Tuesday, June 02, 2009
Monday, May 25, 2009
Tuesday, March 31, 2009
Friday, March 06, 2009
INVITATION TO INGRAW 2009

CALL FOR PAPERS - 4TH ISDEV INTERNATIONAL GRADUATE WORKSHOP
CALL FOR NOMINATION - TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN BEST THESIS (MASTER & PHD) AWARDS
For further details, please visit INGRAW 2009 website: http://www.ingraw.usm.my/2009
Sunday, December 07, 2008
DAHULU DAN KINI...
Adelaide 1992: Saya jejaki kaki di bumi asing ini sebagai seorang bakal pelajar perubatan. Di sini saya ikuti kursus pra-perubatan bersama-sama lebih kurang 50 pelajar (saya kurang ingat bilangan sebenar... mungkin lebih daripada itu) dari Malaysia di bawah skim MATES (Malaysia-Australia Tertiary Education Scheme).Kami bertolak pada 29 November jam 6.40 pm dari Pulau Pinang ke KLIA dan bertolak pula dari KLIA ke Adelaide jam 9.45 malam. Kami tiba di Adelaide International Airport jam 7.15 pagi, 30 November. Walaupun sewaktu kami tiba, Adelaide sedang mangalami musim panas, namun suhu pada waktu itu agak sejuk iaitu serendah 21^C.
Di airport Adelaide kami dan juga penumpang-penumpang lain disambut oleh 2 ekor anjing. Sebenarnya anjing tersebut ditugaskan menghidu beg-beg para penumpang untuk mengesan item-item terlarang yang tidak sepatutnya di bawa masuk ke Australia. Alhamdulillah, urusan imigresen kami untuk masuk ke Australia berjalan lancar. Kami terus mendapatkan teksi. Sekali lagi dengan rahmat Allah, kami mendapat teksi yang pemandunya seorang Muslim, Brother Sheikh Saiful Islam. Beliau merupakan warga India tetapi telah mendapat kerakyatan Australia. Banyak maklumat yang beliau berikan kepada kami di sepanjang perjalanan. Antaranya lokasi masjid di Adelaide, waktu solat, hal ehwal komuniti Islam di Adelaide dan sumber mendapatkan daging halal.

Prof Syukri dan Dr Zakaria bergambar bersama Brother Sheikh dan teksi beliau
Dari Airport kami terus ke Flinders Housing menaiki teksi Brother Sheikh. Flinders Housing merupakan kediaman Suziana, salah seorang bekas pelajar Prof Syukri. Beliau yang merupakan Fellow ASTS Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM kini melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di Flinders University. Kehadiran kami ke Adelaide memang telah dimaklumkan kepada beliau terlebih dahulu. Malah beliaulah yang bersusah payah mencarikan tempat kediaman buat kami sepanjang tempoh seminggu kami berada di Adelaide. Turut menanti kehadiran kami ialah Mastura, Fellow ASTS Pusat Pengajian Pengurusan, USM yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Canberra. Beliau akan turut menyertai Persidangan di Adelaide bersama kami.

Sesampai sahaja di Flinders Housing iaitu rumah sewa Suziana, kami dihidangkan dengan Nasi Lemak, Puding Roti dan 'Cekodok'. Enaknya tak terkira. Bahkan sepanjang tempoh berada di Adelaide Suziana dan juga rakan-rakannya tidak putus-putus menghidangkan pelbagai juadah enak untuk kami. Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Allah kerana menghadirkan insan sebaik Suziana dan rakan-rakannya kepada kami di bumi asing ini.
Sambal ikan bilis, gulai ayam dan cekodok. Sedap sungguh cekodok tu.Di Malaysia pun belum tentu boleh dapat
Sedang menjamu selera di ruang tamu rumah Suziana
Setelah berehat beberapa ketika, kami ke Flinders Lodge untuk check-in bilik bagi Prof Syukri dan Dr. Zakaria. Saya pula menumpang di kediaman Suziana untuk sepanjang tempoh seminggu berada di Adelaide.
Sebaik tiba kami terus check-in
Walau matahari memancar terik namun udara tetap nyaman dengan suhu dalam 23^C
Saat kami di sana persiapan meraikan perayaan Krismas sedang sibuk dilakukan
Di hadapan Unihouse, University of South Australia. Walau di tengah bandar masih boleh lihat bangunan milik Universiti.

