Showing posts with label Personal. Show all posts
Showing posts with label Personal. Show all posts
Sunday, April 01, 2012
Saturday, September 20, 2008
PUJI DAN SYUKUR KE HADRAT ALLAH....
Tanggal 5 September 2008 merupakan penutup tirai kepada pengajian PhD saya. Dengan segenap kerendahan hati, dipanjatkan puji dan syukur pada Ilahi kerana telah mengizinkan dan mempermudahkan proses viva dan penghantaran tiga naskhah akhir tesis PhD saya kepada Institut Pengajian Siswazah, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Pengajian PhD saya yang telah mengambil masa genap enam tahun akhirnya dikurniakan dengan kejayaan yang cukup bermakna. Terasa hilang segala keperitan dan kepayahan yang dihadapi dalam proses menyiapkan tesis tersebut. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah... setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat-Nya atas nikmat dan rahmat-Nya yang tidak terhingga buat seorang hamba yang serba lemah dan banyak kekurangan.Setinggi-tinggi penghargaan buat Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh selaku penyelia utama dan Prof. Madya Dr. Suhaiza Hanim Mohd. Zailani selaku penyelia bersama kerana tidak pernah jemu membimbing baik secara lahiriah mahupun secara rohaniah dan memberi tunjuk ajar serta mengemukakan cadangan-cadangan yang tidak ternilai di sepanjang proses penghasilan tesis ini. Segala komitmen dan perhatian yang ditunjukkan itu telah memberi dorongan kepada saya untuk terus gigih berusaha menyempurnakan kajian ini.
Penghargaan juga dirakamkan buat semua ahli jawatankuasa pengurusan, staf pentadbiran, felo, felo bersekutu, penyelidik-penyelidik bersekutu dan pelajar-pelajar Ijazah Tinggi di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di atas segala galakan, bantuan dan kerjasama yang telah diberikan. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak dan individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kajian ini. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas segala kebaikan yang telah dihulurkan.
Akhirnya, penghargaan teristimewa buat ayah, Haji Ahmad Haji Osman dan ibu, Hajjah Norishah Mat Thani atas doa restu, dorongan dan sokongan di sepanjang perjalanan kajian ini.
Detik-detik penting pengajian PhD saya;
01/06/2002 - pendaftaran pengajian
30/05/2008 - penyerahan tesis untuk pemeriksaan
28/08/2008 - peperiksaan viva
05/09/2008 - penyerahan naskhah akhir tesis.
Link berkaitan:
[Ilustrasi dari bahan terbitan Karya One Sdn Bhd].
Friday, May 30, 2008
ALHAMDULILLAHI 'ALAA KUL-LI HAAL
Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah...Alhamdulillah 'alaa kul-li haalin...
Tepat jam 11 pagi hari ini, 30 Mei 2008 saya telah menghantar 10 naskah tesis saya kepada Institut Pengajian Siswazah, Universiti Sains Malaysia dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.
Alhamdulillah, tidak dapat saya menyatakan betapa bersyukurnya saya ke atas-Nya, Allah Rabbul 'Alamin kerana telah mempermudahkan segala urusan sehingga diizinkan tesis tersebut siap dan dapat dihantar pada masanya.
Walaupun mungkin saya merasakan yang saya tidak melakukan dan menghasilkan tesis yang terbaik, namun saya sangat-sangat bersyukur kerana proses menyiapkan dan menghantar tesis tersebut telah dipermudahkan-Nya.
Memang diakui bahawa usaha saya tidaklah setanding malah mungkin hanya setitis kecil sahaja berbanding selautan nikmat kemudahan yang telah Allah SWT kurniakan di sepanjang pengajian ini. Bahkan di sepanjang tempoh pengajian ini saya tidak pernah sunyi daripada melakukan kesalahan terhadap-Nya. Antaranya ialah tidak menguruskan nikmat masa yang telah dikurniakan kepada saya dengan sebaiknya. Juga tidak memanfaatkan ilmu dan bimbingan sebaik-baik pembimbing yang telah dikurniakan kepada saya dengan sepenuhnya. Semua ini adalah pengajaran bermakna buat saya dan saya berazam untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama di masa depan.
Kini, saya serahkan segala ketetapan dan keputusan tesis saya ini kepada Allah SWT, yang memiliki hati pemeriksa-pemeriksa tesis tersebut. Sesungguhnya, ketetapan-Nya adalah yang terbaik buat diri ini, di dunia dan di Akhirat, insya-Allah. Hanya tawakkal 'alahi dan doa yang dapat dipanjatkan kepada-Nya.
Alhamdulillah.
Monday, November 06, 2006
ZALIMNYA

Beberapa hari lalu seorang kenalan menelefon saya untuk meluahkan permasalahannya. Dari nada suaranya dapat dirasakan penderitaan yang ditanggung dari permasalahannya itu amat berat. Masakan tidak, beliau seringkali dikasari oleh suaminya. Sekalipun beliau kini sudah bergelar ibu, namun sikap suaminya itu masih tidak pernah berubah.
