Sunday, December 07, 2008

DAHULU DAN KINI...


Adelaide 1992: Saya jejaki kaki di bumi asing ini sebagai seorang bakal pelajar perubatan. Di sini saya ikuti kursus pra-perubatan bersama-sama lebih kurang 50 pelajar (saya kurang ingat bilangan sebenar... mungkin lebih daripada itu) dari Malaysia di bawah skim MATES (Malaysia-Australia Tertiary Education Scheme).

Adelaide 2008: Saya kembali ke bumi ini. Bukan sebagai ahli perubatan. Malah bukan juga sebagai ahli dalam bidang sains tulen. Tetapi sebagai seorang ahli sains sosial (mungkin belum layak disebut ahli). Mungkin lebih tepat sebagai seorang pengkaji... pengkaji dalam bidang Pengurusan Pembangunan Islam. Dan kehadiran saya di bumi ini kali ini adalah untuk menghadiri dan membentangkan kertas kerja dalam Persidangan 'Globalising Religion and Culture in the Asia Pacific' anjuran bersama University of Adelaide, University of South Australia dan Flinders University. Ketiga-tiga universiti ini pernah menjadi tempat saya 'berkursus pra-perubatan' lebih 15 tahun dahulu. Namun perasaan yang ada dalam diri sewaktu berada di bumi Adelaide ini kini, sewaktu melewati Rundle Street yang pernah 15 tahun lalu menjadi 'trek' saya dan rakan-rakan berkejar-kejaran kerana khuatir lewat memasuki kelas, sewaktu melewati Royal Adelaide Hospital (RAH) yang pernah saya dan rakan-rakan diami selama 2 minggu sebelum berpindah ke rumah sewa dan sewaktu melalui South Road di mana terletaknya rumah sewa yang didiami saya dengan empat rakan lain amat berbeza sekali.

Dahulu saya terlalu jahil tentang banyak perkara. Terutamanya tentang Islam, tentang iman, tentang akhlak malah juga jahil tentang Allah. Kini... saya masih lagi jahil tentang banyak perkara, namun pendedahan tentang iman, tentang Islam, tentang mazmumah dan mahmudah, tentang kasih sayang Allah, tentang perjuangan sedikit sebanyak telah menyapa diri. Alhamdulillah, puji dan syukur yang tidak terhingga pada Ilahi atas taufik dan hidayah-Nya.

Dan kehadiran saya di bumi Adelaide pada kali ini juga mencetuskan perasaan yang berbeza. Tak dapat diungkapkan perbezaan yang seperti apa. Namun perasaan itu sangat berbeza. Terima kasih wahai Tuhan kerana mengurniakan kesempatan ini... Kesempatan melihat keindahan bumi dan makhluk ciptaan Mu, kesempatan merasai kemanisan bermusafir dengan guru dan rakan seperjuangan, kesempatan menghirup silaturrahim rakan-rakan 'tuan rumah' yang melayani tanpa lelah, kesempatan memperkenalkan Islam dan Allah kepada kaum bukan Islam dan seribu satu kesempatan lagi. Terima kasih wahai Tuhan. Izinkan saya berkongsi keindahan dan kemanisan itu menerusi blog ini.

Pemergian ke Adelaide disertai oleh tiga orang dari ISDEV; Prof Syukri (Pengarah ISDEV), Dr. Zakaria dan saya sendiri...

Di Luar Lapangan Terbang Antarabangsa Adelaide

Kami bertolak pada 29 November jam 6.40 pm dari Pulau Pinang ke KLIA dan bertolak pula dari KLIA ke Adelaide jam 9.45 malam. Kami tiba di Adelaide International Airport jam 7.15 pagi, 30 November. Walaupun sewaktu kami tiba, Adelaide sedang mangalami musim panas, namun suhu pada waktu itu agak sejuk iaitu serendah 21^C.

Di airport Adelaide kami dan juga penumpang-penumpang lain disambut oleh 2 ekor anjing. Sebenarnya anjing tersebut ditugaskan menghidu beg-beg para penumpang untuk mengesan item-item terlarang yang tidak sepatutnya di bawa masuk ke Australia. Alhamdulillah, urusan imigresen kami untuk masuk ke Australia berjalan lancar. Kami terus mendapatkan teksi. Sekali lagi dengan rahmat Allah, kami mendapat teksi yang pemandunya seorang Muslim, Brother Sheikh Saiful Islam. Beliau merupakan warga India tetapi telah mendapat kerakyatan Australia. Banyak maklumat yang beliau berikan kepada kami di sepanjang perjalanan. Antaranya lokasi masjid di Adelaide, waktu solat, hal ehwal komuniti Islam di Adelaide dan sumber mendapatkan daging halal.


Prof Syukri dan Dr Zakaria bergambar bersama Brother Sheikh dan teksi beliau


Dari Airport kami terus ke Flinders Housing menaiki teksi Brother Sheikh. Flinders Housing merupakan kediaman Suziana, salah seorang bekas pelajar Prof Syukri. Beliau yang merupakan Fellow ASTS Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM kini melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di Flinders University. Kehadiran kami ke Adelaide memang telah dimaklumkan kepada beliau terlebih dahulu. Malah beliaulah yang bersusah payah mencarikan tempat kediaman buat kami sepanjang tempoh seminggu kami berada di Adelaide. Turut menanti kehadiran kami ialah Mastura, Fellow ASTS Pusat Pengajian Pengurusan, USM yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Canberra. Beliau akan turut menyertai Persidangan di Adelaide bersama kami.

Di Tempat Letak Kereta Flinders Housing

Sesampai sahaja di Flinders Housing iaitu rumah sewa Suziana, kami dihidangkan dengan Nasi Lemak, Puding Roti dan 'Cekodok'. Enaknya tak terkira. Bahkan sepanjang tempoh berada di Adelaide Suziana dan juga rakan-rakannya tidak putus-putus menghidangkan pelbagai juadah enak untuk kami. Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Allah kerana menghadirkan insan sebaik Suziana dan rakan-rakannya kepada kami di bumi asing ini.


Sambal ikan bilis, gulai ayam dan cekodok. Sedap sungguh cekodok tu.Di Malaysia pun belum tentu boleh dapat


Sedang menjamu selera di ruang tamu rumah Suziana


Setelah berehat beberapa ketika, kami ke Flinders Lodge untuk check-in bilik bagi Prof Syukri dan Dr. Zakaria. Saya pula menumpang di kediaman Suziana untuk sepanjang tempoh seminggu berada di Adelaide.



Sebaik tiba kami terus check-in

Lihat pada dinding rumah... Macam dalam filem Harry Porter kan???

Setelah urusan check-in bilik Prof Syukri dan Dr. Zakaria selesai, kami berjalan-jalan di sekitar Adelaide City.

Bandar Adelaide sangat tersusun, kemas dan bersih

Walau matahari memancar terik namun udara tetap nyaman dengan suhu dalam 23^C

Saat kami di sana persiapan meraikan perayaan Krismas sedang sibuk dilakukan

Di hadapan Unihouse, University of South Australia. Walau di tengah bandar masih boleh lihat bangunan milik Universiti.

Pak Polisi ala-ala cowboy.


Astaghfirullah... yang ini pun boleh dibuat hiasan

Tahu pun yang ia bukannya haiwan yang bersih...

1 comment: