Saturday, May 29, 2010

BICARA HIKMAH SANG GURU

Izinkan diri ini memetik bicara hikmah guruku buat peringatan diri ini dan rakan bloggers
BERAMAL & BERJUANG MENGIKUT KEMAMPUAN

Semalam, 28 Mei 2010, ketika menghadhiri usrah Persatuan Malaysia Jeddah di IDB Compound, seorang hadhirin bertanya kepada Ketua Usrah: "Dalam usrah ini, kita banyak meluahkan pandangan dan perasaan kita terhadap masalah orang Islam, tetapi pandangan dan perasaan saja tidak cukup. Kita patut ada action plan. Tetapi untuk lakukan itu, siapa yang boleh kita angkat sebagai ketua? Dalam dunia Islam, mana ketuanya yang boleh kita harap? Dalam OIC, siapa ketua yang boleh kita ikut?"

Ketua Usrah dengan sabar menerangkan: "Kita cuba sedar tentang masalah orang Islam. Kita ada action plan. Dalam usrah ini tadi misalnya, telah kita rancang untuk perbaiki wakaf (tempat yang patut berhenti) bacaan al-Mathurat yang kita baca ramai-ramai tadi. Kita juga telah rancang untuk menghafal dan mengamalkan doa-doa, dari doa makan hinggalah doa masuk tandas, doa naik kenderaan, doa tidur, doa memakai pakaian dan sebagainya. Kita juga rancang nak mengadakan qia-mulail sekurang-kurangnya sekali sebelum Ramadhan ini. Sebelum ini kita juga telah sama-sama adakan tabung untuk bantu pelajar-pelajar (orang-orang Melayu Mekah) belajar di universiti-universiti. Itulah action plan dan action kita".

Bagi sesetengah orang, jawapan sebegitu tentulah tidak memuaskan., malah merupakan anti-climax kepada soalan tadi. Yang bertanya itu mempunyai agenda besar. Beliau mahu melakukan sesuatu di peringkat ummah, di peringkat dunia, bukan setakat di peringat kumpulan dan kampongan. Sedangkan jawapan yang diterimanya hanyalah tertumpu kepada perkara-perkara asas: membetulkan bacaan, mengamalkan doa, melakukan ibadah asas, dan melaksanakan kebajikan. Ini semua pada sebahagian orang tentulah amat remeh sekali berbanding dengan isu-isu penderitaan umat Islam di seluruh dunia: kemiskinan, penindasan, keganasan, dan sebagainya.

Apa sikap kita warga ISDEV dalam keadaan sedemikian?

Pada saya, perisitiwa yang sebegini tidak mengejutkan. Saya masih ingat, ketika Sabah jatuh ke tangan PBS pimpinan Joseph Pairin yang dikatakan pro-Kristian, saya mengikuti dialog guru saya dengan sebahagian umat Islam di sana yang mahu mengambil kembali kuasa politik dari PBS. Mereka menceritakan pelbagai perkara yang membimbangkan dan mula meminta pandangan bagaimana mengatur strategi untuk kembali mendapat kuasa politik. Guru saya dengan lembut bertanya mereka:

"Jika tuan-tuan banyak bersembahyang sunat, apakah Pairin marah?". Mereka menjawab, tidak. "Jika tuan-tuan banyak berpuasa sunat, apakah Pairin marah?". Mereka menjawab, tidak. "Jika tuan-tuan banyak membaca al-Qur`an, apakah Pairin marah?". Mereka menjawab, tidak. "Jika tuan-tuan makan makanan yang halal, apakah Pairin marah?". Mereka menjawab, tidak.

Guru saya menyambung lagi: "Kalau begitu, apakah tuan-tuan mengamalkan apa-apa yang Pairin tidak marah ini?". Mereka menjawab, juga tidak.

Mengingatkan peristiwa di Sabah ini, saya teringat akan cerita Khalifah Sayyidina Umar Ibn Khattab yang mengarahkan tenteranya bersugi sebelum bersolat, dan merapat serta meluruskan saf solat, padahal ketika itu para tentera itu sedang cemas berperang dengan musuh tetapi tidak menang-menang. Kenapa Sayyidina Umar hanya menyuruh perkara yang remeh-remeh seperti bersugi dan memperkemaskan saf solat, sedangkan pada logik aqal tentulah lebih munasabah beliau mengarahkan agar memperbaiki strategi dan kedudukan perang, meneliti keberkesanan peralatan-peralatan yang dipakai dan sebagainya.

