Showing posts with label Definisi Kualiti. Show all posts
Showing posts with label Definisi Kualiti. Show all posts

Friday, July 11, 2008

KONSEP KUALITI LAZIM DALAM AJARAN ISLAM?

Secara umumnya, pengertian kualiti yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh kualiti lazim tampak cukup baik sekali. Sebagai contoh, pengertian kualiti yang dicirikan sebagai usaha memenuhi kehendak pelanggan, memastikan produk yang dihasilkan sesuai dengan kegunaannya, kompetitif, tanpa sebarang kecacatan dan menghampiri kesempurnaan merupakan nilai yang dianggap universal dan diterima umum. Begitu juga matlamat untuk mencapai yang terbaik dalam setiap pekerjaan yang dilaksanakan di peringkat institusi dan saling bekerjasama di antara ahli institusi untuk mencapai matlamat tersebut. Atas dasar ini, konsep kualiti yang diperkenalkan oleh tokoh-tokoh kualiti lazim sering diperakui sebagai konsep yang selari dengan ajaran Islam atau diyakini sebagai sintesis daripada ajaran Islam oleh sesetengah pemikir pengurusan dan pembangunan Islam. Sandaran penghujahan daripada sumber rujukan utama Islam iaitu al-Quran dan Hadis juga digunakan untuk memperkukuhkan pandangan yang dikemukakan itu.

Bahkan istilah kualiti lazim juga turut disama ertikan dengan istilah-istilah yang merujuk kepada kebaikan dan kecemerlangan dalam al-Quran dan juga Hadis. Ada di antaranya yang merujuk kualiti lazim sebagai hasanat, toyyibat, al-khair dan al-ma‘ruf yang disebut di dalam al-Quran dan al-itqan yang disebutkan di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. Manakala konsep memenuhi kehendak pelanggan pula disama ertikan dengan konsep menunaikan hajat insan lain dalam ajaran Islam.

Terdapat juga pemikir-pemikir pengurusan Islam yang berpandangan konsep kualiti lazim yang berpusatkan pencapaian kesempurnaan dalam penghasilan produk dan penawaran perkhidmatan adalah seiring dengan penciptaan kejadian-kejadian di dunia ini yang dilakukan penuh dengan ciri-ciri kesempurnaan oleh Allah SWT. Untuk tujuan ini, ayat-ayat al-Quran berikut sering dijadikan sebagai sandaran.

Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan(mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan” [Surah al-Mulk, 67:3].

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)[Surah al-Tin, 95:4].

Dalam pada itu, sesetengah pemikir Islam pula membincangkan keharusan pemakaian konsep kualiti lazim dari perspektif kesan pelaksanaannya. Sebagai contoh, pemakaian kaedah pengurusan kualiti lazim secara tidak langsung digalakkan dalam Islam kerana terdapat anjuran untuk berusaha dengan penuh kesungguhan bagi memperoleh rezeki yang halal dan juga untuk meningkatkan produktiviti dan pencapaian seseorang individu atau sesebuah organisasi. Hal ini diyakini dapat menyumbang kepada peningkatan sumber kekayaan umat Islam dan membantu merealisasikan pelaksanaan ibadah-ibadah lain yang dituntut dalam Islam seperti ibadah zakat.

Di atas dasar inilah diperhatikan tidak sedikit individu dan badan-badan Islam yang berautoriti pada masa ini berkeyakinan bahawa konsep kualiti lazim dapat memberikan kesan yang positif terhadap usaha pembangunan berteraskan Islam yang dilaksanakan umpamanya memangkinkan pembangunan yang ingin dilaksanakan. Di Malaysia sendiri terdapat cadangan yang menganjurkan pemakaian konsep kualiti lazim ke atas pengurusan institusi pembangunan berteraskan Islam termasuklah institusi masjid. Cadangan ini dibuat dengan keyakinan bahawa pengurusan institusi masjid akan dapat menerima anjakan paradigma dan seterusnya diharap dapat berperanan secara lebih berkesan dan mantap.

Namun demikian, apakah benar konsep kualiti lazim merupakan konsep yang selari dengan ajaran Islam atau sintesis daripada ajaran Islam? Benarkah konsep kualiti lazim mempunyai pengertian dan falsafah yang sama dengan konsep hasanat, toyyibat, al-khair dan al-ma‘ruf yang disebut dalam al-Quran dan al-itqan yang disebut dalam Hadis? [Ilustrasi dari bahan terbitan Penerbit Muttaqin]

Sunday, June 01, 2008

APA ITU KUALITI?

