Thursday, November 04, 2010

SEKALI TSUNAMI MEMBADAI vs SERINGNYA AIR MENITIS

Ibu Asma' Abu Bakar berserta al-Qur'an dan tasbih beliau yang terselamat dari tsunami

Sewaktu di Aceh, warga ISDEV dipertemukan dengan Ibu Asma' Abu Bakar, bonda kepada Bapak Ridwan Nurdin. Terpegun mendengar kisah beliau tatkala tsunami melanda Aceh tidak berapa lama dahulu. Ibu Asma' menceritakan rumah beliau dilanda teruk badai tsunami. Sekalipun rumahnya tidak sampai musnah namun hampir keseluruhan harta benda dalam rumah beliau terjejas. Hanya empat perkara sahaja yang seolah-olah tidak tersentuh oleh tsunami yang mengganas. Itulah al-Qur'an yang sering dibacanya, tasbih bernilai 1 riyal yang dibeli di Makkah - juga merupakan tasbih yang sering digunakan, buku Qishasul Anbiya' dan 40 Hadith Imam Nawawi. Hairan bukan? Bagaimana ombak tsunami setinggi lebih 30 meter dan telah mengangkat sebuah kapal seberat 4,500 ton di Aceh seolah-olah tidak upaya 'mengapa-apakan' sebuah al-Qur'an dan seutas tasbih yang sebegitu ringan. Itulah lambang kekuasaan Pencipta. Itulah juga lambang kekuatan amalan yang istiqamah.



Rasulullah salallahu 'alaihi wassalam ada bersabda yang maksudnya "Amal yang paling disukai oleh Allah adalah amal yang dilakukan secara istiqamah, walaupun sedikit" [Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Sayyidatina 'Aisyah].

Sebenarnya amalan yang istiqamah itu lebih memberi kesan kepada jiwa. Berbuat sedikit tetapi beristiqamah - itu lebih mendidik. Jiwa yang keras apabila sering disirami dengan ibadah walaupun sedikit akan lembut juga. Jiwa akan lebih halus dengan Tuhan, lemah lembut sesama manusia, bahkan juga belas kasihan kepada haiwan.

Ibarat air yang menitis di atas batu. Walau sepejal mana sekalipun batu itu, lama kelamaan ia akan lekuk juga kerana tidak putus-putus air menitis di atasnya.

No comments:

Post a Comment