Saturday, September 20, 2008

PUJI DAN SYUKUR KE HADRAT ALLAH....

Tanggal 5 September 2008 merupakan penutup tirai kepada pengajian PhD saya. Dengan segenap kerendahan hati, dipanjatkan puji dan syukur pada Ilahi kerana telah mengizinkan dan mempermudahkan proses viva dan penghantaran tiga naskhah akhir tesis PhD saya kepada Institut Pengajian Siswazah, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Pengajian PhD saya yang telah mengambil masa genap enam tahun akhirnya dikurniakan dengan kejayaan yang cukup bermakna. Terasa hilang segala keperitan dan kepayahan yang dihadapi dalam proses menyiapkan tesis tersebut. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah... setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat-Nya atas nikmat dan rahmat-Nya yang tidak terhingga buat seorang hamba yang serba lemah dan banyak kekurangan.

Setinggi-tinggi penghargaan buat Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh selaku penyelia utama dan Prof. Madya Dr. Suhaiza Hanim Mohd. Zailani selaku penyelia bersama kerana tidak pernah jemu membimbing baik secara lahiriah mahupun secara rohaniah dan memberi tunjuk ajar serta mengemukakan cadangan-cadangan yang tidak ternilai di sepanjang proses penghasilan tesis ini. Segala komitmen dan perhatian yang ditunjukkan itu telah memberi dorongan kepada saya untuk terus gigih berusaha menyempurnakan kajian ini.

Penghargaan juga dirakamkan buat semua ahli jawatankuasa pengurusan, staf pentadbiran, felo, felo bersekutu, penyelidik-penyelidik bersekutu dan pelajar-pelajar Ijazah Tinggi di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di atas segala galakan, bantuan dan kerjasama yang telah diberikan. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak dan individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kajian ini. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas segala kebaikan yang telah dihulurkan.

Akhirnya, penghargaan teristimewa buat ayah, Haji Ahmad Haji Osman dan ibu, Hajjah Norishah Mat Thani atas doa restu, dorongan dan sokongan di sepanjang perjalanan kajian ini.

Detik-detik penting pengajian PhD saya;
01/06/2002 - pendaftaran pengajian
30/05/2008 - penyerahan tesis untuk pemeriksaan
28/08/2008 - peperiksaan viva
05/09/2008 - penyerahan naskhah akhir tesis.
Link berkaitan:
[Ilustrasi dari bahan terbitan Karya One Sdn Bhd].

5 comments:

  1. Alhamdulillah syukur dan tahniah kepada Dr.Fadzila Azni Ahmad (DFAA) kerana telah lulus pengajian PhD dengan jayanya.Tambah gembira apabila kedudukan jawatan sebagai Pensyarah di PPSK menjadi semakin kukuh apabila telah memiliki ijazah PhD.Sesungguhnya kejayaan ini memberikan saya semangat untuk turut menghabiskan pengajian PhD dalam tempoh masa yang kita tetapkan sendiri. PhD adalah larian maraton. Yang penting bukan sampai dahulu ke garisan penamat lebih awal daripada orang lain, tetapi sampai dalam tempoh yang ditetapkan (tempoh pencalonan maksimum). Saya berpandangan membuat PhD dalam tempoh 6 tahun semestinya mempunyai lebih banyak pengalaman dan ilmu yang dapat ditimba berbanding dengan membuat PhD dalam tempoh masa kurang daripada masa itu. Ia kerana lebih lama membuat PhD, kita akan lebih cekal dan lebih bersemangat kerana kita tahu kejayaan semakin menghampiri kita. Lebih lama membuat PhD kita lebih bersedia. Lebih lama membuat PhD lebih banyak faktor dan sebab kegagalan kita perolehi dan alami, menjadikan PhD kita lebih bermakna dan bernilai. Yang penting setelah bergelar Doktor, orang akan melihat dan menilai samada kita kita menghargai doktor yang kita miliki. Semoga PhD yang dimiliki dapat digunakan untuk terus rajin menjalankan penyelidikan, menyelia pelajar dan memahami ilmu sebenar. Tahniah dan syabas diucapkan.
    (Dengan kejayaan DFAA (6 tahun & ada gred 1), tahap kelulusan untuk kami selepas ini akan manjadi lebih tinggi dan sukar untuk dikekalkan).

    ReplyDelete
  2. Tahniah atas kejayaan cemerlang sdri. Moga terus istiqamah dalam perjuangan..
    -yang mendoakan dr jauh-

    ReplyDelete
  3. ALFUN MABRUK! SEMOGA USAHA ANTI SENANTIASA DIREDHAI ALLAH!

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah... Tahniah! Semoga pencapaian ini menjadikan sdri di pandang sebagai mewakili kejayaan Islam.

    ReplyDelete
  5. Alhamdulillah, segala puji dan syukur kehadrat TUHAN, selawat dan salam kepada NABI, PARA SAHABAT & PEMBELA KEBENARAN serta salam kasih sayang kepada Che Sue. Tahniah diucapkan kerana berjaya mendapatkan PHD Che Sue. Semoga kebangkitan ISLAM semakin marak dan berkembang dgn kelahiran seorang mujahidah didalam bidangnya.
    - yang mengenali mu -

    ReplyDelete