Jawapannya ada pada pertanyaan guru saya kepada orang-orang Islam di Sabah itu. Kenapa kita mahu fikirkan perkara yang besar-besar sedangkan yang kecil-kecil dan mudah-mudah yang masih boleh dijadikan senjata yang cukup berkesan tidak kita gunakan? Hadith Qudsi jelas menerangkan bahawa cintanya Allah swt kepada seseorang itu bukanlah kerana orang itu melakukan perkara yang diwajibkan ke atasnya. Itu sememangnya tanggungjawab dan perintah yang mesti dilaksanakan. Tetapi cintanya Allah swt kepada seseorang itu adalah kerana perkara-perkara sunat yang dilakukannya, kerana itu adalah amalan tambahan dan dilakukan atas dasar sukarela, atas dasar kasihnya seseorang itu kepada Allah s.w.t. Atas sebab demikian, walaupun bagi sesetengah orang perkara-perkara tadi dipandang remeh, tetapi bagi orang yang mengetahui rahsia tersirat, itu semua adalah sebab yang cukup dinamik untuk mendapat bantuan dan kemudahan dalam apa jua yang kita lakukan.

Itulah sebabnya di ISDEV kita cukup tekankan kepada amalan-amalan sunat (tambahan) ini. Kita cuba berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis, Kita berasmaul husna sebelum memulakan majlis. Kita membaca Fatihah pada permulaan majlis dan mengakhirinya dengan membaca surah wal-'Asr. Kita bersembahyang dan makan berjemaah. Dan pada masa terdekat ini boleh kita tambahkan dengan pelbagai lagi amalan-amalan yang boleh membuat Allah swt cintakan kita dan oleh itu akan sentiasa memberi bantuan atas apa jua yang kita usahakan dan melindungi kita dari segala musibah. Umpamanya, kita boleh cuba melakukan sujud syukur sebanyak mungkin. Kita boleh cuba memakai pakaian dengan warna yang digemari oleh Rasulullah s.a.w.

Oleh itu, semua warga ISDEV kena hindarkan dari berfikir seperti peserta usrah di Jeddah yang bertanya itu. Kalau tidak, saya bimbang kita akan terperangkap dengan tiga kesilapan besar.

Pertama, kita nampak kesalahan orang lain, tetapi tidak bermuhasabah dengan diri kita sendiri. Kita nanti akan sering nampak kesalahan musuh apabila gagal melakukan sesuatu, tetapi tidak nampak kesalahan diri sendiri. Kita akan sentiasa menyalahkan musuh tetapi tidak menyalahkan diri sendiri. Malanglah kita jika kita bersikap demikian kerana Imam al-Ghazali menjelaskan, antara tanda orang yang tidak mendapat hidayah daripada Allah swt adalah orang yang tidak nampak akan keaiban dirinya. Bagaimana ISDEV boleh maju ke hadapan jika kita semua tidak mendapat hidayah daripada Allah swt?

Kedua, kita mahu sesuatu dilakukan untuk kebaikan Islam dan umatnya, tetapi yang mesti melakukannya ialah orang lain, bukan kita sendiri. Dalam keadaan demikian, kita akan sentiasa marah apabila orang lain tidak melakukan sesuatu yang kita fikirkan baik untuk Islam, tetapi kita sendiri tidak marah kepada diri sendiri kerana tidak melakukannya. Kita rasa kita mahu berjuang, tetapi pada hakikatnya kita sebenarnya mengharap dan oleh itu mendesak orang lain yang melaksanakan perjuangan itu, bukan kita. Malanglah kita kalau begitu, kerana itu tertipu (ghurur) dalam perjuangan namanya, sebagaimana telah dihuraikan oleh Imam al-Ghazali di dalam Ihya Ulumiddin.

Ketiga, kita berhasrat mahu melakukan sesuatu untuk Islam, tetapi kita lupa bahawa yang hendak kita lakukan itu adalah cukup besar dan jauh di luar kemampuan kita. Oleh itu, yang tinggal hanyalah cita-cita. Kalau pun kita cuba lakukan juga, maka kita akan berdepan dengan segala susah payah dan kegagalan, dan mungkin juga kekecewaan dan putus asa, walaupun Allah swt marah kepada orang yang berputus asa. Dengan lain perkataan, kail kita sejengkal tetapi lautan hendak kita jangkau. Sampai bila pun, pada hukum adatnya, kita tidak akan berjaya mencapai cita-cita kita, walaupun cita-cita kita adalah baik. Kita sepatutnya fikir perkara yang mampu kita lakukan dahulu, walaupun hanya sebesar zarah, agar dengan itu, sikit demi sedikit Allah swt akan kurniakan kemampuan yang lebih besar untuk melaksanakan perkara yang lebih besar, InsyaAllah.

Mari kita doakan muga-muga kita warga ISDEV tidak terperangkap dengan tiga kesilapan ini, InsyaAllah.