Astaghfirullah... yang ini pun boleh dibuat hiasan
Tahu pun yang ia bukannya haiwan yang bersih...
Saturday, September 20, 2008
PUJI DAN SYUKUR KE HADRAT ALLAH....
Tanggal 5 September 2008 merupakan penutup tirai kepada pengajian PhD saya. Dengan segenap kerendahan hati, dipanjatkan puji dan syukur pada Ilahi kerana telah mengizinkan dan mempermudahkan proses viva dan penghantaran tiga naskhah akhir tesis PhD saya kepada Institut Pengajian Siswazah, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Pengajian PhD saya yang telah mengambil masa genap enam tahun akhirnya dikurniakan dengan kejayaan yang cukup bermakna. Terasa hilang segala keperitan dan kepayahan yang dihadapi dalam proses menyiapkan tesis tersebut. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah... setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat-Nya atas nikmat dan rahmat-Nya yang tidak terhingga buat seorang hamba yang serba lemah dan banyak kekurangan.Setinggi-tinggi penghargaan buat Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh selaku penyelia utama dan Prof. Madya Dr. Suhaiza Hanim Mohd. Zailani selaku penyelia bersama kerana tidak pernah jemu membimbing baik secara lahiriah mahupun secara rohaniah dan memberi tunjuk ajar serta mengemukakan cadangan-cadangan yang tidak ternilai di sepanjang proses penghasilan tesis ini. Segala komitmen dan perhatian yang ditunjukkan itu telah memberi dorongan kepada saya untuk terus gigih berusaha menyempurnakan kajian ini.
Penghargaan juga dirakamkan buat semua ahli jawatankuasa pengurusan, staf pentadbiran, felo, felo bersekutu, penyelidik-penyelidik bersekutu dan pelajar-pelajar Ijazah Tinggi di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di atas segala galakan, bantuan dan kerjasama yang telah diberikan. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak dan individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kajian ini. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas segala kebaikan yang telah dihulurkan.
Akhirnya, penghargaan teristimewa buat ayah, Haji Ahmad Haji Osman dan ibu, Hajjah Norishah Mat Thani atas doa restu, dorongan dan sokongan di sepanjang perjalanan kajian ini.
Detik-detik penting pengajian PhD saya;
01/06/2002 - pendaftaran pengajian
30/05/2008 - penyerahan tesis untuk pemeriksaan
28/08/2008 - peperiksaan viva
Friday, August 08, 2008
TINTA TERHENTI SEKETIKA
Khusus buat pembaca setia blog ini (apa adakah???), penulisan blog ini akan terhenti buat beberapa ketika kerana saya perlu menyiapkan diri menghadapi viva bagi tesis PhD yang dijadualkan pada tanggal 26 Ogos 2008. Sebelum menghadapi viva yang sebenar, saya akan dipersiapkan untuk satu mock viva yang dijadualkan pada tanggal 15 Ogos 2008. Sunday, July 27, 2008
TAZKIRAH & MUHASABAH - KISAH NABI MUSA MENUNTUT ILMU
Kisah pertemuan dan pengajian Nabi Musa dengan Nabi Khidir a.s. dibentangkan dalam Al-Qur'an, Surah Al-Kahfi ayat 66-82.Kisah Nabi Khidir juga turut dinyatakan dalam Hadith Rasulullah s.a.w. Menurut Ibn ‘Abbas, Ubay bin Ka’ab menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya pada suatu hari, Nabi Musa berdiri di khalayak Bani Israil lalu baginda ditanya, “Siapakah orang yang paling berilmu?” Jawab Nabi Musa, “Aku.” Lalu Allah SWT menegur Nabi Musa a.s. dengan firman-Nya, “Sesungguhnya di sisiKu ada seorang hamba yang berada di pertemuan dua buah lautan dan sesungguhnya dia lebih berilmu daripada kamu.”
