Monday, June 15, 2015

KUNTUMAN BUNGA YANG TELAH TIADA

Agak lama tidak melakar coretan dalam blog ini. Sebab? Bukan dek kerana apa-apa mahupun siapa-siapa. Sejujurnya, tangan seolah enggan mencoretkan apa-apa sekalipun hati tidak pernah putus bertinta.

Hari ini entah kenapa terasa tangan didorong untuk menulis jua. Mungkin ada kekuatan ghaib setelah hari dimulakan dengan membaca tajuk berita: "Lelaki rendah iman punca kontroversi ahli gimnas". Saya tidak berniat untuk memberi komentar terhadap pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan komen sehingga terbit berita tersebut; mahupun terhadap pihak yang diberi komen menerusi berita tersebut. Namun menerusi berita tersebut, banyak yang boleh dimengerti tentang situasi umat Islam pada hari ini. Banyak.

Kalau dapat diingati, sewaktu hayat junjungan mulia Rasulullah SAW pernah berlaku peristiwa seorang Arab Badwi membuang air kecil di satu sudut dalam masjid. Sahabat-sahabat yang melihat hal tersebut berasa sangat marah dengan kebiadapan perilaku itu hingga mahu menghampiri Arab Badwi tersebut untuk menghentikan perbuatannya. Namun hal tersebut dihalangi Rasulullah SAW. Baginda meminta agar dibiarkan Arab Badwi tersebut menyelesaikan halnya. Setelah Arab Badwi tersebut selesai urusannya, Rasulullah SAW sendiri menyucikan najis tersebut. Usai daripada itu barulah Rasulullah SAW menceritakan dengan lemah lembut kepada Arab Badwi tersebut tentang adab-adab dalam masjid. Ternyata Arab Badwi tersebut tidak mengetahui akan terlarangnya perbuatan beliau itu dan memohon maaf.

Daripada kisah ini dapat kita lihat bagaimana kata-kata yang lembut dan berhikmah boleh melembutkan hati termasuklah hati yang sangat keras. Sebaliknya, kata-kata yang kasar boleh membawa kepada kasarnya hati termasuklah hati yang selama ini bersifat lemah lembut. 

Berlemah lembut dan berhikmah dalam menyampaikan kebenaran itu adalah akhlak. Rasulullah sendiri diutus untuk menyempurnakan akhlak (rujuk Hadith Riwayat al-Baihaqi). Dengan akhlak jugalah beliau menyampaikan ajaran kebenaran yang diwahyukan kepadanya. 

Kebenaran itu milik Allah. Janganlah kerana akhlak buruk kita orang akhirnya menolak kebenaran milik Allah. Seorang guru pernah berkata, makanan sekalipun lazat tetapi sekiranya dihidangkan dengan cara yang buruk atau dilemparkan kepada yang ingin makan nescaya tidak lagi nampak kelazatannya. Apa yang bakal mendominasi dalam fikiran dan memori hanyalah buruknya cara makanan itu dihidangkan. Lebih parah makanan yang lazat tersebut tidak lagi mahu dimakan dan terbazir begitu sahaja kerana yang ingin memakannya tidak lagi rasa berkeinginan disebabkan buruknya cara makanan tersebut dihidangkan. Begitulah kebenaran yang disampaikan tanpa diiringi akhlak yang baik.

Akhlak yang baik itu umpama bunga. Bunga ini disukai semua. Sesuai juga untuk semua keadaan. Kerana itu dilihat bunga menjadi hiasan di mana-mana. Di dalam rumah, di laman rumah, di atas meja pejabat, di ruang tamu, di lobi hotel, dalam kereta, di pinggir jalan, Diberi kepada yang teristimewa sebagai cenderahati. Diberi kepada yang sakit sebagai pengubat hati dan perasaan. Diberi kepada pemenang pertandingan sebagai penghargaan. Diberi kepada tetamu dan pimpinan sebagai penghormatan. Namun, kini kuntuman bunga yang memanifestasikan akhlak yang baik telah tiada. Dunia makin gersang daripada kuntuman-kuntuman bunga yang menjadi penyeri kehidupan. Hasilnya, dunia penuh dengan akhlak buruk seperti kekasaran, kekerasan dan kejelekan. Manusia akhirnya hidup dalam keadaan yang menderita dan tidak bahagia di mana-mana. Kembalikanlah kuntuman bunga tersebut. Paling tidak dalam diri kita.

Sumber: http://www.publicdomainpictures.net/view-image.php?image=14630