Showing posts with label Kembara. Show all posts
Showing posts with label Kembara. Show all posts

Wednesday, June 20, 2012

BILA POTRET BERBICARA


Bersawang... Berdebu... Berhabuk... Mungkin itulah kata-kata yang paling sesuai untuk menggambarkan blog ini. Lama betul saya tidak bertinta di sini. Entah macam mana hari ini saat mengawas peperiksaan pelajar MISDEV di bilik persidangan C23 tangan terasa gatal untuk bertinta semula. Bukan apa... tatkala mengawas peperiksaan, diri ini terlewat laman web wikipedia yang menyenaraikan sultan-sultan yang memimpin Empayar Uthmaniah berserta lakaran potret sultan-sultan tersebut. Ada sesuatu yang sangat menarik yang diperhatikan dan terasa ingin dikongsi bersama dalam blog ini. Sesuatu yang mungkin pada sesetengah pihak hal itu sudahpun sedia dimaklumi. Tak mengapalah, mungkin ada yang masih belum mengetahuinya dan insya-Allah boleh kita mengambil sedikit manfaat bersama. Dan walaupun mungkin sebahagian besar ahli akademik melabelkan wikipedia sebagai zon terlarang, apa kata kita melanggar pantang kali ini dan cuba mengutip butir-butir ilmu yang mungkin terselit di situ. Namun apa yang ingin dibentangkan di sini bukanlah penerbitan semula artikel wikipedia tersebut. Sesuatu yang lain.. yang mungkin boleh dikatakan sebagai menyurat sesuatu yang tersirat.

Sedikit tentang empayar Islam Uthmaniah, ia sebenarnya bangun selepas hampir 700 tahun kewafatan Rasulullah s.a.w.. Empayar ini diasaskan oleh Sultan Uthman I bermula dengan sebuah wilayah kecil Turki Seljuk. Artikel dalam wikipedia tersebut membahagikan pemerintahan Empayar Uthmaniah kepada sembilan era yang menjangkaui dari tahun 1299 hingga tahun 1924. Berikut diturunkan potret pemerintah di sepanjang empayar Uthmaniah (seperti yang diilustrasi dalam artikel wikipedia). Cuba kita teliti potret-potret ini.

Era Penubuhan (Foundation) - 27 Julai 1299 hingga 20 Julai 1402

 Sultan Uthman I (juga digelar Sultan Uthman al-Ghazi)

Sultan Orhan I

Sultan Murad I

Sultan Beyazid I

Era Peralihan (Interregnum) - 20 Julai 1402 hingga 5 Julai 1413

 Sultan Musa Celebi

 Sultan Muhammad Celebi

Era Kebangkitan (Rise) - 5 Julai 1413 hingga 29 Mei 1453

Sultan Muhammad I

Sultan Murad II

Era Perkembangan (Growth) - 29 Mei 1453 hingga 11 November 1603

Sultan Muhammad II (juga digelar Sultan Muhammad al-Fatih)

 Sultan Beyazid II

Sultan Salim I

Sultan Sulaiman I

Sultan Salim II

Sultan Murad III

 Sultan Muhammad III

Era Pegun (Stagnation) - 12 November 1603 hingga 28 Januari 1699

Sultan Ahmad I

 
Sultan Mustafa I 

  
Sultan Usman II

Sultan Murad IV

 Sultan Ibrahim I

Sultan Muhammad IV

Sultan Sulaiman II

 Sultan Ahmad II

 Sultan Mustafa II

Era Kemerosotan (Decline) - 28 Januari 1699 hingga 7 April 1789

 Sultan Ahmad III

Sultan Mahmud I

Sultan Uthman III

 Sultan Mustafa III

 Sultan Abdulhamid I

Era Pembubaran (Dissolution) - 7 April 1789 hingga 3 Julai 1918

 Sultan Salim III

Sultan Mustafa IV

Sultan Mahmud II

Sultan Abdulmajid I

Sultan Abdulaziz I

 Sultan Muhammad Murad V

 Sultan Abdulhamid II

Sultan Muhammad V

Era Perpecahan (Partitioning) - 3 Julai 1918 hingga 1 November 1922

Sultan Muhammad VI


 Era Khalifah Republik (Republican Caliphate) - 18 November 1922 hingga 3 Mac 1924

Sultan Abdulmajid II

Itulah potret pemerintah-pemerintah Empayar Uthmaniah dari mula hingga ke hujungnya bila mana sistem khalifah dihapuskan dan Turki diisytihar menjadi Republik.

