Monday, December 18, 2006

PENGURUSAN KUALITI YANG LAZIM


Majoriti meyakini pelaksanaan kaedah pengurusan kualiti menyeluruh atau TQM dalam sesebuah organisasi atau jabatan dapat memberi kesan yang positif kepada organisasi atau jabatan. Benarkah?

Secara ringkas, TQM merujuk kepada penekanan pengurusan yang berkualiti ke atas keseluruhan organisasi. Ia menekan komitmen pihak pengurusan untuk mencapai kecemerlangan dalam kesemua aspek pengeluaran produk dan penawaran perkhidmatan. TQM bukan sahaja melibatkan pihak pengurusan atasan organisasi tetapi juga keseluruhan ahli organisasi, pihak pembekal dan juga pihak pelanggan organisasi.

Pelaksanaan kaedah pengurusan TQM yang berkesan pula didasarkan kepada prinsip-prinsip kualiti yang dikemukakan oleh W. Edwards Deming, Joseph M. Juran, Philip Crosby dan Bill Conway. Prinsip-prinsip yang dimaksudkan ialah seperti yang berikut (Oakland, 1996):

14 prinsip pengurusan kualiti menurut Deming

1. Mewujudkan azam ke arah penambahbaikan produk dan perkhidmatan
2. Menghayati falsafah baru demi mewujudkan perubahan
3. Memberi tumpuan terhadap incoming-process dan bukannya end-process
4. Mencapai kualiti menerusi hubungan dua hala dengan pembekal
5. Meningkatkan usaha-usaha penambahbaikan proses dalam setiap aktiviti
6. Mengadakan kaedah latihan moden untuk melahirkan kakitangan yang terlatih dan berkemahiran
7. Mengadakan kaedah penyeliaan dengan cara moden untuk mengajar dan melatih pekerja
8. Memberi galakan kepada pekerja supaya berinovatif dan produktif
9. Mengatasi halangan komunikasi di antara jabatan
10. Memansuhkan matlamat berangka untuk tenaga kerja
11. Menghapuskan piawai kerja dan kuota
12. Mengalihkan rintangan yang menghalang pekerja bekerja mengikut masa
13. Mewujudkan program pendidikan dan latihan untuk pekerja secara berterusan
14. Mencipta struktur pengurusan atasan yang berupaya merealisasi kesemua 13 prinsip di atas di dalam organisasi

10 prinsip penambahbaikan kualiti menurut Juran

1. Membina kesedaran tentang keperluan dan peluang untuk penambahbaikan
2. Menetapkan matlamat untuk penambahbaikan
3. Membuat tindakan untuk mencapai matlamat
4. Memberikan latihan
5. Menjalankan program untuk penyelesaian masalah
6. Melaporkan kemajuan yang dicapai
7. Memberikan pengiktirafan
8. Mensasarkan hasil yang boleh diukur
9. Mencatatkan pencapaian
10. Mengekalkan momentum dengan menjadikan penambahbaikan sebahagian daripada sistem tetap dan proses-proses syarikat.

14 prinsip penambahbaikan kualiti menurut Crosby

1. Menunjukkan dengan jelas bahawa pihak pengurusan adalah komited kepada pengurusan kualiti
2. Membentuk pasukan penambahbaikan kualiti dengan wakil dari setiap jabatan
3. Menentukan di mana letaknya masalah semasa dan masalah potensi
4. Menilai kos kualiti
5. Meningkatkan kesedaran kualiti di kalangan pekerja
6. Mengambil tindakan untuk membetulkan masalah yang dikenalpasti
7. Menubuhkan jawatankuasa bagi melaksanakan pengurusan tanpa kecacatan
8. Melatih penyelia untuk memainkan peranan secara aktif untuk penambahbaikan kualiti
9. Menganjurkan hari ”Tanpa Kecacatan”
10. Menggalakkan individu menetapkan matlamat penambahbaikan
11. Menggalakkan pekerja menyampaikan kepada pihak pengurusan halangan-halangan yang dihadapi untuk mencapai matlamat penambahbaikan
12. Mengiktiraf dan menghargai ahli organisasi yang mengambil bahagian dalam usaha penambahbaikan
13. Menubuhkan majlis kualiti untuk tujuan komunikasi
14. Mengulang langkah penambahbaikan untuk memberi konotasi penambahbaikan kualiti merupakan proses tidak berkesudahan.

