Monday, June 07, 2010

KEMBARA KE JEDDAH - CATATAN HARI 3

30 April 2010 - Masih di Makkah. Alhamdulillah, masih diizinkan-Nya untuk menempuh hari ketiga di kota suci ini. Di sini waktu Fajr masuk dalam jam 4.15 pagi. Seawal jam 3.30 lagi kami sudah bersiap-siap di lobi hotel untuk melangkah ke Masjidil Haram. Kebiasaannya hari Jumaat Masjidil Haram akan penuh dengan umat yang datang dari pelusuk tanah Arab dan juga tempat-tempat lain untuk menunaikan solat dan Umrah. Untuk itu kami perlu perlu bertolak awal agar berpeluang solat Subuh berjamaah di dalam Masjidil Haram. Di sini hari Jumaat merupakan hujung minggu mereka. Lantaran itu penduduk Arab ramai yang mengambil peluang bersempena cuti hujung minggu untuk ke Makkah menunaikan ibadah. Berbeza dengan hari sebelumnya yang agak tenang, ruang tawaf, saie dan solat pada hari ini penuh sesak dengan umat. Hati terasa sayu melihatkan betapa ramainya hamba Allah yang hadir untuk menunaikan ibadah. Beragam-ragam bangsa, pelbagai warna kulit dan bermacam peringkat umur - semuanya tertumpu untuk mendirikan ibadah, bersatu di bawah satu kalimah. Lebih syahdu lagi sekiranya mereka ini hadir dengan membawa niat yang satu yakni membesarkan Ilahi. Rata-rata tergambar wajah-wajah yang khusyuk mengerjakan ibadah baik yang sedang bertawaf, bersaie, menunaikan solat, membaca al-Quran mahupun yang berzikir. Tatkala solat Subuh, Imam pula membacakan surah al-Sajadah dalam rakaat yang pertama dan al-Insaan dalam rakaat yang kedua. Hati semakin bertambah syahdu.

Di lobi Hotel Al-Waleed Royal sebelum menunaikan solat Subuh di Masjidil Haram

Pemandangan dari tingkat dua - suasana di hadapan Kaabah

Suasana selepas solat Subuh, penuh dengan umat yang sedang mengerjakan tawaf

Si kecil juga tidak ketinggalan menunaikan ibadah

Selesai solat Subuh kami kembali ke hotel untuk menikmati sarapan pagi yang telah disediakan oleh pihak hotel buat yang menginap. Memandangkan hotel ini milik warga Malaysia maka makanan yang dihidangkan juga adalah selera Malaysia. Dapat juga menikmati masakan Malaysia sekalipun beribu-ribu batu jauhnya dari tanahair. Dan yang terenak dapat juga menghirup sup. Hmm.. rindu juga rupanya. Baru hari yang ketiga. Belum lagi bermusafir berbulan-bulan seperti para Sahabat yang bertebaran ke serata dunia demi misi menyebarkan ajaran Islam. Bahkan ada Sahabat yang bermusafir hingga ke akhir hayatnya dan dimaqamkan di luar tanah Arab.

Jam 11 pagi kami kembali bersiap sedia untuk ke Masjidil Haram menunaikan solat Jumaat. Dalam sepanjang hayat inilah kali pertama mengerjakan solat Jumaat. Dapat pula menunaikannya di Masjidil Haram. Dan Alhamdulillah juga tika masuk ke Masjidil Haram dapat pula tempat bersolat yang dapat menatap Kaabah. Nikmat yang sungguh besar buat hamba yang kerdil ini.

Selain solat Jumaat, tanah suci ini juga menjadi saksi menunaikan solat jenazah buat pertama kalinya. Sejak hadir pada hari sebelumnya, solat jenazah dilaksanakan selepas setiap waktu solat fardhu. Bermakna saban waktu solat sentiasa ada hamba-Nya yang dijemput Ilahi di sini. Ini juga menggambarkan betapa ramainya umat yang berada di sini. Kalau boleh didapatkan kadar kematian seorang Muslim dalam sehari tentu boleh dicongak berapa ratusan ribu manusia yang sedang berada di tanah suci ini.

