Thursday, July 19, 2012

RAMADHAN - NAK KE TAK NAK KE..


Ramadhan kini tiba lagi. Bulan yang sangat mulia dan peluang yang besar untuk berusaha memperbaiki diri dan mengharapkan agar senantiasa berada di atas jalan hidayah. Moga-moga diri dapat mewarisi jiwa salafussoleh yang sangat menantikan kedatangan Ramadhan umpama menunggu seseorang yang amat dikasihi. Ramadhan adalah bulan rahmat yang di dalamnya dijanjikan pengampunan dan pembebasan dari azab api neraka. Banyak lagi ganjaran luar biasa dikurniakan termasuklah kemudahan bermujahadah kerana satu daripada dua musuh dalam diri 'tiada' akibat dibelenggu.


Menurut ibn Hajar, maksud Hadith syaitan itu dibelenggu dalam bulan Ramadhan ialah ia tidak dapat menggoda manusia. Bermakna dalam bulan yang mulia ini manusia hanya perlu berhadapan dengan godaan dan rayuan hawa nafsunya sendiri. Kini ada dua pilihan,  menuruti nafsu yang tidak terkawal sehingga tetap melakukan maksiat dan kederhakaan di bulan yang suci atau bermujahadah melawan sungguh-sungguh kehendak nafsu yang sentiasa ingin mendorong ke arah kejahatan.



Kiranya bermujahadah yang kita pilih maka: 
Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu” [al-Syams, 91:9]

Kiranya memuaskan nafsu yang dipilih maka:
Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya” [al-Syams, 91:10]

Jalan manakah yang menjadi pilihan? Bermujahadah? Menyerah? Terserah! Bagaimana cara kita memaknai Ramadhan akan memberi jawapan di akhir nanti - apakah layak kita meraikan kemenangan tatkala Idul Fitri menjelang? Apakah fitrah kita akan kembali murni di penghujung Ramadhan nanti? Apakah mujahadatunnafs akan mendarah daging dan terus dilazimi sekalipun Ramadhan telah berakhir? Moga Ramadhan kali ini lebih bererti buat kita semua. Moga kita tergolong dalam golongan yang memperoleh peringkat assaumul khususul khusus. Moga kita dapat sama-sama mengembalikan diri kepada fitrah murni. Ameen.