6 alat penambahbaikan kualiti menurut Conway

1. Kemahiran hubungan manusia
2. Tinjauan statistik
3. Teknik statistik mudah
4. Kawalan proses statistik
5. Pembayangan / penggambaran sesuatu proses, tatacara atau pengendalian
6. Kejuruteraan perindustrian

Dengan mengharapkan ia dapat memberi kesan yang positif, prinsip-prinsip kualiti yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh kualiti ini cuba diaplikasi sebaik mungkin di dalam hampir setiap organisasi pada masa kini.

Secara sepintas lalu, prinsip-prinsip yang dikemukakan ini tampak amat positif untuk direalisasikan. Tidak hairanlah, ramai penulis Muslim berpandangan kaedah pengurusan ini juga harus dilaksanakan di dalam organisasi Islam. Alasan yang dikemukakan: hal yang sama juga ditekankan dalam Islam.

Melihat dari sudut operasional, alasan sedemikian sememangnya tidak dapat dinafikan. Walau bagaimanapun, sekiranya diambilkira aspek tasawwurnya, epistemologinya, ontologinya dan aksiologinya; kaedah pengurusan TQM ini jauh berbeza dengan apa yang dituntut di dalam Islam. Hal ini akan dibincangkan secara lebih terperinci dalam bahagian-bahagian berikutnya di dalam blog ini, Insya-Allah. [Ilustrasi dari bahan terbitan Karya One Sdn Bhd]

Monday, November 20, 2006

HANYA ELEMEN TEKNIKALNYA SAHAJA DIAPLIKASI

Sekiranya asas falsafah TQM yang berorientasikan aspek material semata-mata tidak selari dengan ajaran Islam, apakah umat Islam masih boleh menerimapakai elemen-elemen teknikal TQM? Apakah benar elemen-elemen teknikal ini tidak ada hubungkait dengan asas falsafah TQM yang terikat kuat dengan pemikiran-pemikiran barat?

Penghasilan produk tanpa kecacatan dan penawaran perkhidmatan yang tepat pada masa misalnya merupakan antara elemen teknikal yang sangat ditekankan dalam TQM. Elemen-elemen ini juga merupakan sebahagian elemen kualiti TQM yang diyakini majoriti umat Islam sebagai bersifat sejagat, bebas nilai dan tidak dipengaruhi oleh asas falsafah TQM yang dicengkam kuat pemikiran barat. Justeru itu, elemen-elemen TQM ini diterima pakai dan diterapkan dengan meluas termasuklah di institusi-institusi pembangunan Islam. Sebagai ganti kepada asas falsafah materialistik TQM yang 'diketepikan', asas falsafah institusi pembangunan Islam digabungjalinkan dengan elemen-elemen teknikal TQM tersebut. Selain itu, dalil-dalil naqli yang bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah turut digariskan untuk memantapkan keyakinan terhadap aplikabiliti elemen-elemen ini di institusi-institusi pembangunan Islam.

Bila difikir-fikirkan, cukupkah sekiranya elemen-elemen teknikal tersebut sekadar dicantas daripada asas falsafah asalnya lantas digabungjalinkan dengan asas falsafah pembangunan Islam dan diselit-selitkan dengan dalil-dalil naqli untuk tujuan diaplikasi ke atas institusi pembangunan Islam? Sedangkan elemen-elemen teknikal itu terbentuk daripada acuan atau tasawwur pemikiran barat. Unsur-unsur yang menyumbang kepada kelahiran elemen-elemen tersebut atau epistemologinya juga terikat kuat dengan falsafah pemikiran barat. Unsur-unsur yang terangkum di dalam elemen-elemen tersebut atau ontologinya pula tiada beza dengan perspektif pemikiran barat. Nilai aplikasi elemen-elemen tersebut atau aksiologinya pula bertentangan dengan nilai-nilai Islam.