Kiranya diteliti potret-potret ini, dapatkah kita perhatikan:

1. Pemerintah Empayar Uthmaniah pada era awal (era penubuhan hingga era pembubaran) kesemuanya memakai serban. Hanya bermula Sultan Mahmud II di era pembubaran pemerintah mula melazimi pemakaian tarbus hinggalah ke pemerintah terakhir yang tidak menutup kepala.

2. Kesemua pemerintah Uthmaniah ini juga berbauk, berjambang dan berjanggut. Hanya tiga orang pemerintah akhir yang mencukur bersih janggut mereka iaitu Sultan Muhammad Murad V di era pembubaran, Sultan Muhammad VI di era perpecahan dan Sultan Abdulmajid II yang merupakan pemerintah Uthmaniah terakhir.

3. Kesemua pemerintah awal dan pertengahan Uthmaniah ini juga berjubah kemas. Hanya bermula Sultan Mahmud II di era pembubaran hingga ke khalifah terakhir pakaian berjubah tidak lagi dikenakan. Sebaliknya pakaian moden berciri barat mula dilazimi.

4. Bermula Sultan Beyazid II yakni pemerintah selepas Sultan Muhammad al-Fatih di era perkembangan, para khalifah mula mengenakan perhiasan baik pada serban, jubah mahupun pakaian yang dikenakan; kecuali Sultan Sulaiman I yakni pemerintah keempat era perkembangan yang tidak kelihatan perhiasan pada potret beliau.

Itulah antara yang terlihat oleh mata. Apakah trend di atas ada kaitan rapat dengan perkembangan empayar Uthmaniah itu sendiri? Mungkin! Mengapa? Era pertumbuhan, perkembangan dan kegemilangan empayar Islam Uthmaniah tentunya sinonim dengan kepermurahan Allah SWT, kurniaan bantuan dari-Nya serta limpahan rahmat buat hamba-hamba-Nya. Dalam al-Qur'an Surah Saba' (34:15) Allah SWT berfirman yang maksudnya:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba` satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kariah mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka) "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!"

Kurniaan kemakmuran merupakan kurniaan yang khusus buat hamba-hamba Allah yang terpilih. Hamba yang bagaimana? Dalam al-Qur'an juga Allah SWT berfirman yang bermaksud antaranya:

Allah adalah pembela orang-orang yang bertaqwa.” (al-Jathiyah, 45:19)

Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan diberi rezeki dari sumber yang tidak diduga.” (Al-Talaq, 65:2-3)

Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan memudahkan segala urusannya.” (al-Talaq, 65:4)

Lantaran itu, bagaimanakah dapat dikenal pasti ketaqwaan pemerintah di era awal dan pertengahan empayar Uthmaniah ini? Bukankah taqwa itu hal yang tidak ketara pada mata manusia? Jawapannya juga ada dalam al-Qur'an:

Barang siapa yang melahirkan syiar itu dari hati yang bertaqwa” (al-Haj, 22:32)

 Oleh itu? “Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan?” (al-Dzaariyaat, 51:21)

Saturday, February 26, 2011

KEMBALI BERMUSAFIR


Beberapa hari lalu warga ISDEV berpeluang ke Kuala Lumpur dan Nilai untuk bermusafir. Tempoh perjalanan selama 4 hari menaiki bas persiaran yang dipandu En. Razali dirasakan begitu cepat berlalu. Apakan tidak, musafir itu penuh diisi dengan program sarat pengajaran di sepanjang perjalanan, dan juga tempat hentian - di Universiti Malaya, sewaktu Majlis Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin, di Universiti Sains Islam Malaysia dan juga di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Musafir merupakan tradisi orang-orang soleh. Sejarah begitu banyak mencatatkan kisah musafir para wali Allah dan ulama besar. Buat mereka ilmu itu tidak akan berhasil diperolehi melainkan dengan cara bermusafir. Selain kembara ilmu, musafir juga merupakan wadah untuk lebih mengenali seseorang. Mengapa begitu? Sebenarnya dengan cara bermusafirlah Allah menyingkap apa yang selama ini tersembunyi. Ia sesuai dengan pertanyaan Sayyidina Umar al-Khattab; "Adakah engkau menemaninya dalam perjalanan yang dapat menjadi dalil atas kemuliaan akhlaknya?". Apabila pertanyaan disambut dengan jawapan "Tidak". Sayyidina Umar terus berkata; "Maka engkau masih belum mengenali orang itu."

