Thursday, December 11, 2014

PULUT DAN SANTAN

Sumber dan penghargaan: http://zuzuyaya.blogspot.com/2012_01_01_archive.html

Entri ini sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan Matserchef mahupun hal ehwal masak-memasak. Ia sebenarnya ingin memperkatakan tentang pepatah Melayu popular bersangkutan dengan pulut dan santan yang sering didengar - 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'. Ada satu lagi pepatah Melayu yang sewaktu dengannya iaitu 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'. Ia senada dengan kata-kata dalam bahasa Swiss 'sprechen ist silbern, schweigen ist golden' yang bermaksud kata-kata itu umpama perak, manakala diam itu pula umpama emas atau yang sering kita dengar silence is golden. Dalam sejarah Napoleon Bonaparte pula timbul ungkapan 'mulutmu harimaumu' yang mengisahkan kemudaratan apabila tidak berwaspada dalam berkata-kata.

Tentang kata-kata ataupun mulut ataupun lisan ini, Rasulullah ada berpesan 'Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat maka berkatalah yang baik atau (jika tidak), diamlah.' (Hadith Riwayat Bukhari [No.6475] dan Muslim [No. 74]). Bermakna hanya ada dua pilihan sahaja. Berkata yang baik-baik atau berdiam diri. Bagaimanakah dengan diri kita? Dalam sehari-hari, berapa peratuskah kehidupan kita dipenuhi dengan 'berkata-kata baik atau diam'? 99%? 85%? 50%? 10%? Atau 0.0001%? Selebihnya apakah agak-agaknya yang telah dikerjakan oleh lisan kita (atau dalam era teknologi maklumat kini tulisan jua)? Pernahkah kita terfikir kenapakah Allah mengurniakan dua mata, dua telinga tetapi hanya satu mulut buat kita?

Imam Abu Hatim Ibnu Hibban al-Busti ada menyatakan dalam kitabnya Raudhah al-‘Uqala wa Nazhah al-Fudhala (halaman 45), 'Orang yang berakal selayaknya lebih banyak diam daripada berbicara. Hal itu kerana betapa banyak orang yang menyesal kerana bicara, dan sedikit yang menyesal kerana diam'.