Showing posts with label IPS. Show all posts
Showing posts with label IPS. Show all posts

Saturday, September 20, 2008

PUJI DAN SYUKUR KE HADRAT ALLAH....

Tanggal 5 September 2008 merupakan penutup tirai kepada pengajian PhD saya. Dengan segenap kerendahan hati, dipanjatkan puji dan syukur pada Ilahi kerana telah mengizinkan dan mempermudahkan proses viva dan penghantaran tiga naskhah akhir tesis PhD saya kepada Institut Pengajian Siswazah, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Pengajian PhD saya yang telah mengambil masa genap enam tahun akhirnya dikurniakan dengan kejayaan yang cukup bermakna. Terasa hilang segala keperitan dan kepayahan yang dihadapi dalam proses menyiapkan tesis tersebut. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah... setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat-Nya atas nikmat dan rahmat-Nya yang tidak terhingga buat seorang hamba yang serba lemah dan banyak kekurangan.

Setinggi-tinggi penghargaan buat Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh selaku penyelia utama dan Prof. Madya Dr. Suhaiza Hanim Mohd. Zailani selaku penyelia bersama kerana tidak pernah jemu membimbing baik secara lahiriah mahupun secara rohaniah dan memberi tunjuk ajar serta mengemukakan cadangan-cadangan yang tidak ternilai di sepanjang proses penghasilan tesis ini. Segala komitmen dan perhatian yang ditunjukkan itu telah memberi dorongan kepada saya untuk terus gigih berusaha menyempurnakan kajian ini.

Penghargaan juga dirakamkan buat semua ahli jawatankuasa pengurusan, staf pentadbiran, felo, felo bersekutu, penyelidik-penyelidik bersekutu dan pelajar-pelajar Ijazah Tinggi di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di atas segala galakan, bantuan dan kerjasama yang telah diberikan. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak dan individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kajian ini. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas segala kebaikan yang telah dihulurkan.

Akhirnya, penghargaan teristimewa buat ayah, Haji Ahmad Haji Osman dan ibu, Hajjah Norishah Mat Thani atas doa restu, dorongan dan sokongan di sepanjang perjalanan kajian ini.

Detik-detik penting pengajian PhD saya;
01/06/2002 - pendaftaran pengajian
30/05/2008 - penyerahan tesis untuk pemeriksaan
28/08/2008 - peperiksaan viva
05/09/2008 - penyerahan naskhah akhir tesis.
Link berkaitan:
[Ilustrasi dari bahan terbitan Karya One Sdn Bhd].

Friday, August 08, 2008

TINTA TERHENTI SEKETIKA

Khusus buat pembaca setia blog ini (apa adakah???), penulisan blog ini akan terhenti buat beberapa ketika kerana saya perlu menyiapkan diri menghadapi viva bagi tesis PhD yang dijadualkan pada tanggal 26 Ogos 2008. Sebelum menghadapi viva yang sebenar, saya akan dipersiapkan untuk satu mock viva yang dijadualkan pada tanggal 15 Ogos 2008.
Moga-moga diberikan kemudahan, kelapangan serta bantuan dari Allah untuk saya tempuhi viva ini dengan sebaik mungkin. Moga-moga Allah memberikan ketenangan dan melimpahi nur-Nya ke dalam hati ini saat saya menghadapi persoalan-persoalan yang bakal ditimbulkan semasa viva nanti. Moga-moga Allah SWT mengurniakan kesudahan yang baik kelak... kesudahan yang dapat memartabatkan Islam serta dapat memanfaatkan umat Islam... Amin, Amin, Amin Ya Rabbal ‘Alamin... [Ilustrasi dari bahan terbitan Karya One Sdn Bhd]

Friday, May 30, 2008

ALHAMDULILLAHI 'ALAA KUL-LI HAAL

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah...

Alhamdulillah 'alaa kul-li haalin...

Tepat jam 11 pagi hari ini, 30 Mei 2008 saya telah menghantar 10 naskah tesis saya kepada Institut Pengajian Siswazah, Universiti Sains Malaysia dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.

Alhamdulillah, tidak dapat saya menyatakan betapa bersyukurnya saya ke atas-Nya, Allah Rabbul 'Alamin kerana telah mempermudahkan segala urusan sehingga diizinkan tesis tersebut siap dan dapat dihantar pada masanya.

Walaupun mungkin saya merasakan yang saya tidak melakukan dan menghasilkan tesis yang terbaik, namun saya sangat-sangat bersyukur kerana proses menyiapkan dan menghantar tesis tersebut telah dipermudahkan-Nya.

Memang diakui bahawa usaha saya tidaklah setanding malah mungkin hanya setitis kecil sahaja berbanding selautan nikmat kemudahan yang telah Allah SWT kurniakan di sepanjang pengajian ini. Bahkan di sepanjang tempoh pengajian ini saya tidak pernah sunyi daripada melakukan kesalahan terhadap-Nya. Antaranya ialah tidak menguruskan nikmat masa yang telah dikurniakan kepada saya dengan sebaiknya. Juga tidak memanfaatkan ilmu dan bimbingan sebaik-baik pembimbing yang telah dikurniakan kepada saya dengan sepenuhnya. Semua ini adalah pengajaran bermakna buat saya dan saya berazam untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama di masa depan.

Kini, saya serahkan segala ketetapan dan keputusan tesis saya ini kepada Allah SWT, yang memiliki hati pemeriksa-pemeriksa tesis tersebut. Sesungguhnya, ketetapan-Nya adalah yang terbaik buat diri ini, di dunia dan di Akhirat, insya-Allah. Hanya tawakkal 'alahi dan doa yang dapat dipanjatkan kepada-Nya.

Alhamdulillah.