Seharusnya penelitian yang lebih terperinci mesti dilakukan sebelum mana-mana elemen teknikal yang lahir dari asas falsafah pemikiran barat atau terhasil dari paradigme barat diaplikasi terutama ke atas institusi pembangunan Islam – institusi yang lahir dari asas falsafah yang sama sekali berbeza dengan asas falsafah barat. [Ilustrasi dari bahan terbitan Karya One Sdn Bhd]

Sunday, November 12, 2006

TQM - SALAHKAH?


Di sepanjang pengkajian dan pembacaan saya, penerimaan terhadap kaedah Pengurusan Kualiti Menyeluruh atau lebih terkenal dengan singkatannya, TQM adalah sangat meluas. Baik dari segi ilmiah mahupun dari segi amaliah, penerimaan terhadap kaedah pengurusan TQM cukup dominan ketika ini. Tidak hairanlah sekiranya diperhatikan pelaksanaan TQM seolah-olah dijadikan pra-syarat atau pengukur kepada baik buruknya pencapaian satu-satu institusi atau organisasi. Tidak ketinggalan institusi atau organisasi Islam sendiri. Begitu juga dengan penulis-penulis pengurusan dari kalangan umat Islam. Hampir kesemuanya menggalakkan pemakaian kaedah pengurusan TQM ini. Untuk memperkukuhkan saranan mereka, ayat-ayat al-Qur’an dan Hadith Nabi s.a.w. dipetik untuk dijadikan justifikasi terhadap perlaksanaan TQM.

Persoalannya, apakah tidak salah menerimapakai kaedah pengurusan yang berasal dari barat ini? Adakah TQM yang berakar umbi dari pemikiran barat ini benar-benar selari dengan perintah dan saranan yang terdapat di dalam ayat-ayat al-Qur’an dan Hadith-Hadith yang dijadikan asas untuk menjustifikasi kaedah TQM ini.

Tidak dinafikan bahawa Islam memerintahkan agar melaksanakan tiap sesuatu dengan cara yang terbaik. Itulah yang cuba ditekankan oleh pemikir-pemikir pengurusan Islam dalam menyarankan pemakaian kaedah TQM. Dari segi lahiriahnya, dari sudut pengoperasiannya dan secara teknikalnya, TQM sememangnya menekankan kesempurnaan. Walau bagaimanapun, apakah matlamat pencapaian kesempurnaan tersebut selari dengan ajaran Islam? Kesempurnaan yang ditekankan dalam TQM bermatlamatkan kepuasan pelanggan. Mengapa matlamat memuaskan hati pelanggan begitu penting sehingga apa sahaja yang dilakukan mesti dipastikan sempurna? Jawapannya; apabila kepuasan pelanggan dipenuhi, jualan dapat ditingkatkan. Apabila jualan dapat ditingkatkan, keuntungan dapat digandakan. Nah! Adakah ini matlamat kehidupan yang ditekankan dalam ajaran Islam? (Nota: Ilustrasi dari bahan terbitan Karya One Sdn Bhd)

Monday, November 06, 2006

ZALIMNYA


Beberapa hari lalu seorang kenalan menelefon saya untuk meluahkan permasalahannya. Dari nada suaranya dapat dirasakan penderitaan yang ditanggung dari permasalahannya itu amat berat. Masakan tidak, beliau seringkali dikasari oleh suaminya. Sekalipun beliau kini sudah bergelar ibu, namun sikap suaminya itu masih tidak pernah berubah.

Mengimbau sejarah di zaman Rasulullah s.a.w., Baginda pernah menegur seorang suami yang sering memukul isterinya seraya bertanya "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia." Sahut Rasulullah s.a.w. "Aku tidak bertanya alasanmu. Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"

Fahamlah kita bahawa sekalipun kedudukan suami di dalam rumahtangga adalah lebih tinggi, namun isteri juga mempunyai peranan yang sangat besar dan tidak seharusnya di pandang rendah.

Sebenarnya, dalam perundangan Islam, terdapat peruntukan yang membolehkan isteri menuntut supaya perkahwinan dibubarkan melalui fasakh sekiranya hal seumpama ini berlaku. Walau bagaimanapun, langkah yang lebih bijak ialah menangani permasalahan ini menerusi pendidikan iman dan ihsan, menanamkan nilai kasih sayang, bertolak ansur dan tidak mementingkan diri dalam diri setiap pasangan. Dalam erti kata yang lain, menanamkan rasa kehambaan dan rasa berTuhan di dalam diri.