Musafir juga sebenarnya dapat membangunkan fizikal, akal dan rohani seseorang. Bisyr pernah berkata; "Wahai para qari, Bermusafirlah! Nescaya kamu akan menjadi lebih baik. Sesungguhnya air itu apabila mengalir nescaya baik. Apabila ia lama berhenti pada sesuatu tempat ianya berubah menjadi busuk". Maksudnya barangkali apabila terus statik dan berada di tempat sendiri, keburukan dan kelemahan diri sukar dikenal pasti kerana diri hanya melakukan apa yang telah menjadi kebiasaan selama ini.

Sebaliknya, dengan bermusafir, diri akan berhadapan dengan pelbagai kesukaran yang meletihkan fizikal, melesukan fikiran dan menguji ketahanan jiwa. Apabila diuji dengan kesukaran-kesukaran sedemikian, insan yang melihat dengan pandangan mata hati dan yang ingin berusaha memperbaiki diri akan menyedari apakah kekurangan yang selama ini tidak disedari lantas cuba memperbaiki kekurangan tersebut.

Beberapa hari lagi ISDEV akan kembali bermusafir ke Medan pula. Moga-moga hikmah ibadah musafir akan dapat disingkap, dihayati dan dimanfaati oleh semua warga ISDEV di sepanjang perjalanan ke Medan dan setelah pulang nanti. Amin.

Sunday, October 17, 2010

ACEH DETIK INI, ACEH DETIK ITU

Tanggal 9 hingga 12 Oktober yang lalu 25 warga ISDEV dikurnia kesempatan oleh Allah untuk ke Aceh. Kembara ke Aceh ini dianjurkan pelajar MISDEV10. Ia turut disertai 5 pensyarah dan 20 pelajar Sarjana dan PhD ISDEV. Pelbagai misi telah direncanakan di sepanjang tempoh berada di sana. Alhamdulillah, kesemuanya telah dapat dicapai dalam kembara tersebut. Satu daripadanya merupakan Wisata Spiritual Tsunami Aceh - musafir untuk membangun jiwa, mendekatkan diri dengan Tuhan dan mengambil iktibar dengan menyaksikan kesan-kesan Tsunami Aceh. Berikut ini merupakan daerah yang telah disinggahi di sepanjang wisata tersebut.

Masjid Rahmatullah di Lampuuk, Lhoknga merupakan salah satu daripada destinasi dalam Wisata Spiritual Aceh ini. Didirikan pada tahun 1997, masjid ini merupakan satu-satunya binaan yang bertahan di Lhoknga meski persekitarannya sama sekali musnah dilanda amuk ombak tsunami. Begitulah Kuasa Yang Maha Esa. Kini kawasan ini telah dibangunkan semula untuk penempatan dengan bantuan kerajaan dan Persatuan Bulan Sabit Merah Turki.

Masjid Rahmatullah, detik Oktober 2010

Masjid Rahmatullah detik selepas tsunami

Lampulo, satu lagi destinasi Wisata Spiritual Tsunami Aceh adalah sebuah perkampungan nelayan. Di sini tersergam sebuah kapal kayu yang agak besar ukurannya, terdampar di atas atap sebuah rumah penduduk yang hampir hancur. Kami bertuah kerana direzekikan oleh Allah untuk bertemu langsung dengan Pak Mujiburrizal, mangsa yang terselamat dan berjaya menaiki kapal ini semasa peristiwa tsunami 2004 untuk menceritakan pengalaman beliau. Kisah bagaimana kapal kayu ini menghampiri dan menyelamatkan beliau dan 24 orang sanak saudara dan jiran yang ketika itu merasakan sedang di ambang kematian sememangnya tidak terjangkau oleh akal manusia. Namun begitulah sekiranya Allah Berkehendak. Kapal kayu ini akhirnya memuatkan 59 insan yang ditakdirkan Allah untuk selamat semasa peristiwa tsunami tersebut. Kini kapal ini telah dibaik pulih dan dikekalkan di kedudukannya sebagai monumen bersejarah.
Di hadapan kapal kayu di Lampulo bersama Pak Mujiburrizal, dua dari kanan

