Thursday, July 16, 2009

MUSAFIR INI - ENGLAND 27 JUN HINGGA 4 JULAI 2009 [LONDON]

Keesokan harinya - 28 Jun 2009, kami semua menuju ke kota London untuk meneruskan tugas menyelidik. Dari Oxford kami ke sana dengan menaiki bas. Sebelum tiba di stesen bas Oxford, kami memilih untuk berjalan kaki merentasi Cowley Road. Di sepanjang perjalanan kelihatan begitu banyak sekali restoran halal dan kedai runcit yang diusahakan oleh peniaga Muslim. Juga kelihatan sebuah masjid Bangladesh yang mungkin dibangunkan oleh penduduk Bangladesh Muslim di situ. Moga-moga Islam semakin meriah di bumi ini.


Setibanya di kota London, kami menuju ke setesen keretapi bawah tanah yang terletak di Marble Arch. Oleh kerana waktu Zuhur semakin hampir, kami mengambil keputusan untuk menunaikan solat terlebih dahulu sebelum ke mana-mana. Kami menunaikan solat jamak taqdim Zuhur bersama Asar di sebuah masjid yang terletak di Islamic Cultural Centre. Selesai solat kami makan tengahari di kafetaria di situ. Di Islamic Cultural Centre ini juga kami mulakan misi mencari bahan-bahan berkaitan dengan penyelidikan kami. Alhamdulillah banyak bahan yang diperolehi. Kami kemudiannya meneruskan misi di Book Plus yang terletak di Edgewear Road. Book Plus ini dimiliki oleh Br. Anas yang berasal dari Syria. Di Book Plus, kami dihidangi dengan jamuan ringan oleh Br. Anas diselangi kisah bagaimana bermulanya penglibatan beliau sebagai ahli perniagaan di UK.

Sedang menunggu giliran untuk membeli tiket di Stesen Marble Arch

Meneliti buku-buku terkini di kedai buku Islamic Cultural Centre

Bergambar bersama pengawal keselamatan di Islamic Cultural Centre yang juga merupakan pelajar universiti di London

Di Book Plus

Bersama Br. Anas

Di sebelah petangnya kami ke Hyde Park pula. Hyde Park ini terkenal dengan tradisi kebebasan bersuara yang ditegak menerusi Speaker's Corner. Suarakanlah tentang apapun, tiada siapa yang menghalangnya di sini. Kelihatan begitu ramai 'speakers' yang bertebaran di serata Speaker's Corner ini. Ada yang mampu menarik perhatian ramai dengan kepetahannya dan ada juga yang menarik perhatian ramai dengan aksi-aksi mereka. Pengunjung yang singgah silih berganti dari satu 'speaker' ke 'speaker' yang lain. Ada juga yang turut mengambil bahagian berdebat dengan 'speaker' untuk mengkritik pemikiran yang diucapkan. Walau apapun, sekiranya peluang yang ada ini dimanfaatkan sungguh-sungguh, Speaker's Corner ini berupaya menjadi satu medan dakwah yang sangat berpotensi bagi para pendakwah.

Perdebatan di antara ahli Sunnah Wal Jamaah dengan ahli Qadiani berkenaan kedatangan Nabi Isa di akhir zaman

Sebahagian pengunjung mendirikan solat Asar berjemaah

Setelah mengimami solat Asar berjemaah, penyampai menceritakan tentang kehidupan selepas mati dengan menghubung kaitkan kematian Michael Jackson

Kelihatan seorang wanita tanpa perasaan segan silu menawarkan pelukan percuma kepada sesiapa yang memerlukan
Hari hampir Maghrib sewaktu kami kembali ke Athena Guest House. Walau keletihan hati ini berasa begitu terhibur kerana banyak yang dapat disaksi, diperolehi dan diinsafi. Benarlah bak kata-kata, ilmu yang diperolehi dalam perjalanan tidak mungkin ditemui dalam mana-mana buku sekalipun.

4 comments:

  1. Assalamualaikum

    Kak Su tak hug orang yg bg pelukan percuma tu ke? Pernah tengok perkhidmatan pelukan percuma tu dalam oprah dulu

    ReplyDelete
  2. Taak... nak dekat pun rasa saspen. Semasa di Speaker’s Corner hari tu Prof ada beritahu yang ‘Free Hugs’ ini merupakan satu bentuk perjuangan. Akak balik search dalam internet dan baru dapat tahu ia merupakan satu gerakan yang diasaskan oleh seorang yang dikenali sebagai Juan Mann pada tahun 2004. Beliau mencetuskan hal ini kerana pada satu masa beliau dihimpit dengan perasaan tertekan dan kesunyian setelah ditimpa pelbagai masalah peribadi. Lalu beliau merasakan pelukan secara rambang adalah penyelesai kepada masalah jiwa tersebut dengan mengatakan "...I went out to a party one night and a completely random person came up to me and gave me a hug. I felt like a king! It was the greatest thing that ever happened." (Juan Mann (2007). “Spreading the Love” dlm. WHO Magazine, January 30).

    Betul seperti yang Wan kata, Juan Mann ini pernah dijemput dalam rancangan Oprah pada tahun 2006. Kini gerakan yang dimulakan oleh Juan Mann ini tersebar hampir ke serata dunia atas nama “Free Hugs Campaign”.

    Sebenarnya fitrah setiap orang memang inginkan kasih sayang. Cuma tidak semua yang mampu mencetuskannya kerana kasih sayang itu lahir dari hati yang penuh dengan mahmudah - saling memberi dan menerima, saling mengambil berat, saling maaf memaafkan, tidak berdendam dan tidak mementingkan diri sendiri. Tiada guna sebenarnya kalau hari ini berpelukan erat tetapi esoknya melakukan perkara yang mengundang sakit hati dan saling berdendam. Kalau dari sudut syariat pula nak dikupas panjang lebar lagi nie...

    ReplyDelete
  3. salam,
    tak perlu panjang. dipendekkan "bukan muhrim". Haram

    ReplyDelete
  4. Terima kasih sdr Roslan. Tepat sekali.

    ReplyDelete