Saturday, September 25, 2010

SEKALIPUN SEURAT BENANG

Viva PhD seorang teman, sdr Ahmad Azrin baru sahaja lewat beberapa hari lalu. Tatkala disampaikan keputusan setelah selesai proses viva terpamer raut terharu di wajah beliau. Tidak pasti apakah kisah di sebalik raut terharu tersebut. Mungkin beliau pilu memikirkan tiba saatnya berpisah dengan guru yang sangat beliau hormati dan kasihi kerana telah selesai pengajian. Atau mungkin kerana merasa terlalu bersyukur atas kejayaan yang dianugerahi Tuhan. Manakan tidak? Beliau telah diputuskan oleh jemaah pemeriksa untuk dianugerahi Ijazah Doktor Falsafah dengan kejayaan yang cemerlang.

Sdr Ahmad Azrin yang saya kenali merupakan seorang yang sangat cekal di sepanjang tempoh pengajiannya. Sekalipun berhadapan dengan bermacam bentuk kesulitan dan kepayahan namun tidak pernah sekali beliau mengeluh atau berputus asa dalam menyelesaikan pengajian beliau. Malah dalam berhadapan dengan pelbagai kesukaran itu, beliau dapat menyelesaikan pengajian dengan baik sekali. Mungkin ini merupakan hadiah kasih sayang Allah atas susah payah dan kesabaran beliau selama ini.

Selaku Mukmin memang sudah sunnatullah diuji. Dan, selaku seorang Mukmin juga dia diperintahkan untuk sabar. Dalam sebuah Hadith Qudsi, Rasulullah salallahu ‘alaihi wassalam bersabda, Allah Ta’ala berfirman;

Barangsiapa yang tidak bersyukur atas nikmat dari-Ku dan tak redha terhadap ketentuan-Ku serta tidak sabar atas musibah dari-Ku maka carilah Tuhan selain Aku.”


Amat berat ancaman Allah ini. Namun apabila seorang Mukmin itu bersabar dan redha atas mehnah yang menimpa, maka dia tergolong dalam golongan yang dinyatakan Rasulullah salallahu ‘alaihi wassalam menerusi Hadith Qudsi;

Aku hairan kepada orang Mukmin. Bila memperolehi nikmat dia mendapat pahala, bila ditimpa ujian pun mendapat pahala juga

Orang Mukmin itu apabila dia mendapat nikmat, dia bersyukur kerana dia tahu itu merupakan pemberian Allah dan Allah ingin mengurniakan pahala bersyukur padanya.

Apabila ditimpa ujian pula orang Mukmin bersabar dan redha. Dia tahu itu merupakan kerja Allah, dan itulah cara untuk menghapuskan dosanya. Dia juga faham itu merupakan peluang untuk Allah memberinya pahala sabar, pahala bighairi hisab dan juga dikurniakan kejayaan dan kemenangan sebagaimana janji Allah;

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)” (Aali ‘Imraan, 3:200).

Maka untuk beroleh kejayaan, seorang Mukmin itu baik dalam keadaan dilimpahi nikmat mahupun dilanda ujian tidak akan membiarkan dirinya terpisah dari Allah sekalipun dengan jarak seurat benang.


No comments:

Post a Comment