Thursday, May 27, 2010

TERIMA KASIH GURU

16 Mei yang lalu khalayak di Malaysia meraikan Hari Guru buat menghargai jasa dan sumbangan para guru. Tidak sedikit yang menyanggah sambutan hari ini dengan mengatakan penghargaan buat guru tidak seharusnya terbatas pada waktu tertentu. Apapun dengan adanya tanggal tertentu untuk ‘Hari Guru’ dirasakan penghargaan buat usaha murni para guru dapat dilahirkan secara tersusun dan formal. Tak salah kan?

Diri ini juga tidak ingin ketinggalan dalam menyuarakan cetusan hati bersempena hari ini. Mungkin catatan ini agak sedikit keterlewatan - 10 hari terlewat. Namun, bak kata Hlovate – better late than never but still… it’s better to never be late.

Catatan ini sebenarnya ingin merungkai rasa terima kasih buat semua guru yang pernah memberi ilmu, mengajar dan mendidik diri ini. Buat semua guru yang pernah mendidik semasa di:
- Fatima Kindergaten Bukit Nanas, KL (1977 – 1978)
- Convent (2) Bukit Nanas, KL (1979 – 1984)
- Kolej Tunku Kurshiah, NS (1985 – 1989)
- Sek. Tuanku Abd Rahman, Ipoh (1989 – 1990)
- Pusat Matrikulasi USM, PP (1990 – 1991)
- University of Adelaide (1992)
- University of South Australia (1992)
- University of Flinders (1992)
- University of Western Australia (1993)
- Pusat Pengajian Pengurusan, USM (1994 – 1998)
- Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (Ekonomi), USM (1999 – 2002)
- Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (Perancangan dan Pengurusan Pembangunan), USM (2003 – 2006)
- Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam), USM (2007 – 2008)

TERIMA KASIH YANG TIDAK TERHINGGA DIUCAPKAN

Kiranya dicatat satu persatu nama wahai guru tidaklah mungkin. Namun kiranya diizinkan, di sini diperturunkan ucapan terima kasih buat sebahagian kecil dari keseluruhan yang berjasa agar mungkin dapat menggambarkan pengorbanan, kesukaran, kepayahan, ketabahan dan kesabaran insan yang bernama guru dalam proses melahirkan diri ini yang ada pada hari ini, tika ini, saat ini.

Antaranya:

Ma’am Principal Fatima Kindergarten – yang sering ada mendakap apabila ketakutan tiap kali imaginary hantu stokin menjelma. Lama selepas itu baru difahami bahawa staf di Kindergarten yang mengenakan pakaian biarawati serba putih bukanlah makhluk-makhluk yang harus ditakuti.

Mrs. Kumari – yang sering memastikan bekalan makan dan minum yang dititip ibu dihabiskan sewaktu rehat.

Puan Hasnah – yang telah menyelamatkan uniform baju sekolah daripada terbakar bahana anak-anak mancis buat alat bantuan pengajaran Ilmu Hisab yang menyala secara tidak sengaja di dalam poket.


Puan Faridah – yang ada merawat ketika tangan disengat tebuan tatkala menikmati air gas di bawah pohon Semarak Api tatkala waktu rehat.

Puan Fatimah – yang telah menunjukkan cara-cara bermain bola jaring dengan penuh kesabaran hingga akhirnya melahirkan seorang wakil pemain bola jaring bagi Matrikulasi Sains USM.

Cik Rohana – yang pernah pengsan di hadapan mata akibat terlalu keletihan menanggung beban tugas seorang guru sekalipun bibir tidak pernah menuturkannya.

Mrs. Pickering – yang telah menghukum – mungkin lebih sesuai diistilahkan sebagai ‘mendidik’ sekumpulan kami dengan meminta berdiri di atas pentas sepanjang perhimpunan sekolah kerana bermain rounders dalam hujan di padang sekolah sebelum waktu persekolahan bermula sehingga mengotorkan kasut sekolah. Hingga ke sudah apabila hujan sahaja kasut sekolah akan sedaya upaya dipelihara ‘keputihannya’.

Mr. Eddy – yang telah menjadikan mata pelajaran Sejarah tidak menjenuhkan apabila menayangkan filem-filem sejarah yang sangat memberi kesan.

Mr. Cheok – yang memupuk minat untuk melukis peta-peta dalam subjek Geografi dan ‘mengaler’-nya dengan penuh semangat. Memori melukis dan me'ngaler' ini menerjah kembali ingatan bila ada antara negara tersebut yang diziarahi kini.

Puan Nora – yang memberi kepercayaan mewakilkan kolej untuk Kuiz Sastera hingga akhirnya aliran inilah yang diceburi sepenuhnya.

Mr. Tan Hock Ann – yang memperkenalkan istilah-istilah menarik biologi seperti krofil, fotsinsis dan segai-segainya.