Lantas Nabi Musa pun bertanya, “Wahai Tuhanku, dimanakah aku dapat menemuinya?” Allah pun berfirman, “Bawalah bersama-sama kamu seekor ikan di dalam sangkar dan sekiranya ikan tersebut hilang, di situlah kamu akan bertemu dengan hambaKu itu.” Sesungguhnya teguran daripada Allah itu mencetuskan keinginan yang kuat dalam diri Nabi Musa a.s. untuk menemui hamba yang soleh itu. Di samping itu, Nabi Musa juga ingin sekali mempelajari ilmu dari hamba Allah tersebut. Nabi Musa kemudiannya menunaikan perintah Allah itu dengan membawa ikan di dalam sangkar dan berangkat bersama-sama pembantunya yang juga merupakan murid dan pembantunya, Yusya’ bin Nun ibn Ifra’im ibn Yusuf a.s. Mereka berdua akhirnya sampai di sebuah batu lalu kemudiannya berhenti untuk beristirehat setelah berjalan jauh. Secara tiba-tiba ikan yang berada di dalam sangkar itu meronta-ronta dan selanjutnya terjatuh ke dalam air. Dengan kuasa Allah SWT terbentuklah aliran air sehingga memudahkan ikan sampai ke laut. Yusya’ terpegun memerhatikan kebesaran Allah menghidupkan semula ikan yang telah mati itu.
Selepas menyaksikan peristiwa yang sungguh menakjubkan dan luar biasa itu, beliau tertidur dan ketika terjaga, beliau lupa untuk menceritakannya kepada Nabi Musa a.s. Mereka kemudiannya meneruskan lagi perjalanan siang dan malamnya hingga pada keesokan paginya, Nabi Musa berkata kepada Yusya’ “Bawalah ke mari makanan kita, sesungguhnya kita telah merasa letih karena perjalanan kita ini.” (Surah Al-Kahfi : 62)
Ibn ‘Abbas berkata, “Nabi Musa sebenarnya tidak merasa letih sehingga baginda melewati tempat yang diperintahkan oleh Allah supaya menemui hambaNya yang lebih berilmu itu.” Yusya’ berkata kepada Nabi Musa, “Tahukah guru bahwa ketika kita mencari tempat berlindung di batu tadi, sesungguhnya aku lupa (menceritakan tentang) ikan itu dan tidak lain yang membuat aku lupa untuk menceritakannya kecuali syaitan dan ikan itu kembali masuk ke dalam laut itu dengan cara yang amat aneh.” (Surah Al-Kahfi : 63) Nabi Musa segera teringat sesuatu, bahwa mereka sebenarnya sudah menemukan tempat pertemuan dengan hamba Allah yang sedang dicarinya tersebut. Kini, kedua-dua mereka berpatah balik untuk kembali ke tempat tersebut yaitu di batu yang menjadi tempat persinggahan mereka sebelumnya, tempat bertemunya dua buah lautan. Musa berkata, “Itulah tempat yang kita cari.”
Lalu keduanya kembali, mengikuti jejak mereka semula. (Surah Al-Kahfi : 64) Terdapat banyak pendapat tentang tempat pertemuan Nabi Musa dengan Nabi Khidir a.s. Ada yang mengatakan bahawa tempat tersebut adalah pertemuan Laut Romawi dengan Parsi yaitu tempat bertemunya Laut Merah dengan Samudra Hindia. Pendapat yang lain mengatakan bahwa lautan tersebut terletak di tempat pertemuan antara Laut Romawi dengan Lautan Atlantik. Di samping itu, ada juga yang mengatakan bahwa lautan tersebut terletak di sebuah tempat yang bernama Ras Muhammad yaitu antara Teluk Suez dengan Teluk ‘Aqabah di Laut Merah.
Setibanya mereka di tempat yang dituju, mereka melihat seorang hamba Allah yang berjubah putih bersih. Nabi Musa pun mengucapkan salam kepadanya. Nabi Khidir menjawab salamnya dan bertanya, “Dari mana datangnya kesejahteraan di bumi yang tidak mempunyai kesejahteraan? Siapakah kamu?”. Jawab Nabi Musa, “Aku adalah Musa.” Nabi Khidir bertanya lagi, “Musa dari Bani Isra’il?” Nabi Musa menjawab, “Ya. Aku datang menemui tuan supaya tuan dapat mengajarkan sebagian ilmu dan kebijaksanaan yang telah diajarkan kepada tuan.”
