Thursday, August 17, 2017

MENGURUS INSAN BUKAN MUDAH

Saya ambil artikel ini daripada facebook. Sangat berharga pada saya.




Farizah Shamsudin
Petang itu, dia mengamuk dalam kereta. Tendang dashboard. Campak kasut. Campak tudung. Talipinggang keledar pun tak mahu pakai. Suaranya meraung jelas kedengaran melalui tingkap yang terbuka. Andai kata berselisih dengan bintang soprano, mereka pun boleh kemurungan!
Saya buat tak peduli. Terus memandu dengan jiwa kental.
Tiba di sekolah Damia, saya parking kereta di tempat biasa. Dia masih begitu. Air mata bercucuran.
Saya sentuh tangannya. Laju dia tepis!
Opppsss...!
Okay. Biarkan dia sendiri layan perasaan.
Saya ON radio. Sambil dengar DJ berceloteh, saya pandang langit. Tengok burung terbang. Tengok daun bergoyang-goyang ditiup angin. Tengok awan nano-nano.
Kalau petang itu udara kering, hati saya lebih kering.
Puas renung langit, saya capai henfon. Melirik sekilas ke arah dia yang masih tersedu-sedan. Kepalanya terlentok di pintu kereta. Saya tunjuk satu gambar di Instagram..
"Syahindah kenal tak siapa ni? Kawan sekolah Syahindah kan? Apa entah nama dia?"
Dia jeling dengan ekor mata. Sepatah pun tak dilayan.
"Haaa... Akmal kan?"
Dia toleh semula. Muka macam tak puas hati. Sehinggalah kemudian, perlahan dia menjawab, "Ikram."
Fuhh! Tercabar juga rupanya bila saya salah sebut nama kawannya.
Saya tunjuk gambar lain.
"Ini? Syahindah kenal?"
Angguk.
"Syahindah tahu tak, nama aunt ni dekat-dekat nak sama dengan nama mama tau. Hmm.... tapi Syahidah tahu ke nama mama?"
"Farizah Shamsudin."
Laju dia jawab.
"Pandainya! Siap dengan nama tok wan!" Saya cubit pipi dia. Riak wajahnya bertukar bangga.
Gambar seterusnya....
"Ini? Siapa entah budak ni..."
Kali ini dia tersenyum simpul. Manis macam gula halus.
"Syahindah," jawab dia.
Dan dia semakin terlupa bahawa dia baru sahaja mengamuk sakan sebentar tadi.
Saya tarik tangan dia. "Jom duduk atas riba mama."
Dia panjat dan duduk atas riba saya. Kami bersempit-sempit di ruang pemandu yang terhad. Saya peluk dia ketat-ketat.
"Syahindah sedih ke tak dapat pergi kedai?"
Angguk.
"Mama tahu Syahindah nak sangat pergi kedai. Nak beli barang yang Syahindah suka kan?"
Angguk lagi.
"Tapi mama tak suka Syahindah ajak dan paksa mama pergi kedai tiap-tiap hari. Bukannya mama tak pernah bawa Syahindah langsung kan? Syahindah tahu tak... tidak semestinya semua yang kita nak dalam hidup, kita boleh dapat."
Fuhhh! Sempat berfalsafah. Harap dia faham...
Dia angguk lagi dan kali ini bibirnya terukir senyum.
Alhamdulillah. Tamat sudah drama budak tadika mengamuk dalam kereta.
***
Sasaran saya cuma satu. Semoga selepas ini, skrip yang akan saya dengar apabila ambil dia di sekolah nanti bukan lagi..."Mama, jom pergi kedai!"
Itu berlaku hampir setiap hari.
Kadang-kadang saya berjaya tepis.
Kadang-kadang saya ikutkan sahaja.
Kadang-kadang dia guna taktik minta abah yang ambilkan dia di sekolah.
Amboi!
Lepas ini, kalau dia buat juga, saya akan ulang perkara yang sama.
Biarlah dia nak marah atau mengamuk.
Biarlah orang nampak kejam.
Biarlah orang kata tak ada perasaan.
Buat masa ini, biar dia belajar melepaskan emosi dulu. Dah mahir yang ini, latih dia uruskan emosi pula. Sambil-sambil itu saya pun boleh belajar untuk diri sendiri.
Jujurnya, saya pun masih gagal dalam bab menzahirkan emosi.
Menzahirkan emosi bukan satu dosa yang membuatkan bila mati nanti kita akan terus dicampak ke neraka. Bukan juga sesuatu yang memalukan sehingga perlu disorok-sorok.
Ada juga orang yang memilih untuk memendam emosi. Tidak keterlaluan jika saya katakan ia ibarat menzalimi diri sendiri. Membawa beban emosi yang tidak terlepas, ibarat meracun jiwa secara senyap.
Namun begitu, membebaskan emosi dengan cara yang salah juga sangat tidak wajar dan boleh mengundang mudarat. Ibarat menyebarkan wabak penyakit.
Mempunyai emosi itu tanda kita masih ada perasaan. Jiwa kita masih 'hidup'.
Di sinilah letaknya keperluan kita untuk belajar cara mengurus emosi.
Tuhan cipta makhlukNya dengan begitu indah, dilengkapkan dengan 1001 emosi. Sebab itu haiwan pun pandai sayangkan anaknya. Marah apabila anaknya terancam. Sedih apabila anaknya hilang.
Yang membezakan kita dan haiwan adalah akal. Akal yang berperanan bantu kita menguruskan emosi dengan sebaiknya.
Sekarang ini terlalu ramai yang jiwanya 'sakit'. Namun, bukan 1OO% salah mereka.
Kadangkala, masyarakat yang mendidik mereka jadi begitu.
Yang suka menangis dikata lembik.
Yang tak suka menangis, dikata hati kering.
Yang suka marah, dikata kerasukan 'syaitoooonnn...'.
Tidak ramai yang datang membantu. Beritahu, tidak wajar buat begini, begitu.
Ujian emosi ini bukan setakat kepada orang yang mengalami, tetapi juga kepada orang yang memerhati.
Lalu, jika berhadapan dengan insan yang sedang dilanda emosi, apa yang boleh kita lakukan?
PERTAMA - Dengar.
Orang yang sedang emosi mahu didengari. Beri ruang untuk dia melepaskan apa yang terbuku. Jika caranya boleh mengundang bahaya kepada jiwa, maka abaikan atau tinggalkan dia sementara. Tutup mulut. Tapis telinga. Biarkan dia dengan dunia dia. Kita dengan dunia kita.
KEDUA - Faham.
Kenal pasti dan hormati perasaan dia. Tidak perlu perlekeh atau sindir. Mereka hanya mahu diri difahami dan orang tahu mereka ada 'hati'.
KETIGA - Urus.
Ini perlu kemahiran tahap paling tinggi. Ibarat menarik benang dalam tepung. Rambut jumpa, tepung pun tak berselerak. Antara yang boleh dilakukan...
+ Alihkan perhatian.
+ Beri penjelasan.
+ Berikan cadangan solusi - jika perlu.
***
Membiar diri dijajah emosi, itu tanda jiwa belum merdeka.
Melepas emosi membuta tuli, itu tanda kita tidak peka.
Apapun, penting untuk selamatkan emosi sendiri dahulu sebelum selamatkan orang lain. 😊
Farizah Shamsudin

No comments:

Post a Comment