Mr. Tan Chuan Yee – yang bersabar apabila dikunci dan tidak dibenarkan masuk ke kelas kerana sebahagian besar kelas allergic dengan Add. Maths. Mohon maaf ya Mr. Tan. Kesalahan ini kembali diingati tiap kali berhadapan dengan pelajar yang mengunci minda dan dirinya daripada ilmu yang disampaikan.

Cik Jami’ah – yang bersabar ‘berbincang’ dan ‘bermuzakarah’ dengan pakar-pakar perasan tera bahasa ibundanya.

Puan Habibah – yang mengindahkan hari dengan baju-baju yang indah-indah sentiasa - memahamkan diri bahawa penampilan guru sedikit sebanyak ada impak pada minat dan konsentrasi dalam pembelajaran pelajar.

Ustazah Fatimah – yang sangat mengambil berat terhadap etika berpakaian pelajar – pakaian secara keseluruhannya.

Ustadz Muhammad – yang bersedia secara sukarela membuat kelas bacaan al-Qur’an di hujung minggu untuk para pelajar - mengenalkan erti kerja-kerja tidak rasmi seorang guru.

Profesor Fauziah Md Taib – yang tegas tetapi tulus dalam mendidik dan memastikan kejayaan pelajar.

Prof. Madya Ismail Omar – yang memperkenalkan alam penyelidikan buat pertama kali bagi diri ini dengan memberi peluang terlibat dengan projek IRPAnya.

Profesor Muhammad Syukri – yang sangat sabar membimbing lahiriah dan rohaniah dalam menyelidik dan menulis tesis ‘pelajar air mata’nya serta mengamalkan perkaedahan pendidikan Imam Malik – Imam Shafie, Nabi Khidir - Nabi Musa dan Imam al-Ghazali - Guru Imam Ahmad terhadap diri ini.

Sekiranya ingin dicatat keseluruhannya nescaya tidak akan terhenti tinta ini. Apapun, ingin diucapkan buat semua yang pernah mendidik diri ini:
TERIMA KASIH GURU ATAS SEGALANYA.


Tuesday, May 04, 2010

KEMBARA KE JEDDAH - CATATAN HARI 2

Hari kedua di bumi Arab bermula dengan solat Subuh berjemaah bersama Prof sekeluarga dan sdr Azrin suami isteri. Selesai solat Prof menyampaikan tazkirah tentang khusyuk dalam ibadah dengan membawa kisah seorang wanita yang khusyuk mengerjakan tawaf di sekeliling Ka'abah. Alhamdulillah, dapat kembali mendengar bait-bait peringatan dari Prof. Sudah hampir dua bulan warga ISDEV dan saya sendiri sunyi daripada mendengar curahan ilmu Prof.

Selepas tazkirah kami bersiap pula untuk ke Makkah. Kami niat ihram mengerjakan Umrah dari tempat kediaman lagi. Dalam hati dipanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana dengan izin Allah saya berpeluang untuk menjejakkan kaki ke bumi kelahiran kekasih Allah, Rasulullah salallahu 'alaihi wassalam, bumi yang menyaksikan pahit getir perjuangan Rasulullah dan para sahabat dalam memastikan kesinambungan iman dan Islam untuk umat Rasulullah dan bumi yang padanya terdapat kota suci yang dibuka oleh Nabi Allah Ibrahim bersama isterinya Hajar dan anaknya Nabi Allah Ismail. Juga syukur yang tidak terhingga kerana diizinkan Allah untuk mengerjakan Umrah. Lebih dua bulan yang lalu tidak terlintaspun di hati ini akan punya peluang dan dikurniai nikmat yang sebegini berharga. Alhamdulillah ya Rabb, Alhamdulillah wa Shukru lillah.

Perjalanan dari kediaman di Jeddah ke Makkah mengambil masa kira-kira sejam. Pemandangan di sepanjang perjalanan dihiasi dengan bukit-bukit pasir yang kering, sedikit tompokan-tompokan hijau tumbuhan renek dan khemah-khemah orang Badwi. Sesampai di Makkah, kami dihantar oleh pemandu, Saeed ke hotel atau lebih dikenali di sini sebagai funduk tempat kami menginap untuk semalam. Funduk bernama al-Waleed Royal ini milik warga Malaysia, Haji Abu. Selain memiliki funduk, Haji Abu juga menguruskan jamaah dari Malaysia untuk mengerjakan Haji, Umrah dan Ziarah. Haji Abu merupakan salah seorang dari hampir 10,000 orang Melayu yang menetap di Makkah. Dalam kalangan mereka ini tidak sedikit bilangan yang menjadi golongan profesional dan pengusaha yang berjaya di Makkah.