Dalam pada itu, selain penderaan atau penganiayaan fizikal terhadap isteri yang semakin menjadi-jadi pada masa kini, terdapat satu lagi bentuk penderaan atau penganiayaan yang lebih serius iaitu mendera dan menganiaya akal dan rohani isteri. Apa yang dimaksudkan di sini ialah mengabaikan tuntutan akal dan roh isteri. Sedar atau tidak, kebanyakan suami pada hari ini hanya menitik beratkan tuntutan fizikal si isteri dan membiarkan akal si isteri kosong daripada ilmu-ilmu duniawi dan ukhrawi serta roh atau jiwa si isteri kosong daripada zikir dan tarbiah tentang rasa-rasa kehambaan dan rasa berTuhan. Penganiayaan ke atas akal dan roh sedemikian sebenarnya adalah lebih zalim berbanding penderaan ke atas fizikal. Mengapa? Sekiranya isteri dikasari secara fizikal, si isteri masih berpeluang mengecapi kebahagiaan di alam Akhirat sekiranya ia redha dan menyerah diri kepada Allah di samping berusaha menghadapi suaminya dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Tetapi, sekiranya akal dan rohani si isteri didera dan dianiaya, sudahlah di dunia merasa tidak bahagia kerana sering dihantui rasa tamak, hasad dengki, sombong, riya’ dan sebagainya; di Akhirat pula dihukum kerana mengekalkan sifat-sifat mazmumah tersebut di dalam diri. Moga-moga Allah memberi petunjuk kepada kita semua, Amin... (PTN: Ilustrasi dari bahan terbitan Karya One Sdn Bhd)

Tuesday, October 31, 2006

ALHAMDULILLAH

Alhamdulillah, hari ini saya diberikan ilmu tentang blogging oleh penyelia Tesis PhD saya, Profesor Muhammad Syukri Salleh. Profesor Syukri bukanlah merupakan pensyarah Teknologi Maklumat atau pensyarah di bidang pengkomputeran. Bidang kepakaran beliau ialah Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam. Namun pengetahuan beliau dalam hal-hal semasa amat luas. Banyak ilmu yang telah disampaikan kepada pelajar-pelajar beliau. Membangunkan blog ini merupakan satu daripadanya. Alhamdulillah, kerana Allah menemukan saya dengan penyelia yang sedemikian.

Apabila berjaya membangunkan blog ini, saya lantas bertanya kepada diri apakah perkara yang ingin saya catatkan di dalam blog ini? Apakah temanya? Dalam keadaan yang kesuntukan masa (kerana sibuk dengan penulisan tesis kedoktoran dan menguruskan dua buah kursus secara sambilan), tentunya tidak banyak catatan yang dapat dibuat. Lebih-lebih lagi, saya bukanlah merupakan seorang yang dapat menterjemahkan idea kepada tulisan dengan baik. Masih banyak yang perlu dipelajari. Setelah beberapa hari berfikir, akhirnya saya mengambil keputusan untuk menjadikan blog ini sebagai medan untuk mendalami lagi pengetahuan agama saya, medium buat membangunkan jiwa saya (medium buat membangunkan jiwa para pembaca juga, Insya-Allah) dan alat untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Moga-moga dengan itu, perjalanan kehidupan saya sehari-hari mendapat 'input-input' yang dapat meningkatkan keimanan saya. Terutama sekali dalam keadaan diri yang sibuk ini, sekurang-kurangnya saya dapat pastikan hati dan jiwa saya mendapat 'makanan' yang secukupnya dalam tempoh yang sepatutnya. Kerana, menurut Fathul Mansuli (kalau tidak silap saya) hati yang tidak diberi makan (dengan ilmu-ilmu yang haq) dalam tempoh 3 hari akan menjadi mati. Tentu menjadi kerugian pada diri saya sendiri (dunia dan Akhirat) dan juga kepada bangsa dan negara sekiranya saya kelak menjadi graduan kedoktoran di dalam bidang Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam tetapi punya hati yang mati... Wal ’iyazubillah. [Ilustrasi dari bahan terbitan Karya One Sdn Bhd]