Saturday, September 24, 2011

BURUK PADA LELAKI BAIK PADA WANITA

Menurut Sayyidina Ali radhi Allahu 'anhu: “Terdapat tiga sifat terpuji jika dimiliki oleh perempuan, dan buruk jika dimiliki oleh lelaki; sombong, penakut dan bakhil (kikir).

Apabila seorang perempuan itu sombong maka ia tidak akan mengizinkan lelaki asing (bukan muhrim) memasuki kehidupannya,


Apabila ia bakhil maka ia dapat menjaga hartanya dan harta suaminya,


Dan apabila ia penakut maka ia akan selalu menjauhkan diri dari segala sesuatu yang membahayakannya

Wednesday, August 17, 2011

WASIAT SEORANG IBU


Isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani pernah berpesan kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:

“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.

Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.

Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi 'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.

Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.

Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.

Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.

Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.

Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.

Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.

Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.

Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.” [dipetik dari - http://jendelahikmah05.blogspot.com/2005/08/isteri-solehah-pasti-pelihara-10-sifat.html]

Tanggungjawab itu memang cukup berat. Ia hanya mudah bagi yang dipermudahkan Allah...

Sunday, July 17, 2011

IN THE NEWS

LAYU

Jiwa yang ketandusan iman, kegersangan ilmu dan kesepian amal umpama daun yang kering dan layu. Ia kelesuan, hanya menunggu saat kehancuran.

Sunday, May 08, 2011

BETAPA HEBATNYA


Puisi Cinta oleh Sheikh Jalaluddin al-Rumi

Cinta adalah kekuatan,
yang mampu mengubah duri jadi mawar,

mengubah cuka jadi anggur,

mengubah sedih jadi riang,

mengubah amarah jadi ramah,

mengubah musibah jadi muhibbah,

itulah cinta..
.

Puisi ini telah dideklamasikan oleh Ayatul Husna dalam kisah Ketika Cinta Bertasbih. Sebenarnya bukan kisah cinta itu yang ingin diungkapkan di sini. Tetapi hal cinta yang jauh lebih hebat dan agung. Cuba fikirkan betapa kiranya cinta itu diletakkan pada Allah, pada Rasulullah dan pada perjuangan di jalan Allah. Segala kepayahan yang ditempuh akan dilihat sebagai hiburan dan kemanisan. Ujian yang menduga dilihat hanya babak sampingan dalam kehidupan yang sementara. Kerana hati dipenuhi dengan cinta yang terhebat dan terindah. Mampukah kita? Mahukah kita?

Saturday, April 30, 2011

KECIL? TIADA MASALAH!

Saya begitu tertarik dengan siri Junior Masterchef Australia yang bersiaran di Astro dan baru sahaja mencapai kemuncaknya minggu ini. Juaranya juga telah dinobatkan. Entah mengapa saya begitu meminatinya. Mungkin kerana saya sememangnya sukakan makanan atau mungkin juga kerana berasa takjub dengan hidangan bertaraf ‛lima bintang’ yang dihasilkan dengan baik sekali oleh si kecil berusia antara 8 hingga 12 tahun.

Hidangan yang dihasilkan oleh Sienna - 9 tahun

Hidangan yang dihasilkan oleh Lucy - 11 tahun

Ataupun mungkin hati tertarik kerana melihatkan anak-anak kecil ini seolah-olah tidak pernah memikirkan mereka ini hanyalah punya ketinggian separas dapur. Malah terus-menerus sahaja mereka berusaha menghasilkan hidangan terbaik, jauh lebih baik daripada upaya usia mereka – secara adatnya. Seakan-akan usia, saiz dan kemudaan tidak pernah menjadi halangan buat mereka.

Para juri Junior Masterchef Australia

Sebenarnya, dalam catatan sejarah Islam terdapat anak-anak kecil yang jauh lebih berjiwa besar daripada mereka ini. Perhatikan kisah Nabi Daud ‛alaihissalam yang mencatatkan beliau telahpun ikut menyertai bala tentera Talut ketika berusia 9 tahun. Bahkan beliaulah yang membunuh Jalut sehingga memberi kemenangan kepada angkatan tentera Talut. Sayyidina Ali ibn Abi Talib pula tatkala mengetahui tentang Islam daripada Rasulullah salallahu ‛alaihi wassalam dan Sayyidatina Khadijah mengambil keputusan besar dengan memeluk agama tersebut pada usia 8 tahun sehingga menjadi kanak-kanak pertama memeluk agama Islam dan insan kedua selepas Sayyidatina Khadijah sebagai Muslim di celah-celah amuk Jahiliyyah tika itu. Imam Shafie radhiallahu ’anhu pula telah menghafaz al-Qur’an seawal usia 7 tahun. Pada usia 10 tahun pula beliau telah menghafal kitab al-Muwatta’ yang mengandungi 5,000 potong Hadith. Beliau hanya mengambil masa 9 malam sahaja untuk menghafal keseluruhan kitab tersebut.


Apakah sebenarnya rahsia mereka? Pepatah Arab ada mengatakan “Man Jadda Wa Jada” yang bermaksud “Barangsiapa yang bersungguh-sungguh akan mendapat apa yang diinginkan”. Bermakna, bukan faktor usia, bukan faktor kelebihan-kelebihan lain seperti kewangan, kesenangan, kelapangan masa, kedudukan pangkat dan lain-lain kemudahan. Tetapi faktor kesungguhan. Tanpa kesungguhan, sekalipun punya seluruh nikmat di dunia ini kejayaan tidak akan dikecapi. Sebaliknya, dengan kesungguhan kejayaan bisa dicapai. Kerana apa? Kerana di sisi Islam, orang yang bersungguh-sungguh ini sentiasa dalam perhatian Allah dan senantiasa akan ditunjukkan jalan sebagaimana firman Allah:

Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh pada jalan Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” [al-Ankabut, 29:69].

Lebih-lebih lagi kiranya kesungguhan ini berpasakkan iman, insya-Allah kekecewaan tidak akan menyapa kerana Allah SWT juga berfirman

Dan janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi jika kamu orang-orang yang beriman [Aali 'Imraan, 3:139].

Yakinlah dengan janji-janji ini.