Sunday, August 16, 2009

MUSAFIR INI - ASAHAN (13 - 16 OGOS 2009)

Tanggal 14 dan 15 Ogos 2009 pihak Universitas Asahan, Sumatera Utara telah menjemput Profesor Syukri, Pengarah ISDEV untuk menyampaikan syarahan dan kertas kerja dalam pertemuan akademik anjuran mereka. Selain Profesor Syukri pihak jawatankuasa penganjur juga menjemput dua pensyarah dari ISDEV untuk turut serta sebagai 'Nara Sumber Pendamping'. Alhamdulillah saya diberi peluang oleh Allah untuk ikut serta di samping Dr. Zaini.

Profesor Syukri telah dijemput untuk menyampaikan Syarahan Umum yang bertajuk "Pembelajaran dari Hati ke Hati" untuk para dosen (pensyarah) Universitas Asahan pada 14 Ogos 2009 dan kertas kerja berkenaan Pendidikan Yang Berkualiti dalam seminar yang bertajuk "Pendidikan Berkualitas dalam Perspektif Manajemen Mutu dan Investasi" untuk hampir seribu orang pendidik di Asahan pada 15 Ogos 2009. Dr. Zaini dan saya pula diminta menjadi Nara Sumber Pendamping bagi Syarahan Umum Pembelajaran Hati ke Hati yang akan disampaikan oleh Profesor Syukri pada 14 Ogos.

Asahan, destinasi permusafiran kami kali ini terletak dalam 4 hingga 5 jam perjalanan menaiki kereta dari Medan. Oleh kerana hari telahpun lewat malam ketika pesawat Air Asia mendarat di Medan tanggal 13 Ogos 2009, maka kami bermalam di Medan terlebih dahulu. Mengikut perancangan, kami seharusnya bertolak ke Asahan pada keesokan paginya. Syarahan Umum tersebut dijadual bermula pada sebelah petang.

Di lobi hotel tempat kami menginap sewaktu di Medan

Bersama Pak Umry di Polonia

Ketibaan kami di Polonia Medan disambut oleh Pak Umry, pelajar PhD ISDEV di Medan. Beliaulah juga yang membawa kami ke Asahan menaiki kenderaan beliau. Sebenarnya Pak Umry merupakan pengantara pihak Jawatankuasa program di Asahan dengan pihak ISDEV. Kesemua urusan kami di Asahan dan juga Medan diuruskan oleh beliau. Alhamdulillah, berkat susah payah dan usaha beliau, banyak urusan kami yang dipermudahkan. Terima kasih wahai Tuhan kerana mengirimkan beliau.

Perjalanan dari Medan ke Asahan agak panjang. Jalannya juga agak sempit. Hanya ada satu lorong untuk setiap laluan. Gementar juga melihat Pak Umry memandu ala-ala Michael Knight memandu KITT di jalan yang sesempit itu. Namun Pak Umry kelihatannya tenang sahaja. Di sepanjang perjalanan ucapan-ucapan selamat menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak dan selamat menyambut kemerdekaan Republik Indonesia menghiasi pemandangan. Di satu ketika kami berkesempatan memerhatikan anak-anak Indonesia sedang membuat raptai perbarisan kemerdekaan. Selain itu, perjalanan ke Asahan turut dihiasi bangunan-bangunan yang menempatkan sarang burung layang-layang. Satu pemandangan yang baru bagi saya. Menurut Pak Umry, perdagangan sarang burung layang-layang merupakan aktiviti yang sangat aktif di sana.

Ucapan selamat menyambut kedatangan Ramadhan menghiasi pemandangan sepanjang perjalanan ke Asahan

Ucapan buat menyambut ketibaan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia yang akan berlangsung tanggal 17 Ogos

Kelihatan anak-anak sekolah sedang membuat raptai perbarisan kemerdekaan

Lagi raptai perbarisan kemerdekaan. Kelihatan beberapa botol teh manis yang mungkin buat menghilang dahaga setelah letih berbaris

Dua buah bangunan yang menempatkan sarang burung layang-layang di dalamnya

Terdapat lubang-lubang kecil di dinding bangunan untuk burung keluar masuk bangunan

Sesampai di Universitas Asahan (UNA), program Syarahan Umum Pembelajaran Hati ke Hati terus dimulakan. Walaupun kemudahan infrastruktur di UNA kekurangan dari banyak segi, namun ia tidak sedikitpun menghalang para dosennya untuk mendengar dan berkongsi ilmu berkaitan kaedah pengajaran dan pembelajaran menurut perspektif Islam dengan penuh minat. Bahkan mereka merasa cukup teruja menyambut ilmu tentang kaedah pengajaran-pembelajaran yang dijalankan di ISDEV. Memang begitu sifat rata-rata orang Indonesia. Mereka memang sangat mencintai ilmu.

Fakultas Teknik, UNA

Program-program pengajian di Fakultas Teknik, UNA tertera di papan tanda hadapan bangunan fakulti

Bersama dengan sebahagian dosen yang mengikuti Syarahan Umum yang disampaikan oleh Profesor Syukri

Bergambar kenangan bersama dengan dosen Muslimah UNA

Sesudah acara Syarahan Umum di UNA tamat, kami dibawa ke tempat penginapan kami untuk tujuan bermalam sebelum bermulanya program Seminar keesokan hari. Penginapan kami ini disediakan oleh pihak UNA sendiri. Kami ditempatkan di rumah tamu milik Bakrie Sumatera Plantations. Bakrie Sumatera Plantations ini merupakan sebuah perusahaan besar di Indonesia. Rumah tamu yang menempatkan kami memang cukup besar dan kelihatan mewah. Suasananya juga cukup nyaman dengan hembusan penghawa dingin yang dapat dirasakan hingga ke tulang. Dalam selang hanya beberapa minit sahaja kami merasai dua suasana yang cukup berbeza. Sebentar tadinya di UNA dan kini di kediaman milik Bakrie Sumatera Plantations.

Gerbang masuk ke rumah tamu Bakrie Sumatera Plantations

Ruang tamu kediaman yang menempatkan kami

Makan minum kami di sepanjang tempoh menginap disediakan oleh pembantu khas yang bertugas

Bergambar bersama pembantu khas rumah tamu

Keesokan harinya sebelum ke Seminar, kami dijemput untuk mengadakan perbincangan dengan Rektor UNA di pejabat beliau. Banyak perkara yang dapat diperoleh dan dikongsi bersama dengan beliau. Perbincangan kami tersebut diselangi sesekali dengan masalah keputusan bekalan elektrik. Menurut Rektor UNA, hal sebegitu memang kerap berlaku. Selesai perbincangan dengan Rektor UNA barulah kami berangkat ke lokasi Seminar.

Perbincangan dengan Rektor UNA
Sesampai di lokasi Seminar kami disambut dengan begitu banyak papan hiasan bunga kertas. Di Indonesia, papan hiasan bunga kertas seperti ini sangat popular bagi menggantikan banner yang biasa digantung di Malaysia untuk memaklumi umum tentang satu-satu acara

Selain Profesor Syukri, Seminar Pendidikan Internasional ini turut menyaksikan pembentangan dari wakil Bakrie Sumatera Plantations dan juga Rektor UNA sendiri
Wali kota Asahan merupakan tetamu kehormat Seminar. Beliaulah yang merasmi dan menutup Seminar ini. Beliau diperhatikan mengikuti Seminar ini sejak dari mula sehingga tamat selain turut melibatkan diri dalam perbincangan

Profesor Syukri bergambar bersama (dari kiri) Wakil Jawatankuasa Penganjur Seminar, Wali Kota Asahan, Wakil Bakrie Sumatera Plantations dan Rektor UNA

Selesai acara seminar kami dibawa oleh Pak Umry kembali ke Medan. Keesokan harinya kami menerima jemputan makan tengahari di rumah Pak Wardi, Timbalan Rektor UMSU dan pelajar PhD ISDEV di Medan. Sekaligus selepas itu kami mengadakan penyeliaan tesis bagi pelajar-pelajar siswazah ISDEV yang berada di Medan sebelum kembali ke tanahair pada petangnya.



No comments:

Post a Comment