Thursday, July 16, 2009

MUSAFIR INI - ENGLAND 27 JUN HINGGA 4 JULAI 2009 [ISLAMIC FOUNDATION, LEICESTER]

29 jun 2009 merupakan hari ketiga kami berada di UK. Mengikut perancangan, kami akan bertolak menuju ke Islamic Foundation yang terletak di Leicester City pada hari ini. Jaraknya sekitar 100km dari Oxford. Kami bercadang untuk pergi ke sana dengan menaiki keretapi. Pemilik Athena Guest House, Janet telah berbaik hati memanggilkan teksi untuk menghantar kami ke stesen keretapi. Selepas bersarapan, kami lantas check-out dan bersedia untuk bertolak meninggalkan Athena Guest House, Oxford. Apabila teksi yang dipanggil oleh Janet tiba, kami bergegas memasukkan bagasi ke dalam teksi. Kami berhasrat seboleh-bolehnya ingin tiba di Islamic Foundation sebelum jam lima petang agar memudahkan proses check-in penginapan di sana. Sementara kami menguruskan bagasi, Profesor Syukri berbincang dengan pemandu teksi tentang arah tuju kami. Apabila mengetahui tujuan kami, pemandu teksi tersebut lantas menyudikan diri menghantar kami terus ke Islamic Foundation pada tambang yang lebih murah berbanding menaiki keretapi. Terasa adanya pertolongan Allah buat kami. Alhamdulillah.


Mula berangkat meninggalkan Athena Guest House, Oxford untuk ke destinasi permusafiran seterusnya - Islamic Foundation, Leicester.

Perjalanan ke Leicester mengambil masa lebih sejam. Dalam perjalanan, Profesor Syukri yang duduk di sebelah pemandu teksi, Amjeet mengambil kesempatan berbual-bual. Sepertimana kebanyakan pemandu teksi di UK, Amjeet juga merupakan seorang Muslim. Beliau sebenarnya berketurunan Sikh. Di tengah perjalanan beliau memasang alunan rakaman zikir tariqat pegangan beliau. Namun, mungkin kerana diri keletihan, alunan rakaman zikir tersebut hanya kedengaran sayup-sayup. Tertidur. Apabila terjaga, teksi telahpun tiba di Islamic Foundation.

Destinasi penyelidikan kami, Islamic Foundation merupakan sebuah pusat pendidikan, pelatihan, penyelidikan dan penerbitan yang terkemuka bukan sahaja di UK tetapi juga di peringkat antarabangsa. Ia diasaskan oleh Profesor Khurshid Ahmad, seorang tokoh Jamaat-i-Islami yang juga ahli ekonomi Islam. Beliau kini merupakan Pengerusi kepada Islamic Foundation dan juga Pengerusi Lembaga Pengarah Markfield Institute of Higher Education (MIHE), sebuah institusi pengajian tinggi di bawah Islamic Foundation. Rektor MIHE ini ialah Dr. Manazir Ahsan. Beliaulah yang menyambut ketibaan kami di Islamic Foundation. Sebaik sahaja sampai, kami dibawa ke tempat penginapan dan dihidangkan dengan makan tengahari sesudah menunaikan solat berjemaah. Alhamdulillah, makan tengahari yang disediakan sungguh enak - nasi berlaukkan daging kambing. Bahkan di sepanjang tempoh tiga hari di sana makanan yang disediakan buat kami sungguh mewah dan istimewa sekali. Segala puji bagi Allah atas segala nikmat kurniaan-Nya.

Bahkan suasana di Islamic Foundation ini seakan terasa ada perbezaannya dengan tempat-tempat lain yang telah dilawati. Suasananya sungguh tenang dan damai sekali. Mungkin ada amalan-amalan penghuni di sini sehingga mengalir suasana penuh keberkahan itu ke dalam jiwa insan-insan lain yang turut berada di situ.


Di hadapan MIHE yang menempatkan sebilangan pelajar siswazah dari serata dunia termasuk tiga orang pelajar dari Malaysia yang sempat kami temui.

Di kedai buku Islamic Foundation

Sedang mutala'ah untuk tujuan penyelidikan di perpustakaannya.

Profesor Syukri berbual-bual dengan sahabat lama yang beliau kenali sewaktu belajar di Oxford University dahulu sambil diperhatikan oleh Dr Zakaria, Dr Zaini dan Dr Zahri

Menerima undangan makan tengahari bersama Profesor Khurshid Ahmad, Dr Manazir Ahsan dan lain-lain tenaga pengajar di MIHE

Rombongan ISDEV bergambar kenangan bersama Profesor Khurhid Ahmad dan Dr Manazir

Sekalipun sudah lebih 10 tahun lampau Profesor Khurshid Ahmad melawati ISDEV dan USM, namun ingatan beliau tentang ISDEV masih kuat.