Selesai menunaikan solat Jumaat kami bersiap siaga untuk pulang semula ke Jeddah. Untuk kembali ke Jeddah kami ditumpangkan oleh teman Profesor Syukri iaitu Dr. Razley. Beliau merupakan Pengarah Jabatan Sains dan Teknologi, OIC yang juga menginap di Jeddah. Profesor Syukri dan Kak Zi tidak ikut serta. Mereka pulang menaiki teksi setelah selesai menunaikan solat Asar di Masjidil Haram. Dalam perjalanan pulang, sdr. Azrin duduk bersebelahan dengan Dr. Razley. Dari perbualan antara mereka berdua dapat difahami bahawa sememangnya rutin Dr. Razley ke Makkah saban hujung minggu. Kalaupun tidak ke Makkah beliau akan ke Madinah. Sungguh beruntung beliau kerana dipermudahkan Ilahi peluang yang sebegitu.


Kota suci Makkah terpaksa ditinggalkan buat sementara waktu untuk kembali ke Jeddah

Perjalanan pulang dari Makkah ke Jeddah

Perjalanan pulang diisi dengan melayani bicara hati. Sdr Azrin masih terus berbual dengan Dr. Razley. Tidak terduga sebenarnya telah dibuka peluang dan diizinkan Ilahi untuk berada di bumi ini. Dapat pula menjadi tetamu Ilahi di kota suci. Lebih-lebih lagi dapat menunaikan ibadah dengan aman dan dipermudahkan dari segala segi. Terlalu banyak kurniaan Allah buat diri ini yang serba serbi kekurangan. Tidak terucapkan rasa terima kasih buat-Mu Tuhan. Hanya setinggi-tinggi syukur yang dapat dipanjatkan. Moga-moga Engkau menjadikanku dari kalangan hamba-Mu yang sering bersyukur atas tiap nikmat kurniaan-Mu.

Lamunan tersentak dengan kata-kata Ummu, anak Prof yang bongsu. "Itulah satu-satunya hiburan orang Arab". Pandangan dialih ke luar tingkap. Kelihatan Ferris Wheel berserta peralatan permainan Fun Fair yang lain. Sekurang-kurangnya inilah hiburan yang ketara buat orang Arab. Yang tidak ketara Wallahu'alam.

Pemandangan Ferris Wheel ini sering kelihatan dimana-mana


Secara tiba-tiba memori bermusafir dengan warga ISDEV menerjah ruang fikiran. Kalau di tengah perjalanan sebegini ruang waktu tidak akan sunyi. Akan sentiasa diisi dengan antara lain tazkirah para Ustadz, dendangan nasyid oleh Anwar dan Fahd, qasidah Dr. Abdul Hameed, kuiz 'bijak sahabat' MISDEV'09 dan teka-teki. Semuanya buat mengisi tuntutan bermusafir dalam Islam iaitu memperkuatkan fizikal, mempertajamkan akal dan memperhaluskan jiwa. Moga-moga musafir ke Jeddah, Makkah dan nantinya Madinah ini dapat merealisasi tuntutan tersebut. Lebih-lebih lagi apabila diberi peluang bermusafir dengan guru dan sahabat. Secara tiba-tiba teringat akan satu teka-teki wajib dalam musafir ISDEV - ada berapa banyak jenis ikankah yang berada di lautan dan apakah jenis-jenis ikan tersebut.


Sekali gus teringat jua teka teki comel yang pernah dikemukakan oleh Wan semasa bermusafir ke Perlis - mengapakah burung jatuh apabila ia terbang berdekatan dengan kapal terbang? Ternyata hati merindui teman-teman di ISDEV. Ini baru terpisah sekelumit jarak waktu. Jauh sebentar cuma berbanding Prof yang telah berada di sini lebih dua bulan lamanya. Banyak dikorbankan demi sebuah perjuangan. Mengapa tidak diri ini? Dan kamipun semakin menghampiri Jeddah. Satu lagi misi mencabar perlu diselesaikan sebelum hari ketiga ini berakhir - menyediakan makan malam buat kami berenam.