Saturday, May 29, 2010

BICARA HIKMAH SANG GURU

Izinkan diri ini memetik bicara hikmah guruku buat peringatan diri ini dan rakan bloggers
BERAMAL & BERJUANG MENGIKUT KEMAMPUAN

Semalam, 28 Mei 2010, ketika menghadhiri usrah Persatuan Malaysia Jeddah di IDB Compound, seorang hadhirin bertanya kepada Ketua Usrah: "Dalam usrah ini, kita banyak meluahkan pandangan dan perasaan kita terhadap masalah orang Islam, tetapi pandangan dan perasaan saja tidak cukup. Kita patut ada action plan. Tetapi untuk lakukan itu, siapa yang boleh kita angkat sebagai ketua? Dalam dunia Islam, mana ketuanya yang boleh kita harap? Dalam OIC, siapa ketua yang boleh kita ikut?"

Ketua Usrah dengan sabar menerangkan: "Kita cuba sedar tentang masalah orang Islam. Kita ada action plan. Dalam usrah ini tadi misalnya, telah kita rancang untuk perbaiki wakaf (tempat yang patut berhenti) bacaan al-Mathurat yang kita baca ramai-ramai tadi. Kita juga telah rancang untuk menghafal dan mengamalkan doa-doa, dari doa makan hinggalah doa masuk tandas, doa naik kenderaan, doa tidur, doa memakai pakaian dan sebagainya. Kita juga rancang nak mengadakan qia-mulail sekurang-kurangnya sekali sebelum Ramadhan ini. Sebelum ini kita juga telah sama-sama adakan tabung untuk bantu pelajar-pelajar (orang-orang Melayu Mekah) belajar di universiti-universiti. Itulah action plan dan action kita".

Bagi sesetengah orang, jawapan sebegitu tentulah tidak memuaskan., malah merupakan anti-climax kepada soalan tadi. Yang bertanya itu mempunyai agenda besar. Beliau mahu melakukan sesuatu di peringkat ummah, di peringkat dunia, bukan setakat di peringat kumpulan dan kampongan. Sedangkan jawapan yang diterimanya hanyalah tertumpu kepada perkara-perkara asas: membetulkan bacaan, mengamalkan doa, melakukan ibadah asas, dan melaksanakan kebajikan. Ini semua pada sebahagian orang tentulah amat remeh sekali berbanding dengan isu-isu penderitaan umat Islam di seluruh dunia: kemiskinan, penindasan, keganasan, dan sebagainya.

Apa sikap kita warga ISDEV dalam keadaan sedemikian?

Pada saya, perisitiwa yang sebegini tidak mengejutkan. Saya masih ingat, ketika Sabah jatuh ke tangan PBS pimpinan Joseph Pairin yang dikatakan pro-Kristian, saya mengikuti dialog guru saya dengan sebahagian umat Islam di sana yang mahu mengambil kembali kuasa politik dari PBS. Mereka menceritakan pelbagai perkara yang membimbangkan dan mula meminta pandangan bagaimana mengatur strategi untuk kembali mendapat kuasa politik. Guru saya dengan lembut bertanya mereka:

"Jika tuan-tuan banyak bersembahyang sunat, apakah Pairin marah?". Mereka menjawab, tidak. "Jika tuan-tuan banyak berpuasa sunat, apakah Pairin marah?". Mereka menjawab, tidak. "Jika tuan-tuan banyak membaca al-Qur`an, apakah Pairin marah?". Mereka menjawab, tidak. "Jika tuan-tuan makan makanan yang halal, apakah Pairin marah?". Mereka menjawab, tidak.

Guru saya menyambung lagi: "Kalau begitu, apakah tuan-tuan mengamalkan apa-apa yang Pairin tidak marah ini?". Mereka menjawab, juga tidak.

Mengingatkan peristiwa di Sabah ini, saya teringat akan cerita Khalifah Sayyidina Umar Ibn Khattab yang mengarahkan tenteranya bersugi sebelum bersolat, dan merapat serta meluruskan saf solat, padahal ketika itu para tentera itu sedang cemas berperang dengan musuh tetapi tidak menang-menang. Kenapa Sayyidina Umar hanya menyuruh perkara yang remeh-remeh seperti bersugi dan memperkemaskan saf solat, sedangkan pada logik aqal tentulah lebih munasabah beliau mengarahkan agar memperbaiki strategi dan kedudukan perang, meneliti keberkesanan peralatan-peralatan yang dipakai dan sebagainya.