Bergambar pada hari terakhir membuat kajian perpustakaan di Islamic Foundation

Bergambar bersama ketua pustakawan Islamic Foundation, Ms Humeyra

Di hadapan pejabat pentadbiran Islamic Foundation

Bersama Br. Muhammad Islam Fernandez. Banyak yang telah kami pelajari daripada beliau.

Semasa di Islamic Foundation satu perkara yang sungguh memberi kesan ialah pertemuan dengan Br. Muhammad Islam Fernandez. Pertemuan pertama dengan beliau adalah sewaktu beliau membawakan bagasi kami menuju ke tempat penginapan. Di waktu itu beliau juga menunjukkan arah untuk ke musolla, ke pintu keluar masuk dan juga ke tempat makan kepada kami. Sebarang keperluan kami beliau juga yang menyediakan. Orangnya sungguh berakhlak. Pertemuan seterusnya adalah apabila beliau mendatangi kami di Musolla, selepas menunaikan solat berjamaah dengan penghuni-penghuni Islamic Foundation yang lain, untuk memaklumkan makan tengah hari telahpun disediakan. Selesai makan, beliau jugalah yang mengemaskan tempat makan dan membasuh pinggan. Begitulah pertemuan-pertemuan yang seterusnya sehinggalah di hari terakhir kami di Islamic Foundation.

Di hari terakhir tersebut kami mengajak beliau untuk turut serta bersarapan bersama kami di ruang tamu tempat kami menginap. Dalam perbualan dengan beliau tahulah kami bahawa beliau pada asalnya merupakan penganut agama Kristian. Namun pegangannya terhadap Kristian sangat longgar. Titik tolak perubahan hidupnya berlaku apabila seorang rakan Muslimnya bertanya tentang kandungan Bible pegangan penganut agama Kristian. Beliau merasa terpukul kerana tidak mampu menjawab pertanyaan rakannya itu. Lantas beliau mula mendalami Bible. Walau bagaimanapun, menurut beliau, makin di dalami makin banyak percanggahan yang beliau dapati dalam ajaran Kristian. Beliau lantas mendalami pula agama-agama lain dengan niat mencari kebenaran. Pencarian tersebut akhirnya menemukan beliau dengan Islam dan seterusnya membawa kepada pengIslaman beliau. Beliau turut menjelaskan, sekalipun telah memeluk Islam, namun nama Kristiannya iaitu Fernandez masih terus dikekalkan. Apabila ditanya mengapa, beliau menjawab itulah strategi dakwah beliau. Nama Fernandez itu beliau niatkan sebagai alat untuk menarik orang ramai terutamanya golongan bukan Islam mendekati beliau sekali gus mendapat penjelasan tentang Islam apabila menyuarakan persoalan "mengapakah adanya nama Muhammad Islam bergandingan dengan Fernandez". Menurut beliau, ternyata peluang berdakwah menerusi strategi sedemikian sangat besar sekali kerana tidak sedikit golongan bukan Islam yang mendatangi beliau.

Br. Muhammad Islam mengatakan beliau sangat terpengaruh dengan kaedah dakwah Allaharyam Ahmad Deedat. Beliau memandang sasaran dakwah sebagai orang yang sedang sakit. Kata beliau, selaku pendakwah, yang secara analoginya harus memiliki pelbagai jenis ubat, perlulah mengetahui dan memahami sakit apakah yang sedang dideritai oleh sasaran dakwah kita. Ia penting untuk mengelakkan kita daripada silap memberi ubat kepada sasaran dakwah atau yang lebih parah lagi terlebih memberi ubat sehingga boleh membawa maut kepada mereka.

Bila difikir-fikir, sungguh mulia peribadi insan yang bernama Muhammad Islam Fernandez ini. Di dada beliau penuh sarat dengan ilmu, pada diri beliau penuh sarat dengan pengalaman dakwah namun beliau dengan penuh rendah hati bekerja sebagai care-taker di Islamic Foundation. Beliaulah yang mencuci pinggan mangkuk, menghidangkan makanan, menjadi insan yang terakhir tidur di Islamic Foundation untuk memastikan suasana selamat untuk para penghuni. Beliau jugalah yang menjadi insan yang pertama untuk bangkit dari tidur agar dapat menyediakan keperluan penghuni di waktu pagi hari. Muhammad Islam Fernandez merupakan satu bukti bahawa dengan Iman dan Islam, insan tidak akan menjadi jumud, beku dan lesu.

No comments:

Post a Comment