Nabi Khidir menegaskan, “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup bersabar bersama-samaku” (Surah Al-Kahfi : 67). “Wahai Musa, sesungguhnya ilmu yang kumiliki ini ialah sebahagian daripada ilmu kurniaan Allah yang diajarkan kepadaku tetapi tidak diajarkan kepadamu wahai Musa. Kamu juga memiliki ilmu yang diajarkan kepadamu yang tidak kuketahuinya.” Nabi Musa seterusnya berkata, “Insya Allah tuan akan mendapati diriku sebagai seorang yang sabar dan aku tidak akan menentang tuan dalam sesuatu urusan pun.” (Surah Al-Kahfi : 69) Nabi Khidir selanjutnya mengingatkan, “Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu pun sehingga aku sendiri menerangkannya kepadamu.” (Surah Al-Kahfi : 70)
Demikianlah seterusnya Nabi Musa a.s. mengikuti Nabi Khidir dan dalam perjalan tersebut terjadilah beberapa peristiwa yang menguji diri Nabi Musa a.s. yang telah berjanji bahawa baginda tidak akan bertanya sebab sesuatu tindakan diambil oleh Nabi Khidir. Setiap tindakan Nabi Khidir a.s. itu dianggap aneh dan membuat Nabi Musa ingin mempersoalkannya. Kejadian yang pertama adalah apabila Nabi Khidir menebuk perahu yang ditumpanginya mereka. Nabi Musa tidak dapat menahan hatinya untuk bertanya kepada Nabi Khidir lantas beliau terus bertanya. Nabi Khidir kemudian memperingatkan janji Nabi Musa, dan akhirnya Nabi Musa meminta maaf karena ketelanjurannya mengingkari janjinya untuk tidak bertanya terhadap setiap tindakan Nabi Khidir.
Selanjutnya setelah mereka sampai di suatu daratan, Nabi Khidir membunuh seorang anak yang sedang bermain dengan kawan-kawannnya. Peristiwa pembunuhan yang dilakukan oleh Nabi Khidir tersebut membuat Nabi Musa tidak dapat menahan dirinya untuk menanyakan hal tersebut kepada Nabi Khidir. Nabi Khidir kembali mengingatkan janji Nabi Musa, dan beliau diberi kesempatan terakhir untuk tidak bertanya-tanya terhadap segala sesuatu yang dilakukan oleh Nabi Khidir lagi. Dan jika beliau masih bertanya lagi maka Nabi Musa harus rela untuk tidak mengikuti perjalanan bersama Nabi Khidir.
Seterusnya mereka melanjutkan perjalanan hingga sampai di satu wilayah perumahan. Mereka kepenatan dan hendak meminta bantuan kepada penduduk sekitar. Namun sikap penduduk di kawasan tersebut tidak begitu mesra dan tidak mau menerima kehadiran mereka. Hal ini membuat Nabi Musa merasa kesal terhadap penduduk itu. Setelah dikecewakan oleh penduduk, Nabi Khidir malah menyuruh Nabi Musa untuk bersama-samanya memperbaiki tembok suatu rumah yang rusak di daerah tersebut. Nabi Musa menahan dirinya lagi untuk bertanya terhadap sikap Nabi Khidir ini yang membantu memperbaiki tembok rumah setelah penduduk menzalimi mereka. Akhirnya Nabi Khidir menegaskan pada Nabi Musa bahwa beliau tidak dapat menerima Nabi Musa untuk menjadi muridnya dan Nabi Musa tidak diperkenankan untuk terus melanjutkan perjalanannya bersama dengan Nabi Khidir.
Nabi Khidir turut menjelaskan mengapa beliau melakukan hal-hal yang membuat Nabi Musa bertanya. Kejadian pertama adalah Nabi Khidir membocorkan perahu yang mereka tumpangi karena perahu itu dimiliki oleh seorang yang miskin dan di daerah itu tinggallah seorang raja yang suka merampas perahu miliki rakyatnya.
Kejadian yang kedua, Nabi Khidir menjelaskan bahwa beliau membunuh seorang anak karena kedua orang tuanya adalah pasangan yang beriman dan jika anak ini menjadi dewasa dapat mendorong ibu bapanya menjadi orang yang sesat dan kufur. Kematian anak ini digantikan dengan anak yang soleh dan lebih mengasihi kedua ibu bapanya hingga ke anak cucunya.
Kejadian yang ketiga (terakhir), Nabi Khidir menjelaskan bahwa rumah yang dinding diperbaiki itu adalah milik dua orang adik-beradik yatim yang tinggal di kota tersebut. Di dalam rumah tersebut tersimpan harta benda yang diwarisi untuk mereka berdua. Ayah kedua adik-beradik telah meninggal dunia dan merupakan seorang yang soleh. Jika tembok rumah tersebut runtuh, maka ada kemungkinan harta yang tersimpan tersebut akan ditemukan oleh orang-orang di kota itu yang sebagian besar masih menyembah berhala, sedangkan kedua kakak beradik tersebut masih cukup kecil untuk dapat mengendalikan harta peninggalan ayahnya.
Pengajaran:
1. Ada kalanya guru yang ingin mendidik menetapkan syarat-syarat tertentu kepada anak muridnya. Syarat yang dikenakan kadang kala dalam pelbagai bentuk. Dalam kes Nabi Khidir ini, baginda mensyaratkan Nabi Musa agar tidak mempersoalkan tindakannya di sepanjang tempoh pembelajarannya. Dalam zaman sekarang ini antara syarat yang kebiasaannya dikenakan oleh seseorang guru antaranya adalah mesti menghadirkan diri dalam setiap kuliah atau mesti melaksanakan tugasan yang diberikan dan sebagainya. Sebagai murid, seharusnya syarat-syarat yang dikenakan oleh guru dipenuhi sedapat mungkin agar dengan itu proses pendidikan dapat berjalan dengan berkesan. Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud bahawa seseorang murid itu tidak mempunyai ruang langsung untuk berbincang dengan gurunya terhadap persoalan yang timbul atau permasalahan yang dihadapi dalam memenuhi syarat yang ditetapkan. Seseorang guru yang benar-benar mengambil berat tentang anak muridnya tentu sekali ingin mengetahui dan membantu menyelesaikan permasalahan anak muridnya sekiranya syarat yang ditetapkan itu tidak dapat dipenuhi. Lebih-lebih lagi anak murid adalah merupakan tanggungjawab dan amanah Allah kepada guru dan tanggungjawab tersebut akan ditanya di Akhirat kelak. Maka setiap permasalahan dan pencapaian anak murid akan dipertanggungjawabkan di atas bahu guru dan pendidiknya. Oleh yang demikian, dalam kes Nabi Musa dan Nabi Khidir ini dapat dilihat bahawa di akhirnya Nabi Khidir melayani segala persoalan yang timbul dalam fikiran Nabi Musa dengan menceritakan hikmah di sebalik tindakan beliau.
2. Kisah ini juga menunjukkan terdapat dua kaedah pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pertama adalah belajar secara rasionaliti dengan menjadikan akal sebagai alat. Kaedah inilah yang dilakukan oleh Nabi Musa dalam proses pembelajarannya dengan Nabi Khidir. Kaedah kedua pula adalah belajar menerusi ilmu yang tersirat atau dikenali sebagai ilmu ladunni dengan menjadikan hati yang bersih sebagai alat. Kaedah inilah yang dipakai oleh Nabi Khidir dalam usaha menyampaikan ilmu kepada Nabi Musa. Mana-mana satu kaedah ini tidak salah untuk dipakai dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun, sebaik-baiknya biarlah kedua-dua guru dan juga anak murid mengajar dan belajar dengan menggunakan kaedah yang sama. Sebenarnya, dalam kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir ini, terdapat hikmah di sebalik wujudnya perbezaan kaedah pengajaran dan pembelajaran di antara keduanya. Nabi Khidir merupakan seorang Nabi yang diberikan Allah ilmu dan tidak disyaratkan untuk diajar kepada orang lain serta tidak diwajibkan mempunyai pengikut. Maka ilmunya adalah untuk dirinya sahaja. Manakala Nabi Musa pula merupakan seorang Rasul yang dikurniakan Allah ilmu untuk dirinya dan untuk diajar kepada orang lain serta mempunyai pengikut. Maka ilmunya bukan sahaja untuk dirinya sendiri malah juga untuk pengikut-pengikutnya. Kaedah yang dipakai oleh Nabi Khidir dalam mengajar adalah lebih sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang Nabi manakala kaedah yang dipakai oleh Nabi Musa pula adalah lebih sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang Rasul.
3. Setiap murid harus patuh dan memelihara adab dengan gurunya. Setiap murid juga harus bersedia dididik oleh gurunya secara sepenuhnya iaitu dari awal hingga akhir. Walau bagaimanapun, untuk situasi sekarang, kepatuhan kepada guru adalah tertakluk kepada syariat Islam itu sendiri.