Jawapannya ada pada pertanyaan guru saya kepada orang-orang Islam di Sabah itu. Kenapa kita mahu fikirkan perkara yang besar-besar sedangkan yang kecil-kecil dan mudah-mudah yang masih boleh dijadikan senjata yang cukup berkesan tidak kita gunakan? Hadith Qudsi jelas menerangkan bahawa cintanya Allah swt kepada seseorang itu bukanlah kerana orang itu melakukan perkara yang diwajibkan ke atasnya. Itu sememangnya tanggungjawab dan perintah yang mesti dilaksanakan. Tetapi cintanya Allah swt kepada seseorang itu adalah kerana perkara-perkara sunat yang dilakukannya, kerana itu adalah amalan tambahan dan dilakukan atas dasar sukarela, atas dasar kasihnya seseorang itu kepada Allah s.w.t. Atas sebab demikian, walaupun bagi sesetengah orang perkara-perkara tadi dipandang remeh, tetapi bagi orang yang mengetahui rahsia tersirat, itu semua adalah sebab yang cukup dinamik untuk mendapat bantuan dan kemudahan dalam apa jua yang kita lakukan.

Itulah sebabnya di ISDEV kita cukup tekankan kepada amalan-amalan sunat (tambahan) ini. Kita cuba berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis, Kita berasmaul husna sebelum memulakan majlis. Kita membaca Fatihah pada permulaan majlis dan mengakhirinya dengan membaca surah wal-'Asr. Kita bersembahyang dan makan berjemaah. Dan pada masa terdekat ini boleh kita tambahkan dengan pelbagai lagi amalan-amalan yang boleh membuat Allah swt cintakan kita dan oleh itu akan sentiasa memberi bantuan atas apa jua yang kita usahakan dan melindungi kita dari segala musibah. Umpamanya, kita boleh cuba melakukan sujud syukur sebanyak mungkin. Kita boleh cuba memakai pakaian dengan warna yang digemari oleh Rasulullah s.a.w.

Oleh itu, semua warga ISDEV kena hindarkan dari berfikir seperti peserta usrah di Jeddah yang bertanya itu. Kalau tidak, saya bimbang kita akan terperangkap dengan tiga kesilapan besar.

Pertama, kita nampak kesalahan orang lain, tetapi tidak bermuhasabah dengan diri kita sendiri. Kita nanti akan sering nampak kesalahan musuh apabila gagal melakukan sesuatu, tetapi tidak nampak kesalahan diri sendiri. Kita akan sentiasa menyalahkan musuh tetapi tidak menyalahkan diri sendiri. Malanglah kita jika kita bersikap demikian kerana Imam al-Ghazali menjelaskan, antara tanda orang yang tidak mendapat hidayah daripada Allah swt adalah orang yang tidak nampak akan keaiban dirinya. Bagaimana ISDEV boleh maju ke hadapan jika kita semua tidak mendapat hidayah daripada Allah swt?

Kedua, kita mahu sesuatu dilakukan untuk kebaikan Islam dan umatnya, tetapi yang mesti melakukannya ialah orang lain, bukan kita sendiri. Dalam keadaan demikian, kita akan sentiasa marah apabila orang lain tidak melakukan sesuatu yang kita fikirkan baik untuk Islam, tetapi kita sendiri tidak marah kepada diri sendiri kerana tidak melakukannya. Kita rasa kita mahu berjuang, tetapi pada hakikatnya kita sebenarnya mengharap dan oleh itu mendesak orang lain yang melaksanakan perjuangan itu, bukan kita. Malanglah kita kalau begitu, kerana itu tertipu (ghurur) dalam perjuangan namanya, sebagaimana telah dihuraikan oleh Imam al-Ghazali di dalam Ihya Ulumiddin.

Ketiga, kita berhasrat mahu melakukan sesuatu untuk Islam, tetapi kita lupa bahawa yang hendak kita lakukan itu adalah cukup besar dan jauh di luar kemampuan kita. Oleh itu, yang tinggal hanyalah cita-cita. Kalau pun kita cuba lakukan juga, maka kita akan berdepan dengan segala susah payah dan kegagalan, dan mungkin juga kekecewaan dan putus asa, walaupun Allah swt marah kepada orang yang berputus asa. Dengan lain perkataan, kail kita sejengkal tetapi lautan hendak kita jangkau. Sampai bila pun, pada hukum adatnya, kita tidak akan berjaya mencapai cita-cita kita, walaupun cita-cita kita adalah baik. Kita sepatutnya fikir perkara yang mampu kita lakukan dahulu, walaupun hanya sebesar zarah, agar dengan itu, sikit demi sedikit Allah swt akan kurniakan kemampuan yang lebih besar untuk melaksanakan perkara yang lebih besar, InsyaAllah.

Mari kita doakan muga-muga kita warga ISDEV tidak terperangkap dengan tiga kesilapan ini, InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment