Saturday, September 25, 2010

SEKALIPUN SEURAT BENANG

Viva PhD seorang teman, sdr Ahmad Azrin baru sahaja lewat beberapa hari lalu. Tatkala disampaikan keputusan setelah selesai proses viva terpamer raut terharu di wajah beliau. Tidak pasti apakah kisah di sebalik raut terharu tersebut. Mungkin beliau pilu memikirkan tiba saatnya berpisah dengan guru yang sangat beliau hormati dan kasihi kerana telah selesai pengajian. Atau mungkin kerana merasa terlalu bersyukur atas kejayaan yang dianugerahi Tuhan. Manakan tidak? Beliau telah diputuskan oleh jemaah pemeriksa untuk dianugerahi Ijazah Doktor Falsafah dengan kejayaan yang cemerlang.

Sdr Ahmad Azrin yang saya kenali merupakan seorang yang sangat cekal di sepanjang tempoh pengajiannya. Sekalipun berhadapan dengan bermacam bentuk kesulitan dan kepayahan namun tidak pernah sekali beliau mengeluh atau berputus asa dalam menyelesaikan pengajian beliau. Malah dalam berhadapan dengan pelbagai kesukaran itu, beliau dapat menyelesaikan pengajian dengan baik sekali. Mungkin ini merupakan hadiah kasih sayang Allah atas susah payah dan kesabaran beliau selama ini.

Selaku Mukmin memang sudah sunnatullah diuji. Dan, selaku seorang Mukmin juga dia diperintahkan untuk sabar. Dalam sebuah Hadith Qudsi, Rasulullah salallahu ‘alaihi wassalam bersabda, Allah Ta’ala berfirman;

Barangsiapa yang tidak bersyukur atas nikmat dari-Ku dan tak redha terhadap ketentuan-Ku serta tidak sabar atas musibah dari-Ku maka carilah Tuhan selain Aku.”


Amat berat ancaman Allah ini. Namun apabila seorang Mukmin itu bersabar dan redha atas mehnah yang menimpa, maka dia tergolong dalam golongan yang dinyatakan Rasulullah salallahu ‘alaihi wassalam menerusi Hadith Qudsi;

Aku hairan kepada orang Mukmin. Bila memperolehi nikmat dia mendapat pahala, bila ditimpa ujian pun mendapat pahala juga

Orang Mukmin itu apabila dia mendapat nikmat, dia bersyukur kerana dia tahu itu merupakan pemberian Allah dan Allah ingin mengurniakan pahala bersyukur padanya.

Apabila ditimpa ujian pula orang Mukmin bersabar dan redha. Dia tahu itu merupakan kerja Allah, dan itulah cara untuk menghapuskan dosanya. Dia juga faham itu merupakan peluang untuk Allah memberinya pahala sabar, pahala bighairi hisab dan juga dikurniakan kejayaan dan kemenangan sebagaimana janji Allah;

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)” (Aali ‘Imraan, 3:200).

Maka untuk beroleh kejayaan, seorang Mukmin itu baik dalam keadaan dilimpahi nikmat mahupun dilanda ujian tidak akan membiarkan dirinya terpisah dari Allah sekalipun dengan jarak seurat benang.


Sunday, September 19, 2010

JOM!!!

Wahyu terakhir untuk Rasul yang terakhir telah diturunkan di negara Arab, buat orang Arab dan dalam Bahasa Arab. Bermakna Islam sangat berkait rapat dengan Arab. Untuk itu, tidak keterlaluan kalau dikatakan sekiranya mahu kenali Islam tidak dapat tidak...


Mesti mengetahui Bahasa Arab

Mesti mengenali kehidupan orang Arab (khususnya Rasulullah salallahu 'alaihi wassalam, para sahabat dan solehin)


Oleh itu kiranya berpeluang, selagi ada daya dan kemampuan yang dikurniakan Allah...

Dalamilah Bahasa Arab - Bahasa al-Qur'an dan Hadith, bahasa Islam itu sendiri

Kembaralah ke negara-negara Arab - untuk mendekatkan diri pada Allah, untuk melihat kesan-kesan Islam yang ditinggalkan dan menemui pewaris-pewaris Nabi yang masih ada...

JOM!!!

Friday, September 17, 2010

ILAHI, MOHON RAHMAT DAN PETUNJUK-MU

Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk[al-Qasas, 28:56].


…sekiranya mereka itu berkumpul untuk memberikan mudarat kepadamu, maka mereka itu tidak akan mampu memudaratkan kamu walau dengan apa pun kecuali dengan apa yang telah ditetapkanNya ke atas kamu” Hadith riwayat Tirmidzi, hadith ke 19 di dalam hadith 40 An-Nawawi.



Dalam apa jua hal, Allah cukup berkuasa melakukan apa sahaja, membantu manusia dalam bentuk yang tidak terduga. Maka oleh itu haram hukumnya berputus asa dari Rahmat Allah.

Sunday, September 12, 2010

SALAM 'IDUL FITRI 1431H


Moga hati dan seluruh anggota kita berjaya dilatih, dididik dan ditarbiyyah serta dinaik taraf setelah berlalu sebulan Ramadhan.

Semoga Ramadhan yang telah kita lalui ini adalah yang terbaik buat kita semua di sisi Allah.


Dan sama-samalah kita berdoa agar masih diizinkan-Nya untuk bertemu Ramadhan yang akan datang. Amiin.

Thursday, September 02, 2010

LAYAKKAH BERGEMBIRA DI HARI RAYA?


Ramadhan 1431H hampir ke penghujungnya
Apakah al-Quran sempat dikhatam?
Apakah solat malam telah istiqamah?
Apakah zikrullah telah menjadi alunan hati dan basahan lidah?
Apakah sadaqah telah mendarah daging?
Apakah telah terhakis karat mazmumah?
Apakah tarbiyah Ramadhan telah dimanfaati?
Apakah diri telah kembali kepada fitrah?
Apakah…
Layak kita bergembira di Hari Raya nanti?