Mengimbau sejarah di zaman Rasulullah s.a.w., Baginda pernah menegur seorang suami yang sering memukul isterinya seraya bertanya "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia." Sahut Rasulullah s.a.w. "Aku tidak bertanya alasanmu. Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"
Fahamlah kita bahawa sekalipun kedudukan suami di dalam rumahtangga adalah lebih tinggi, namun isteri juga mempunyai peranan yang sangat besar dan tidak seharusnya di pandang rendah.
Sebenarnya, dalam perundangan Islam, terdapat peruntukan yang membolehkan isteri menuntut supaya perkahwinan dibubarkan melalui fasakh sekiranya hal seumpama ini berlaku. Walau bagaimanapun, langkah yang lebih bijak ialah menangani permasalahan ini menerusi pendidikan iman dan ihsan, menanamkan nilai kasih sayang, bertolak ansur dan tidak mementingkan diri dalam diri setiap pasangan. Dalam erti kata yang lain, menanamkan rasa kehambaan dan rasa berTuhan di dalam diri.
Dalam pada itu, selain penderaan atau penganiayaan fizikal terhadap isteri yang semakin menjadi-jadi pada masa kini, terdapat satu lagi bentuk penderaan atau penganiayaan yang lebih serius iaitu mendera dan menganiaya akal dan rohani isteri. Apa yang dimaksudkan di sini ialah mengabaikan tuntutan akal dan roh isteri. Sedar atau tidak, kebanyakan suami pada hari ini hanya menitik beratkan tuntutan fizikal si isteri dan membiarkan akal si isteri kosong daripada ilmu-ilmu duniawi dan ukhrawi serta roh atau jiwa si isteri kosong daripada zikir dan tarbiah tentang rasa-rasa kehambaan dan rasa berTuhan. Penganiayaan ke atas akal dan roh sedemikian sebenarnya adalah lebih zalim berbanding penderaan ke atas fizikal. Mengapa? Sekiranya isteri dikasari secara fizikal, si isteri masih berpeluang mengecapi kebahagiaan di alam Akhirat sekiranya ia redha dan menyerah diri kepada Allah di samping berusaha menghadapi suaminya dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Tetapi, sekiranya akal dan rohani si isteri didera dan dianiaya, sudahlah di dunia merasa tidak bahagia kerana sering dihantui rasa tamak, hasad dengki, sombong, riya’ dan sebagainya; di Akhirat pula dihukum kerana mengekalkan sifat-sifat mazmumah tersebut di dalam diri. Moga-moga Allah memberi petunjuk kepada kita semua, Amin... (PTN: Ilustrasi dari bahan terbitan Karya One Sdn Bhd)

Tuesday, October 31, 2006
ALHAMDULILLAH
Alhamdulillah, hari ini saya diberikan ilmu tentang blogging oleh penyelia Tesis PhD saya, Profesor Muhammad Syukri Salleh. Profesor Syukri bukanlah merupakan pensyarah Teknologi Maklumat atau pensyarah di bidang pengkomputeran. Bidang kepakaran beliau ialah Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam. Namun pengetahuan beliau dalam hal-hal semasa amat luas. Banyak ilmu yang telah disampaikan kepada pelajar-pelajar beliau. Membangunkan blog ini merupakan satu daripadanya. Alhamdulillah, kerana Allah menemukan saya dengan penyelia yang sedemikian.Apabila berjaya membangunkan blog ini, saya lantas bertanya kepada diri apakah perkara yang ingin saya catatkan di dalam blog ini? Apakah temanya? Dalam keadaan yang kesuntukan masa (kerana sibuk dengan penulisan tesis kedoktoran dan menguruskan dua buah kursus secara sambilan), tentunya tidak banyak catatan yang dapat dibuat. Lebih-lebih lagi, saya bukanlah merupakan seorang yang dapat menterjemahkan idea kepada tulisan dengan baik. Masih banyak yang perlu dipelajari. Setelah beberapa hari berfikir, akhirnya saya mengambil keputusan untuk menjadikan blog ini sebagai medan untuk mendalami lagi pengetahuan agama saya, medium buat membangunkan jiwa saya (medium buat membangunkan jiwa para pembaca juga, Insya-Allah) dan alat untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Moga-moga dengan itu, perjalanan kehidupan saya sehari-hari mendapat 'input-input' yang dapat meningkatkan keimanan saya. Terutama sekali dalam keadaan diri yang sibuk ini, sekurang-kurangnya saya dapat pastikan hati dan jiwa saya mendapat 'makanan' yang secukupnya dalam tempoh yang sepatutnya. Kerana, menurut Fathul Mansuli (kalau tidak silap saya) hati yang tidak diberi makan (dengan ilmu-ilmu yang haq) dalam tempoh 3 hari akan menjadi mati. Tentu menjadi kerugian pada diri saya sendiri (dunia dan Akhirat) dan juga kepada bangsa dan negara sekiranya saya kelak menjadi graduan kedoktoran di dalam bidang Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam tetapi punya hati yang mati... Wal ’iyazubillah. [Ilustrasi dari bahan terbitan Karya One Sdn Bhd]
Subscribe to:
Posts (Atom)