJIAN TERMASUK PENULISAN DAN PENYELIDIKAN

Gambar - Puan Radieah Mohd Nor; pelajar MISDEV2008 yang diiktiraf di peringkat kebangsaan apabila disertasi Sarjana beliau diangkat sebagai Tesis Sarjana Terbaik dalam Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin


MENERIMA PENGHARGAAN DAN PENGIKTIRAFAN ATAS USAHA DAN JERIH PAYAH DALAM MENGHASILKAN YANG TERBAIK

Setiap tahun ISDEV mengadakan anugerah untuk menghargai pelajar yang cemerlang. Gambar - sdri Shafiza Shaari merupakan antara enam pelajar yang menerima Anugerah Disertasi Cemerlang ISDEV 2011


MELATIH MEMBENTANG DAN MENYAMPAIKAN IDEA DAN PEMIKIRAN SECARA LISAN DI KHALAYAK

Di sepanjang tempoh pengajian pelajar MISDEV dilatih membuat pembentangan dalam wacana ilmiah sama ada di peringkat dalaman ISDEV, di peringkat USM, peringkat nasional dan juga peringkat antarabangsa. Gambar - Zaleha Embong membentangkan disertasi beliau sebelum diserahkan untuk diperiksa. Disertasi Zaleha ini juga telah diangkat sebagai pemenang Saguhati Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin 2010


MENEMPUH KAEDAH PEMBELAJARAN YANG UNIK DAN BERBEZA

Gambar - Majlis Malam Restu Ilmu MISDEV2009 untuk menghalalkan segala ilmu yang telah disampaikan buat pelajar agar ilmu tersebut ada keberkatannya, mudah diamal, dihayati dan diperjuangkan serta dapat memberi manfaat pada Islam. Penganjuran majlis ini merupakan antara manifestasi kaedah pengajaran-pembelajaran cara ISDEV yakni hati ke hati yang mana hatilah yang menjadi sasaran utama pendidikan


MENCUNGKIL BAKAT-BAKAT TERPENDAM DAN TERMENDAP

Gambar - Mohd Syakir Mohd Rosdi (MISDEV2009) dan Ahmad Anwar Rosli (MISDEV2008) mendendangkan nasyid bersempena Malam Graduasi ISDEV 2011. Mereka juga merupakan sebahagian ahli Shoutul ISDEV, kumpulan nasyid ISDEV


MELAKUKAN MUSAFIR ILMU SEBAGAI MENERUSKAN TRADISI PENCARIAN ILMU ULAMA SILAM

Gambar - Musafir ilmu ke Acheh pada Oktober 2010 yang dianjurkan oleh pelajar MISDEV2010


WISATA ATAU RIHLAH UNTUK LEBIH MENGENALI RAKAN SEPERJUANGAN DAN GURU-GURU SERTA MEMPERKUKUH UKHWAH DAN SILATURAHIM SESAMA WARGA ISDEV

Gambar - Kunjungan wisata atau rihlah ke Danau Toba, Indonesia pada Mac 2011 menyediakan ruang yang cukup luas untuk lebih mengenali sahabat-sahabat dan guru-guru yang mendidik


MENGHASILKAN DAN MERASAI UKHWAH DAN SILATURAHIM YANG LUAR BIASA SESAMA RAKAN

Gambar - Aksi dan tingkah para pelajar MISDEV2010 selepas majlis Berbuka Puasa ISDEV 2010


DAN SESAMA PELAJAR DENGAN GURU

Gambar - Abdullah Fahimy (MISDEV2009) sedang mengurut kaki Profesor Syukri yang keletihan kerana jauh berjalan dalam musafir sambil diperhatikan Mohd Syakir (MISDEV2009)


SERTA DENGAN AHLI KELUARGA PELAJAR

Gambar - Profesor Syukri mendukung anak sulung sdr Khairul Faizi (MISDEV2009) sambil diraikan bersama para pelajar MISDEV2010


DAN PARA IBU BAPA

Gambar - Ahli keluarga pelajar terutamanya para ibu bapa turut diraikan apabila pelajar MISDEV dan ISDEV yang lain akan berkonvokesyen menerusi penganjuran Malam Graduasi ISDEV

JUGA... MENERIMA SEGULUNG IJAZAH

Gambar - Pelajar MISDEV2008 selepas berkonvokesyen pada Mac 2010

Kiranya masih inginkan maklumat berkenaan MISDEV atau sudah menetapkan pendirian untuk memohon, layarilah:

http://www.ips.usm.my/index.php/programme/arts/mixedMode/masterOfSocialScience-IslamicDeveplomentManagement

Sunday, April 17, 2011

20 JAMADIL AWAL 575 TAHUN NAN LALU

Di tanah terpilih, kota terpilih berdiri insan terpilih cuba memecah permasalahan siapakah yang layak mengimamkan solat Jumaat pertama itu? Beliau lantas memerintahkan semua tentera pimpinannya bangun lalu bertanya:

"Siapakah di antara kamu yang sejak balighnya hingga saat ini pernah meninggalkan solat fardhu sila duduk"

Namun tiada seorang yang duduk. Bererti dalam kalangan mereka tiada seorang pun yang pernah meninggalkan solat fardhu sejak akil baligh. Dilanjutkan lagi pertanyaan:

"Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga saat ini pernah meninggalkan solat sunat Rawatib sila duduk"

Sebahagian dari kalangan yang ditanya tetap berdiri manakala sebahagian yang lain duduk. Diteruskan lagi pertanyaan:

"Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat tahajjud sila duduk"


Kali ini semua yang ditanya duduk kecuali seorang. Dia itu tidak lain tidak bukan insan yang bertanya. Maka beliaulah dilantik untuk memimpin solat Jumaat yang buat pertama kalinya dilaksanakan di Gereja Besar St Sophies - satu-satunya gereja di tanah taklukan itu yang ditukarkan kepada Masjid dan dinamakan Aya Sophia. Insan terpilih yang mengimamkan solat itulah juga merupakan insan yang diisyaratkan oleh Rasulullah;


"Kota Konstatntinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik"


Beliaulah Muhammad al-Fateh. Menagih janji yang diucap kekasih Allah lebih 846 tahun sebelumnya pada usia 21 tahun.

Seminggu lagi dari hari ini tepat 575 tahun kisah silam ini terpahat dalam sejarah umat Islam. Apakah bisa keperibadian dan roh perjuangan Muhammad al-Fateh meresap dalam jiwa generasi kini? Semoga bisa.