Sunday, October 17, 2010

ACEH DETIK INI, ACEH DETIK ITU

Tanggal 9 hingga 12 Oktober yang lalu 25 warga ISDEV dikurnia kesempatan oleh Allah untuk ke Aceh. Kembara ke Aceh ini dianjurkan pelajar MISDEV10. Ia turut disertai 5 pensyarah dan 20 pelajar Sarjana dan PhD ISDEV. Pelbagai misi telah direncanakan di sepanjang tempoh berada di sana. Alhamdulillah, kesemuanya telah dapat dicapai dalam kembara tersebut. Satu daripadanya merupakan Wisata Spiritual Tsunami Aceh - musafir untuk membangun jiwa, mendekatkan diri dengan Tuhan dan mengambil iktibar dengan menyaksikan kesan-kesan Tsunami Aceh. Berikut ini merupakan daerah yang telah disinggahi di sepanjang wisata tersebut.

Masjid Rahmatullah di Lampuuk, Lhoknga merupakan salah satu daripada destinasi dalam Wisata Spiritual Aceh ini. Didirikan pada tahun 1997, masjid ini merupakan satu-satunya binaan yang bertahan di Lhoknga meski persekitarannya sama sekali musnah dilanda amuk ombak tsunami. Begitulah Kuasa Yang Maha Esa. Kini kawasan ini telah dibangunkan semula untuk penempatan dengan bantuan kerajaan dan Persatuan Bulan Sabit Merah Turki.

Masjid Rahmatullah, detik Oktober 2010

Masjid Rahmatullah detik selepas tsunami

Lampulo, satu lagi destinasi Wisata Spiritual Tsunami Aceh adalah sebuah perkampungan nelayan. Di sini tersergam sebuah kapal kayu yang agak besar ukurannya, terdampar di atas atap sebuah rumah penduduk yang hampir hancur. Kami bertuah kerana direzekikan oleh Allah untuk bertemu langsung dengan Pak Mujiburrizal, mangsa yang terselamat dan berjaya menaiki kapal ini semasa peristiwa tsunami 2004 untuk menceritakan pengalaman beliau. Kisah bagaimana kapal kayu ini menghampiri dan menyelamatkan beliau dan 24 orang sanak saudara dan jiran yang ketika itu merasakan sedang di ambang kematian sememangnya tidak terjangkau oleh akal manusia. Namun begitulah sekiranya Allah Berkehendak. Kapal kayu ini akhirnya memuatkan 59 insan yang ditakdirkan Allah untuk selamat semasa peristiwa tsunami tersebut. Kini kapal ini telah dibaik pulih dan dikekalkan di kedudukannya sebagai monumen bersejarah.
Di hadapan kapal kayu di Lampulo bersama Pak Mujiburrizal, dua dari kanan

Kapal kayu di Lampulo detik selepas peristiwa tsunami

Kapal Apung PLTD di Kecamatan Meuraxa, satu lagi ikon peristiwa tsunami yang telah disinggahi. Kapal ini sebenarnya didatangkan dari Kalimantan Barat ke Aceh untuk memenuhi keperluan bekalan elektrik warga Banda Aceh saat konflik sebelum berlakunya peristiwa tsunami. Dimaklumi bahawa berat kapal ini menjangkau lebih daripada 800 ton (menurut setengah sumber beratnya menjangkau 4,500 ton). Namun Kuasa Allah mengatasi segalanya. Kapal yang sebegitu berat dipindahkan dengan air - selembut-lembut ciptaan-Nya ke kawasan lebih 5 km dari pantai.

Kapal Apung PLTD detik dilawati warga ISDEV, Oktober 2010

Peta menunjukkan kawasan Kapal Apung PLTD mendarat detik selepas tsunami


Satu lagi destinasi wisata kami terletak di tengah-tengah Banda Aceh. Kebanggaan rakyat Aceh, Masjid Raya Baiturrahman ini dibangunkan semasa pemerintahan Sultan Iskandar Muda. Menurut sejarah, masjid ini pernah terbakar sebanyak dua kali. Kali pertama sewaktu pemerintahan Sultanah Nurul Alam, Ratu Naqiatuddin Shah manakala kali kedua sewaktu pertempuran kerajaan Aceh dengan Belanda. Namun, masjid ini teguh berdiri saat berlakunya tsunami Aceh sedangkan deretan kedai berhampirannya mengalami kerosakan teruk. Diceritakan keganasan ombak tsunami menjadi surut tatkala mencecah kaki tangga masjid. Seolah-olah alam berkata-kata - Ada Kuasa yang Menguasai kuasa. Dialah... DIA.

Di hadapan Masjid Raya, Baiturrahman detik Oktober 2010

Hadapan Masjid Raya Baiturrahman detik selepas tsunami

Di persisiran pantai UleeLhue tersergam sebuah lagi masjid yang menjadi saksi kekuasaan Allah. Mesjid Baiturrahim, sekalipun terletak berhampiran pantai namun struktur binaannya tidak rosak dan masih gah berdiri saat kami melawati. Di sini para peserta Wisata Spiritual Tsunami Aceh berkesempatan bertemu dengan seorang Bilal yang mengisahkan saat berlakunya tsunami beliau naik ke masjid dan melaungkan azan. Dengan Kehendak-Nya, keganasan ombak tsunami yang menghampiri terus menjadi surut. Tatkala itu terdetik hatinya untuk lari menyelamatkan diri. Dengan tidak semena-mena ombak tsunami yang sebelumnya surut tiba-tiba kembali mengganas dan menghanyutkannya. Beliau akhirnya selamat berkat laungan azan sekali lagi. Kini dalam Mesjid Baiturrahim ini disemat gambar-gambar semasa peristiwa tsunami yang cukup menginsafkan.


Pandangan hadapan Mesjid Baiturrahim, detik Oktober 2010

Gambar menunjukkan pandangan sisi keadaan Mesjid Baiturrahim detik selepas tsunami


Wisata Spiritual Tsunami Aceh cukup memberi kesan. Kuasa Yang Maha Esa telah serlah. Mehnah-Nya di Lampuuk, Rahim-Nya di Lampulo, Qudrat-Nya di sebalik Kapal Apung PTLD, Muhaimin-Nya di Masjid Raya Baiturrahman, Halim-Nya di UleeLhue. Tragedi enam tahun lalu hampir melumpuhkan pembangunan. Bukan kerana sabotaj, juga bukan pengganas, atau konflik dan tidak juga khianat. Manusia yang memerhati dan memikir pasti bertanya... Terlaksana Kuasa-Nya detik itu pasti ada sebabnya. Maha Suci Tuhan daripada menjadikan sesuatu dengan sia-sia.


Rujukan untuk maklumat tentang Aceh:

Saniah (2010). Memoriam Tsunami Dalam Polesan Wisata Islami. Diakses dari http://penyairmalam.blogspot.com.

Harleny Abd Arif (2010). Iktibar Tsunami. Diakses dari http://jejakmihrabmimbar.wordpress.com/

Wikipedia: The Free Encyclopedia

No comments:

Post a Comment