Kapal kayu di Lampulo detik selepas peristiwa tsunami

Kapal Apung PLTD di Kecamatan Meuraxa, satu lagi ikon peristiwa tsunami yang telah disinggahi. Kapal ini sebenarnya didatangkan dari Kalimantan Barat ke Aceh untuk memenuhi keperluan bekalan elektrik warga Banda Aceh saat konflik sebelum berlakunya peristiwa tsunami. Dimaklumi bahawa berat kapal ini menjangkau lebih daripada 800 ton (menurut setengah sumber beratnya menjangkau 4,500 ton). Namun Kuasa Allah mengatasi segalanya. Kapal yang sebegitu berat dipindahkan dengan air - selembut-lembut ciptaan-Nya ke kawasan lebih 5 km dari pantai.

Kapal Apung PLTD detik dilawati warga ISDEV, Oktober 2010

Peta menunjukkan kawasan Kapal Apung PLTD mendarat detik selepas tsunami


Satu lagi destinasi wisata kami terletak di tengah-tengah Banda Aceh. Kebanggaan rakyat Aceh, Masjid Raya Baiturrahman ini dibangunkan semasa pemerintahan Sultan Iskandar Muda. Menurut sejarah, masjid ini pernah terbakar sebanyak dua kali. Kali pertama sewaktu pemerintahan Sultanah Nurul Alam, Ratu Naqiatuddin Shah manakala kali kedua sewaktu pertempuran kerajaan Aceh dengan Belanda. Namun, masjid ini teguh berdiri saat berlakunya tsunami Aceh sedangkan deretan kedai berhampirannya mengalami kerosakan teruk. Diceritakan keganasan ombak tsunami menjadi surut tatkala mencecah kaki tangga masjid. Seolah-olah alam berkata-kata - Ada Kuasa yang Menguasai kuasa. Dialah... DIA.

Di hadapan Masjid Raya, Baiturrahman detik Oktober 2010

Hadapan Masjid Raya Baiturrahman detik selepas tsunami

Di persisiran pantai UleeLhue tersergam sebuah lagi masjid yang menjadi saksi kekuasaan Allah. Mesjid Baiturrahim, sekalipun terletak berhampiran pantai namun struktur binaannya tidak rosak dan masih gah berdiri saat kami melawati. Di sini para peserta Wisata Spiritual Tsunami Aceh berkesempatan bertemu dengan seorang Bilal yang mengisahkan saat berlakunya tsunami beliau naik ke masjid dan melaungkan azan. Dengan Kehendak-Nya, keganasan ombak tsunami yang menghampiri terus menjadi surut. Tatkala itu terdetik hatinya untuk lari menyelamatkan diri. Dengan tidak semena-mena ombak tsunami yang sebelumnya surut tiba-tiba kembali mengganas dan menghanyutkannya. Beliau akhirnya selamat berkat laungan azan sekali lagi. Kini dalam Mesjid Baiturrahim ini disemat gambar-gambar semasa peristiwa tsunami yang cukup menginsafkan.


Pandangan hadapan Mesjid Baiturrahim, detik Oktober 2010

Gambar menunjukkan pandangan sisi keadaan Mesjid Baiturrahim detik selepas tsunami


Wisata Spiritual Tsunami Aceh cukup memberi kesan. Kuasa Yang Maha Esa telah serlah. Mehnah-Nya di Lampuuk, Rahim-Nya di Lampulo, Qudrat-Nya di sebalik Kapal Apung PTLD, Muhaimin-Nya di Masjid Raya Baiturrahman, Halim-Nya di UleeLhue. Tragedi enam tahun lalu hampir melumpuhkan pembangunan. Bukan kerana sabotaj, juga bukan pengganas, atau konflik dan tidak juga khianat. Manusia yang memerhati dan memikir pasti bertanya... Terlaksana Kuasa-Nya detik itu pasti ada sebabnya. Maha Suci Tuhan daripada menjadikan sesuatu dengan sia-sia.


Rujukan untuk maklumat tentang Aceh:

Saniah (2010). Memoriam Tsunami Dalam Polesan Wisata Islami. Diakses dari http://penyairmalam.blogspot.com.

Harleny Abd Arif (2010). Iktibar Tsunami. Diakses dari http://jejakmihrabmimbar.wordpress.com/

Wikipedia: The Free Encyclopedia