Showing posts with label Falsafah. Show all posts
Showing posts with label Falsafah. Show all posts

Friday, July 11, 2008

KONSEP KUALITI LAZIM DALAM AJARAN ISLAM?

Secara umumnya, pengertian kualiti yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh kualiti lazim tampak cukup baik sekali. Sebagai contoh, pengertian kualiti yang dicirikan sebagai usaha memenuhi kehendak pelanggan, memastikan produk yang dihasilkan sesuai dengan kegunaannya, kompetitif, tanpa sebarang kecacatan dan menghampiri kesempurnaan merupakan nilai yang dianggap universal dan diterima umum. Begitu juga matlamat untuk mencapai yang terbaik dalam setiap pekerjaan yang dilaksanakan di peringkat institusi dan saling bekerjasama di antara ahli institusi untuk mencapai matlamat tersebut. Atas dasar ini, konsep kualiti yang diperkenalkan oleh tokoh-tokoh kualiti lazim sering diperakui sebagai konsep yang selari dengan ajaran Islam atau diyakini sebagai sintesis daripada ajaran Islam oleh sesetengah pemikir pengurusan dan pembangunan Islam. Sandaran penghujahan daripada sumber rujukan utama Islam iaitu al-Quran dan Hadis juga digunakan untuk memperkukuhkan pandangan yang dikemukakan itu.

Bahkan istilah kualiti lazim juga turut disama ertikan dengan istilah-istilah yang merujuk kepada kebaikan dan kecemerlangan dalam al-Quran dan juga Hadis. Ada di antaranya yang merujuk kualiti lazim sebagai hasanat, toyyibat, al-khair dan al-ma‘ruf yang disebut di dalam al-Quran dan al-itqan yang disebutkan di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. Manakala konsep memenuhi kehendak pelanggan pula disama ertikan dengan konsep menunaikan hajat insan lain dalam ajaran Islam.

Terdapat juga pemikir-pemikir pengurusan Islam yang berpandangan konsep kualiti lazim yang berpusatkan pencapaian kesempurnaan dalam penghasilan produk dan penawaran perkhidmatan adalah seiring dengan penciptaan kejadian-kejadian di dunia ini yang dilakukan penuh dengan ciri-ciri kesempurnaan oleh Allah SWT. Untuk tujuan ini, ayat-ayat al-Quran berikut sering dijadikan sebagai sandaran.

“Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan(mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan” [Surah al-Mulk, 67:3].

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)” [Surah al-Tin, 95:4].

Dalam pada itu, sesetengah pemikir Islam pula membincangkan keharusan pemakaian konsep kualiti lazim dari perspektif kesan pelaksanaannya. Sebagai contoh, pemakaian kaedah pengurusan kualiti lazim secara tidak langsung digalakkan dalam Islam kerana terdapat anjuran untuk berusaha dengan penuh kesungguhan bagi memperoleh rezeki yang halal dan juga untuk meningkatkan produktiviti dan pencapaian seseorang individu atau sesebuah organisasi. Hal ini diyakini dapat menyumbang kepada peningkatan sumber kekayaan umat Islam dan membantu merealisasikan pelaksanaan ibadah-ibadah lain yang dituntut dalam Islam seperti ibadah zakat.

Di atas dasar inilah diperhatikan tidak sedikit individu dan badan-badan Islam yang berautoriti pada masa ini berkeyakinan bahawa konsep kualiti lazim dapat memberikan kesan yang positif terhadap usaha pembangunan berteraskan Islam yang dilaksanakan umpamanya memangkinkan pembangunan yang ingin dilaksanakan. Di Malaysia sendiri terdapat cadangan yang menganjurkan pemakaian konsep kualiti lazim ke atas pengurusan institusi pembangunan berteraskan Islam termasuklah institusi masjid. Cadangan ini dibuat dengan keyakinan bahawa pengurusan institusi masjid akan dapat menerima anjakan paradigma dan seterusnya diharap dapat berperanan secara lebih berkesan dan mantap.

Namun demikian, apakah benar konsep kualiti lazim merupakan konsep yang selari dengan ajaran Islam atau sintesis daripada ajaran Islam? Benarkah konsep kualiti lazim mempunyai pengertian dan falsafah yang sama dengan konsep hasanat, toyyibat, al-khair dan al-ma‘ruf yang disebut dalam al-Quran dan al-itqan yang disebut dalam Hadis? [Ilustrasi dari bahan terbitan Penerbit Muttaqin]

Monday, November 20, 2006

HANYA ELEMEN TEKNIKALNYA SAHAJA DIAPLIKASI

Sekiranya asas falsafah TQM yang berorientasikan aspek material semata-mata tidak selari dengan ajaran Islam, apakah umat Islam masih boleh menerimapakai elemen-elemen teknikal TQM? Apakah benar elemen-elemen teknikal ini tidak ada hubungkait dengan asas falsafah TQM yang terikat kuat dengan pemikiran-pemikiran barat?

Penghasilan produk tanpa kecacatan dan penawaran perkhidmatan yang tepat pada masa misalnya merupakan antara elemen teknikal yang sangat ditekankan dalam TQM. Elemen-elemen ini juga merupakan sebahagian elemen kualiti TQM yang diyakini majoriti umat Islam sebagai bersifat sejagat, bebas nilai dan tidak dipengaruhi oleh asas falsafah TQM yang dicengkam kuat pemikiran barat. Justeru itu, elemen-elemen TQM ini diterima pakai dan diterapkan dengan meluas termasuklah di institusi-institusi pembangunan Islam. Sebagai ganti kepada asas falsafah materialistik TQM yang 'diketepikan', asas falsafah institusi pembangunan Islam digabungjalinkan dengan elemen-elemen teknikal TQM tersebut. Selain itu, dalil-dalil naqli yang bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah turut digariskan untuk memantapkan keyakinan terhadap aplikabiliti elemen-elemen ini di institusi-institusi pembangunan Islam.

Bila difikir-fikirkan, cukupkah sekiranya elemen-elemen teknikal tersebut sekadar dicantas daripada asas falsafah asalnya lantas digabungjalinkan dengan asas falsafah pembangunan Islam dan diselit-selitkan dengan dalil-dalil naqli untuk tujuan diaplikasi ke atas institusi pembangunan Islam? Sedangkan elemen-elemen teknikal itu terbentuk daripada acuan atau tasawwur pemikiran barat. Unsur-unsur yang menyumbang kepada kelahiran elemen-elemen tersebut atau epistemologinya juga terikat kuat dengan falsafah pemikiran barat. Unsur-unsur yang terangkum di dalam elemen-elemen tersebut atau ontologinya pula tiada beza dengan perspektif pemikiran barat. Nilai aplikasi elemen-elemen tersebut atau aksiologinya pula bertentangan dengan nilai-nilai Islam.

Seharusnya penelitian yang lebih terperinci mesti dilakukan sebelum mana-mana elemen teknikal yang lahir dari asas falsafah pemikiran barat atau terhasil dari paradigme barat diaplikasi terutama ke atas institusi pembangunan Islam – institusi yang lahir dari asas falsafah yang sama sekali berbeza dengan asas falsafah barat. [Ilustrasi dari bahan terbitan Karya One Sdn Bhd]