Setelah meletakkan beg dan barangan dalam bilik yang telah ditempah lebih awal kami lantas menuju ke Masjidil Haram untuk menunaikan Umrah. Hati sebenarnya berdebar di sepanjang perjalanan menuju ke Masjidil Haram. Namun dalam masa yang sama terasa begitu teruja dan tidak sabar-sabar untuk menatap Ka'abah. Tatkala pertama kali berdiri di hadapan Ka'abah tidak terhuraikan perasaan dalam hati ini. Terasa sebak dan syukur mengenangkan betapa tingginya nikmat kurniaan Ilahi.


Sebelum tiba di hadapan Kaabah saya ditunjuki sebuah bangunan yang merupakan rumah Rasulullah salallahu 'alaihi wassalam sewaktu di Makkah. Di situ rupanya kawasan penuh bersejarah yang menyaksikan kelahiran dan perkembangan kehidupan awal junjungan Nabi.

Apabila sampai di hadapan Ka'abah kami terus menyempurnakan ibadah Umrah. Alhamdulillah, tidak ramai umat yang mengerjakan Umrah pada masa itu. Untuk itu kami berpeluang menunaikan tawaf dengan selesa, menunaikan solat sunat tawaf betul-betul di hadapan Ka'abah, sulat sunat di Hijir Ismail, menyentuh kain kiswah Kaabah dan menyentuh permukaan dalam Ka'abah yang dilapik kain kiswah. Begitu besar nikmat dan kemudahan yang Allah kurniakan, Alhamdulillah.


Ibadah Sai'e juga dapat dilaksanakan dengan lancar. Selesai menunaikan Sai'e kami lantas tahallul tanda selesainya ibadah Umrah yang dikerjakan. Setelah itu kami terus menunggu waktu Zuhur masuk untuk menunaikan solat Zuhur di Masjidil Haram sebelum pulang semula ke funduk untuk beristirehat.

Selesai solat Asar di Masjidil Haram kami ke Felda D'Saji yang berhampiran untuk mengisi keperluan diri. Alhamdulillah, makanannya enak dan istimewa. Selesai urusan di Felda D'Saji kami terus ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat Maghrib dan Isya'. Alhamdulillah, hari kedua berlalu dengan seribu makna



Sunday, May 02, 2010

KEMBARA KE JEDDAH - CATATAN HARI 1

Akhirnya, hari yang dinanti tiba. Urusan visa dan persediaan lainnya semua berjalan lancar, Alhamdulillah. Bertolak jam 12 tengah hari dari Pulau Pinang menuju ke KLIA. Ramai yang turut menghantar. Terima kasih semua atas ingatan dan prihatin. Di KLIA bertemu dengan Azrin dan isteri yang akan turut sekali dalam kembara ini. Ayah dan Ibu turut menanti di KLIA untuk ucapkan salam perpisahan.



Perjalanan ke Jeddah mengambil masa kira-kira 9 jam. Setibanya di Jeddah, saya, En. Azrin dan juga isteri disambut oleh staf Islamic Development Bank (IDM) - sdr Muhammad Zahran. Alhamdulillah urusan imigresen tiada sebarang masalah. Bahkan kami dimudahkan Allah dengan dapatnya merentasi selautan manusia yang sedang menanti urusan imigresen mereka selesai. Keluar dari Lapangan Terbang sdr Khaled pula membawa kami ke tempat penginapan. Alhamdulillah Prof Syukri dan Kak Zee sudi menumpangkan kami di apartment mereka di sepanjang tempoh kami berada di Jeddah ini.

Setiba di Jeddah waktu Maghrib baru sahaja masuk. Di sepanjang perjalanan menuju ke apartment Prof pemandangan umat Arab menunaikan solat secara berjemaah kelihatan di mana-mana - di tepi jalan, di sebelah kedai dan di ruang meletak kereta. Kedai-kedai juga ditutup. Sejuk mata apabila melihat umat Islam masih mengutamakan solat berbanding urusan lain. Di sini kami difahamkan sesiapa yang berjual beli sewaktu azan dan awal waktu solat akan ditngkap. Hmm.. Kalaupun dikata niat kebanyakan mereka menunaikan solat di awal waktu dan menghentikan kesemua urusan harian setibanya waktu azan dek kerana takutkan undang-undang yang ditetapkan, namun sekurang-kurangnya mereka masih boleh dibatasi dengan peraturan. Tidak seperti sebilangan kecil orang yang tidak sedikitpun gentar dengan undang-undang dunia mahupun undang-undang Akhirat.

Setibanya di apartment atau lebih tepat funduk, kami disambut oleh Prof, Kak Zee dan anak bongsu Prof - Ummu. Kami kemudiannya dijamu makan malam oleh Kak Zee. Alhamdulillah. Terasa seperti di tanah air sendiri. Kerana keletihan barangkali, selesai makan malam dan solat saya terus terlena... Layannn (minta izin pinjam istilah ya Fafau).

