Saturday, September 20, 2008

PUJI DAN SYUKUR KE HADRAT ALLAH....

Tanggal 5 September 2008 merupakan penutup tirai kepada pengajian PhD saya. Dengan segenap kerendahan hati, dipanjatkan puji dan syukur pada Ilahi kerana telah mengizinkan dan mempermudahkan proses viva dan penghantaran tiga naskhah akhir tesis PhD saya kepada Institut Pengajian Siswazah, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Pengajian PhD saya yang telah mengambil masa genap enam tahun akhirnya dikurniakan dengan kejayaan yang cukup bermakna. Terasa hilang segala keperitan dan kepayahan yang dihadapi dalam proses menyiapkan tesis tersebut. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah... setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat-Nya atas nikmat dan rahmat-Nya yang tidak terhingga buat seorang hamba yang serba lemah dan banyak kekurangan.

Setinggi-tinggi penghargaan buat Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh selaku penyelia utama dan Prof. Madya Dr. Suhaiza Hanim Mohd. Zailani selaku penyelia bersama kerana tidak pernah jemu membimbing baik secara lahiriah mahupun secara rohaniah dan memberi tunjuk ajar serta mengemukakan cadangan-cadangan yang tidak ternilai di sepanjang proses penghasilan tesis ini. Segala komitmen dan perhatian yang ditunjukkan itu telah memberi dorongan kepada saya untuk terus gigih berusaha menyempurnakan kajian ini.

Penghargaan juga dirakamkan buat semua ahli jawatankuasa pengurusan, staf pentadbiran, felo, felo bersekutu, penyelidik-penyelidik bersekutu dan pelajar-pelajar Ijazah Tinggi di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di atas segala galakan, bantuan dan kerjasama yang telah diberikan. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak dan individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kajian ini. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas segala kebaikan yang telah dihulurkan.

Akhirnya, penghargaan teristimewa buat ayah, Haji Ahmad Haji Osman dan ibu, Hajjah Norishah Mat Thani atas doa restu, dorongan dan sokongan di sepanjang perjalanan kajian ini.

Detik-detik penting pengajian PhD saya;
01/06/2002 - pendaftaran pengajian
30/05/2008 - penyerahan tesis untuk pemeriksaan
28/08/2008 - peperiksaan viva
05/09/2008 - penyerahan naskhah akhir tesis.
Link berkaitan:
[Ilustrasi dari bahan terbitan Karya One Sdn Bhd].