Saya begitu tertarik dengan siri Junior Masterchef Australia yang bersiaran di Astro dan baru sahaja mencapai kemuncaknya minggu ini. Juaranya juga telah dinobatkan. Entah mengapa saya begitu meminatinya. Mungkin kerana saya sememangnya sukakan makanan atau mungkin juga kerana berasa takjub dengan hidangan bertaraf ‛lima bintang’ yang dihasilkan dengan baik sekali oleh si kecil berusia antara 8 hingga 12 tahun.
Ataupun mungkin hati tertarik kerana melihatkan anak-anak kecil ini seolah-olah tidak pernah memikirkan mereka ini hanyalah punya ketinggian separas dapur. Malah terus-menerus sahaja mereka berusaha menghasilkan hidangan terbaik, jauh lebih baik daripada upaya usia mereka – secara adatnya. Seakan-akan usia, saiz dan kemudaan tidak pernah menjadi halangan buat mereka.
Sebenarnya, dalam catatan sejarah Islam terdapat anak-anak kecil yang jauh lebih berjiwa besar daripada mereka ini. Perhatikan kisah Nabi Daud ‛alaihissalam yang mencatatkan beliau telahpun ikut menyertai bala tentera Talut ketika berusia 9 tahun. Bahkan beliaulah yang membunuh Jalut sehingga memberi kemenangan kepada angkatan tentera Talut. Sayyidina Ali ibn Abi Talib pula tatkala mengetahui tentang Islam daripada Rasulullah salallahu ‛alaihi wassalam dan Sayyidatina Khadijah mengambil keputusan besar dengan memeluk agama tersebut pada usia 8 tahun sehingga menjadi kanak-kanak pertama memeluk agama Islam dan insan kedua selepas Sayyidatina Khadijah sebagai Muslim di celah-celah amuk Jahiliyyah tika itu. Imam Shafie radhiallahu ’anhu pula telah menghafaz al-Qur’an seawal usia 7 tahun. Pada usia 10 tahun pula beliau telah menghafal kitab al-Muwatta’ yang mengandungi 5,000 potong Hadith. Beliau hanya mengambil masa 9 malam sahaja untuk menghafal keseluruhan kitab tersebut.
Apakah sebenarnya rahsia mereka? Pepatah Arab ada mengatakan “Man Jadda Wa Jada” yang bermaksud “Barangsiapa yang bersungguh-sungguh akan mendapat apa yang diinginkan”. Bermakna, bukan faktor usia, bukan faktor kelebihan-kelebihan lain seperti kewangan, kesenangan, kelapangan masa, kedudukan pangkat dan lain-lain kemudahan. Tetapi faktor kesungguhan. Tanpa kesungguhan, sekalipun punya seluruh nikmat di dunia ini kejayaan tidak akan dikecapi. Sebaliknya, dengan kesungguhan kejayaan bisa dicapai. Kerana apa? Kerana di sisi Islam, orang yang bersungguh-sungguh ini sentiasa dalam perhatian Allah dan senantiasa akan ditunjukkan jalan sebagaimana firman Allah:
“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh pada jalan Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” [al-Ankabut, 29:69].
Lebih-lebih lagi kiranya kesungguhan ini berpasakkan iman, insya-Allah kekecewaan tidak akan menyapa kerana Allah SWT juga berfirman
“Dan janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi jika kamu orang-orang yang beriman” [Aali 'Imraan, 3:139].
Yakinlah dengan janji-janji ini.