Tuesday, April 27, 2010

CHANGES

That is so because Allah will never change a grace which He has bestowed on a people until they change what is in their ownselves. And verily, Allah is All-Hearer, All-Knower [al-Anfal,8: 53].


Sunday, March 07, 2010

TERIMA KASIH TUHAN

Terima kasih wahai Tuhan atas nikmat kurniaan-Mu yang tidak ternilai ini. Walaupun diri ini terasa tidak layak namun Rahmat-Mu tersangat luas buat si hamba. Terima kasih wahai Ilahi... Terima kasih yang tidak terucapkan. Moga Engkau membantu ku untuk memeliharanya dan mensyukurinya.

Saturday, January 30, 2010

MENJEMPUT BIDADARI




Menjemput Bidadari
Munsyid : Epicentrum
http://liriknasyid.com

Bila yakin telah tiba
Teguh di dalam jiwa
Kesabaran menjadi bunga

Sementara waktu berlalu
Penantian tak berarti sia sia
Saat perjalanan adalah pencarian diri

Laksana Zulaikha jalani hari
Sabar menanti Yusuf sang tambatan hati
Di penantian mencari diri
Memohonkan ampunan dipertemukan

Segera kan kujemput engkau bidadari
Bila tiba waktu kutemukan aku
Ya Ilahi Rabbi keras ku mencari diri sepenuh hati
Teguhkanlahku di langkah ini
Di pencarian hakikat diri
Dan izinkan kujemput bidadari
Untuk bersama menuju Mu mengisi hari...

Kini yakin telah tiba
Teguh di dalam jiwa
Kesabaran adalah permata

Dan waktu terus berlalu
Penantian tak berarti sia sia
Saat perjalanan adalah pencarian diri

Laksana Adam dan Hawa
Turun ke bumi terpisah jarak waktu
Di penantian mencari diri
Memohonkan ampunan dipertemukan

Bidadari telah menyentuh hati
Teguhkan nurani
Bidadari telah menyapa jiwa
Memberikan makna

Friday, January 29, 2010

BOLEH JADI...

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

Saturday, December 19, 2009

THANK YOU ALLAH

Terima kasih wahai Tuhan, kerana menghadirkannya. Sesungguhnya Rahmat-Mu tersangat luas.

"Rab (Tuhan)mu lebih mengetahui tentang kamu. Jika Dia (Allah) menghendaki, Dia (Allah) akan memberi rahmat kepadamu...[al-Isra', 17:54]."

Tuesday, November 10, 2009

INGRAW 2009, 18-19 OGOS

Pada 18-19 Ogos 2009 Bengkel Antarabangsa Siswazah ISDEV IV (International ISDEV Graduate Workshop), INGRAW 2009 telah berlangsung dengan jayanya. Sebanyak 61 kertas kerja telah dibentangkan dengan tema-tema Pembangunan, Wakaf, Pembiayaan Mikro-Kredit, Dakwah, Perbankan, Produk Halal, Zakat, Politik, Aset, Kewangan, Etika, Sosiologi, Perubatan, Bahasa, Pengurusan, Pendidikan, Sejarah, Tamaddun, Teknologi Maklumat dan Ilmu.

Di kesempatan ini, ingin saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua ahli Jawatankuasa Penganjur INGRAW 2009 yang telah bertungkus-lumus menyumbangkan tenaga dan usaha baik yang lahir mahupun yang batin dalam memastikan kejayaan penganjuran bengkel ini. Kepada semua ahli Jawatankuasa INGRAW, Jazakallahu Khairan Kathiran!

Vice-Chair: Mr. Mohamad Salleh Abdullah
Secretary: Mr. Ahmad Azrin Adnan
Treasurer: Ms. Raziah Md Tahir

Secretariat & Registration
: Ms. Raziah Md Tahir
: Ms. Malissa Nadia Mohd Rozi
: Ms. Jawani Hamid
: Ms. Aimi Nadirah Mohd Nadir
: Ms. Shafiza Shaari

Editors
: Dr. Fadzila Azni Ahmad
: Mr. Mohamad Salleh Abdullah
: Mr. Ahmad Azrin Adnan

Technical Coordinator
: Mr. Zul-kifli Hussin
: Ms. Norhidayah Md Saad
: Ms. Raidah Abd Rahman
: Ms. Ku Nor Ashikin Ku Ahmad Zamri

Logistic
: Mr. Ekarat Sitisan
: Mr. Sunaryo
: Ms. Norhayati Abdullah
: Mr. ‘Imaaduddin Abdul Halim
: Ms. Aniza Elias

Security & Special Tasks
: Mr. Ahmad Azrin Adnan
: Ms. Raziah Md Tahir
: Mr. Mohd Rizal Abu Bakar
: Ms. Nuruleeifa Noordin