Dalam The Oxford Dictionary of Current English, kualiti diertikan sebagai kecemerlangan, keunggulan, ketinggian nilai dan mutu. Dalam kalangan tokoh-tokoh kualiti (quality gurus) pula kualiti dirujuk sebagai produk atau perkhidmatan yang ada ciri-ciri komersil (Shewhart), memenuhi kehendak pelanggan (Crosby, Ishikawa, Deming dan Feigenbaum), sesuai untuk kegunaan (Juran), berdaya saing (Ishikawa), tanpa kecacatan (Crosby dan Shingo) dan menghampiri kesempurnaan (Shingo dan Taguchi). Secara ringkasnya, kualiti menurut pentakrifan konvensional ialah sesuatu yang dipandang baik. Ukuran baik tersebut pula dilihat dari sudut kebolehniagaan. Ini bermakna sesuatu produk itu dikatakan berkualiti apabila ia ada nilai-nilai komersil, sesuai dengan kemahuan pelanggan, kompetitif dan tidak mempunyai sebarang cela sehingga ia dapat diniagakan dan mendatangkan keuntungan kepada pihak yang menghasilkannya. Begitu juga dalam penawaran perkhidmatan. Perkhidmatan yang berkualiti bermaksud mendengar, memberi respons dan melakukan sebarang bentuk usaha untuk memenuhi kehendak pelanggan sehinggalah pelanggan benar-benar berpuas hati. Tujuannya juga masih sama iaitu memperolehi keuntungan menerusi kepuasan pelanggan. Manakala pekerja yang berkualiti pula dikaitkan dengan tingkat produktiviti yang tinggi sehingga dapat membantu meningkatkan pendapatan dan keuntungan yang menjadi matlamat institusi dan syarikat. Persoalannya, apakah pengukuran kualiti sedemikian benar-benar mencukupi untuk menjadikan sesuatu produk, perkhidmatan bahkan kakitangan sebagai yang terbaik, cemerlang dan unggul? [Ilustrasi dari bahan terbitan Karya One Sdn Bhd].

Sunday, November 12, 2006

TQM - SALAHKAH?


Di sepanjang pengkajian dan pembacaan saya, penerimaan terhadap kaedah Pengurusan Kualiti Menyeluruh atau lebih terkenal dengan singkatannya, TQM adalah sangat meluas. Baik dari segi ilmiah mahupun dari segi amaliah, penerimaan terhadap kaedah pengurusan TQM cukup dominan ketika ini. Tidak hairanlah sekiranya diperhatikan pelaksanaan TQM seolah-olah dijadikan pra-syarat atau pengukur kepada baik buruknya pencapaian satu-satu institusi atau organisasi. Tidak ketinggalan institusi atau organisasi Islam sendiri. Begitu juga dengan penulis-penulis pengurusan dari kalangan umat Islam. Hampir kesemuanya menggalakkan pemakaian kaedah pengurusan TQM ini. Untuk memperkukuhkan saranan mereka, ayat-ayat al-Qur’an dan Hadith Nabi s.a.w. dipetik untuk dijadikan justifikasi terhadap perlaksanaan TQM.

Persoalannya, apakah tidak salah menerimapakai kaedah pengurusan yang berasal dari barat ini? Adakah TQM yang berakar umbi dari pemikiran barat ini benar-benar selari dengan perintah dan saranan yang terdapat di dalam ayat-ayat al-Qur’an dan Hadith-Hadith yang dijadikan asas untuk menjustifikasi kaedah TQM ini.

Tidak dinafikan bahawa Islam memerintahkan agar melaksanakan tiap sesuatu dengan cara yang terbaik. Itulah yang cuba ditekankan oleh pemikir-pemikir pengurusan Islam dalam menyarankan pemakaian kaedah TQM. Dari segi lahiriahnya, dari sudut pengoperasiannya dan secara teknikalnya, TQM sememangnya menekankan kesempurnaan. Walau bagaimanapun, apakah matlamat pencapaian kesempurnaan tersebut selari dengan ajaran Islam? Kesempurnaan yang ditekankan dalam TQM bermatlamatkan kepuasan pelanggan. Mengapa matlamat memuaskan hati pelanggan begitu penting sehingga apa sahaja yang dilakukan mesti dipastikan sempurna? Jawapannya; apabila kepuasan pelanggan dipenuhi, jualan dapat ditingkatkan. Apabila jualan dapat ditingkatkan, keuntungan dapat digandakan. Nah! Adakah ini matlamat kehidupan yang ditekankan dalam ajaran Islam? (Nota: Ilustrasi dari bahan terbitan Karya One Sdn Bhd)