Communication
: Mr. Mohamad Salleh Abdullah
: Mr. Ahmad Azrin Adnan
: Ms. Shereeza Mohamed Saniff

Booth
: Ms. Jawani
: Ms. Lenny Luat
: Ms. Inke Kesumawati Adnan
: Ms. Siti Syuhadah Mohamad
: Ms. Nor Hidayah Naziha Adnan

Meals & Refreshment
: Ms. Marlina Ekawaty
: Ms. Norhayati Abdullah
: Ms. Raziah Md Tahir
: Mr. Abdullah Fahimy Abu Bakar
: Ms. Salimah Yahaya
: Ms. Che Khadijah Hamid

Session Chair
: Ms. Wan Norhaniza Wan Hassan
: Mr. Heri Kusmanto
: Mr. Warjio
: Mr. Suhrawardi K. Lubis
: Ms. Azrin Ibrahim
: Mr. Sukiman Usman Raliby
: Mr. Al Umry
: Mr. Farid Wajdi
: Mr. Khairul Faizi Mohd Rafie
: Ms. Shereeza Mohamed Saniff
: Ms. Puti Nurhendrawaty Hasman
: Ms. Radieah Mohd. Nor
: Mr. Mohd Syakir Mohd Rosdi
: Mr. Shahir Akram Hassan
: Ms. Tuan Azura Raja Ismail

Sunday, August 16, 2009

MUSAFIR INI - ASAHAN (13 - 16 OGOS 2009)

Tanggal 14 dan 15 Ogos 2009 pihak Universitas Asahan, Sumatera Utara telah menjemput Profesor Syukri, Pengarah ISDEV untuk menyampaikan syarahan dan kertas kerja dalam pertemuan akademik anjuran mereka. Selain Profesor Syukri pihak jawatankuasa penganjur juga menjemput dua pensyarah dari ISDEV untuk turut serta sebagai 'Nara Sumber Pendamping'. Alhamdulillah saya diberi peluang oleh Allah untuk ikut serta di samping Dr. Zaini.

Profesor Syukri telah dijemput untuk menyampaikan Syarahan Umum yang bertajuk "Pembelajaran dari Hati ke Hati" untuk para dosen (pensyarah) Universitas Asahan pada 14 Ogos 2009 dan kertas kerja berkenaan Pendidikan Yang Berkualiti dalam seminar yang bertajuk "Pendidikan Berkualitas dalam Perspektif Manajemen Mutu dan Investasi" untuk hampir seribu orang pendidik di Asahan pada 15 Ogos 2009. Dr. Zaini dan saya pula diminta menjadi Nara Sumber Pendamping bagi Syarahan Umum Pembelajaran Hati ke Hati yang akan disampaikan oleh Profesor Syukri pada 14 Ogos.

Asahan, destinasi permusafiran kami kali ini terletak dalam 4 hingga 5 jam perjalanan menaiki kereta dari Medan. Oleh kerana hari telahpun lewat malam ketika pesawat Air Asia mendarat di Medan tanggal 13 Ogos 2009, maka kami bermalam di Medan terlebih dahulu. Mengikut perancangan, kami seharusnya bertolak ke Asahan pada keesokan paginya. Syarahan Umum tersebut dijadual bermula pada sebelah petang.

Di lobi hotel tempat kami menginap sewaktu di Medan

Bersama Pak Umry di Polonia

Ketibaan kami di Polonia Medan disambut oleh Pak Umry, pelajar PhD ISDEV di Medan. Beliaulah juga yang membawa kami ke Asahan menaiki kenderaan beliau. Sebenarnya Pak Umry merupakan pengantara pihak Jawatankuasa program di Asahan dengan pihak ISDEV. Kesemua urusan kami di Asahan dan juga Medan diuruskan oleh beliau. Alhamdulillah, berkat susah payah dan usaha beliau, banyak urusan kami yang dipermudahkan. Terima kasih wahai Tuhan kerana mengirimkan beliau.

Perjalanan dari Medan ke Asahan agak panjang. Jalannya juga agak sempit. Hanya ada satu lorong untuk setiap laluan. Gementar juga melihat Pak Umry memandu ala-ala Michael Knight memandu KITT di jalan yang sesempit itu. Namun Pak Umry kelihatannya tenang sahaja. Di sepanjang perjalanan ucapan-ucapan selamat menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak dan selamat menyambut kemerdekaan Republik Indonesia menghiasi pemandangan. Di satu ketika kami berkesempatan memerhatikan anak-anak Indonesia sedang membuat raptai perbarisan kemerdekaan. Selain itu, perjalanan ke Asahan turut dihiasi bangunan-bangunan yang menempatkan sarang burung layang-layang. Satu pemandangan yang baru bagi saya. Menurut Pak Umry, perdagangan sarang burung layang-layang merupakan aktiviti yang sangat aktif di sana.

Ucapan selamat menyambut kedatangan Ramadhan menghiasi pemandangan sepanjang perjalanan ke Asahan

Ucapan buat menyambut ketibaan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia yang akan berlangsung tanggal 17 Ogos

Kelihatan anak-anak sekolah sedang membuat raptai perbarisan kemerdekaan

Lagi raptai perbarisan kemerdekaan. Kelihatan beberapa botol teh manis yang mungkin buat menghilang dahaga setelah letih berbaris

Dua buah bangunan yang menempatkan sarang burung layang-layang di dalamnya

Terdapat lubang-lubang kecil di dinding bangunan untuk burung keluar masuk bangunan

Sesampai di Universitas Asahan (UNA), program Syarahan Umum Pembelajaran Hati ke Hati terus dimulakan. Walaupun kemudahan infrastruktur di UNA kekurangan dari banyak segi, namun ia tidak sedikitpun menghalang para dosennya untuk mendengar dan berkongsi ilmu berkaitan kaedah pengajaran dan pembelajaran menurut perspektif Islam dengan penuh minat. Bahkan mereka merasa cukup teruja menyambut ilmu tentang kaedah pengajaran-pembelajaran yang dijalankan di ISDEV. Memang begitu sifat rata-rata orang Indonesia. Mereka memang sangat mencintai ilmu.

Fakultas Teknik, UNA

Program-program pengajian di Fakultas Teknik, UNA tertera di papan tanda hadapan bangunan fakulti

Bersama dengan sebahagian dosen yang mengikuti Syarahan Umum yang disampaikan oleh Profesor Syukri

Bergambar kenangan bersama dengan dosen Muslimah UNA

Sesudah acara Syarahan Umum di UNA tamat, kami dibawa ke tempat penginapan kami untuk tujuan bermalam sebelum bermulanya program Seminar keesokan hari. Penginapan kami ini disediakan oleh pihak UNA sendiri. Kami ditempatkan di rumah tamu milik Bakrie Sumatera Plantations. Bakrie Sumatera Plantations ini merupakan sebuah perusahaan besar di Indonesia. Rumah tamu yang menempatkan kami memang cukup besar dan kelihatan mewah. Suasananya juga cukup nyaman dengan hembusan penghawa dingin yang dapat dirasakan hingga ke tulang. Dalam selang hanya beberapa minit sahaja kami merasai dua suasana yang cukup berbeza. Sebentar tadinya di UNA dan kini di kediaman milik Bakrie Sumatera Plantations.

Gerbang masuk ke rumah tamu Bakrie Sumatera Plantations

Ruang tamu kediaman yang menempatkan kami

Makan minum kami di sepanjang tempoh menginap disediakan oleh pembantu khas yang bertugas

Bergambar bersama pembantu khas rumah tamu

Keesokan harinya sebelum ke Seminar, kami dijemput untuk mengadakan perbincangan dengan Rektor UNA di pejabat beliau. Banyak perkara yang dapat diperoleh dan dikongsi bersama dengan beliau. Perbincangan kami tersebut diselangi sesekali dengan masalah keputusan bekalan elektrik. Menurut Rektor UNA, hal sebegitu memang kerap berlaku. Selesai perbincangan dengan Rektor UNA barulah kami berangkat ke lokasi Seminar.

Perbincangan dengan Rektor UNA
Sesampai di lokasi Seminar kami disambut dengan begitu banyak papan hiasan bunga kertas. Di Indonesia, papan hiasan bunga kertas seperti ini sangat popular bagi menggantikan banner yang biasa digantung di Malaysia untuk memaklumi umum tentang satu-satu acara

Selain Profesor Syukri, Seminar Pendidikan Internasional ini turut menyaksikan pembentangan dari wakil Bakrie Sumatera Plantations dan juga Rektor UNA sendiri
Wali kota Asahan merupakan tetamu kehormat Seminar. Beliaulah yang merasmi dan menutup Seminar ini. Beliau diperhatikan mengikuti Seminar ini sejak dari mula sehingga tamat selain turut melibatkan diri dalam perbincangan

Profesor Syukri bergambar bersama (dari kiri) Wakil Jawatankuasa Penganjur Seminar, Wali Kota Asahan, Wakil Bakrie Sumatera Plantations dan Rektor UNA

Selesai acara seminar kami dibawa oleh Pak Umry kembali ke Medan. Keesokan harinya kami menerima jemputan makan tengahari di rumah Pak Wardi, Timbalan Rektor UMSU dan pelajar PhD ISDEV di Medan. Sekaligus selepas itu kami mengadakan penyeliaan tesis bagi pelajar-pelajar siswazah ISDEV yang berada di Medan sebelum kembali ke tanahair pada petangnya.