4. Dalam setiap bentuk perjuangan termasuklah dalam proses mendidik mesti ada strategi tertentu. Sebagai strategi, maka ia tidak pula wajib untuk dihebahkan atau diceritakan kepada orang lain. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Khidir. Dalam kisah ini diperhatikan ada strategi yang diperjuangkan oleh Nabi Khidir. Pertamanya, strategi menyelamatkan rakyat yang tertindas dari pemimpin yang zalim. Kedua, strategi menyelamatkan aqidah umat. Dan yang ketiganya, strategi menyelamatkan anak yatim daripada kerakusan orang-orang tamak. Oleh yang demikian, sebagai seorang murid mahupun pengikut, perlu patuh kepada guru mahupun pemimpin kerana setiap yang dilakukan ada strategi tertentu dan tidak kesemua strategi akan diceritakan kepada murid dan pengikut itu sendiri. Hal yang sama juga pernah dilakukan oleh Hassan al-Banna bila mana beliau memerintahkan kesemua pengikutnya mencukur janggut yang merupakan sunnah untuk disimpan. Tindakan Hassan al-Banna ini sebenarnya adalah untuk mengelabui mata pemimpin yang mahu menghancurkan perjuangan Islam dengan cara membunuh tiap pengikut gerakan Islam. Salah satu tanda ahli pejuang Islam yang diketahui oleh pemimpin diketika itu adalah mereka yang menegakkan sunnah Rasulullah s.a.w.
Bahan ini merupakan tazkirah yang disampaikan oleh Profesor Muhammad Syukri Salleh dalam kuliah SIW502, Program Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam dan diperkemaskan berdasarkan artikel bertajuk "Nabi Khidir" yang dicapai dari http://id.wikipedia.org/wiki/Nabi_Khidir.
Saturday, July 19, 2008
TAZKIRAH & MUHASABAH - KISAH IMAM AL-GHAZALI MENUNTUT ILMU
Suatu ketika Imam Ghazali bersembahyang jemaah dengan adiknya. Imam Ghazali menjadi Imam manakala adiknya menjadi makmum. Tiba-tiba semasa bersembahyang, adik Imam Ghazali mufarakah (keluar daripada menjadi makmum) dan bersembahyang sendirian.Setelah selesai menunaikan sembahyang Imam Ghazali terus bertanya kepada adiknya: "Mengapa ketika bersembahyang engkau meninggalkan aku dan bersembahyang sendirian"
Lantas adiknya menjawab; "Bagaimanakah aku hendak bersembahyang denganmu. Aku lihat tubuhmu penuh bersalut darah. Lantaran itulah aku bermufarakah dan sembahyang sendirian"
Mendengar jawapan adiknya itu Imam Ghazali terus berfikir dan lantas teringat bahawa memang benar, pada ketika itu beliau sedang menulis tentang permasalahan haidh. Dan, memang benar juga, terdapat satu saat semasa beliau menunaikan sembahyang pemikiran beliau terbawa-bawa oleh apa yang sedang beliau tulis itu. Dan saat itu jugalah Allah zahirkan apa yang sedang beliau fikirkan itu ke mata adiknya sehingga adiknya melihat tubuh badannya dipenuhi dengan darah.
Imam Ghazali terkejut lantas bertanya kepada adiknya; "Bagaimanakah kamu berupaya untuk melihat hal yang ghaib? Beritahulah kepadaku dari siapa kamu belajar ilmu ini"
Adiknya kemudian menjawab; "Engkau tidak layak belajar dengannya. Engkau orang yang masyhur, sedangkan guruku ini orang biasa sahaja"
Imam Ghazali terus mendesak sehingga akhirnya adik beliau bersetuju untuk membawanya berjumpa dengan gurunya itu. Di pasar, mereka mendatangi seorang penjual daging. Lalu adiknya memberitahu itulah guruku.
Imam Ghazali terus berkata kepada penjual daging;"Tuan, saya mohon untuk belajar ilmu dengan Tuan"
Penjual daging menggelengkan kepalanya lalu berkata; "Aku tidak ada ilmu untuk mengajar kamu"
Imam Ghazali merayu sekali lagi; "Ajarlah saya. Ajarkanlah saya ilmu yang Tuan tidak ada itu"
Penjual daging tetap enggan menunaikan keinginan Imam Ghazali itu. Akhirnya Imam Ghazali berkata kepada penjual daging tersebut; "Ajarlah saya. Saya serahkan diri saya kepada Tuan seumpama mayat menyerahkan diri kepada si tukang mandi"
Penjual Daging kemudian berkata; "Baiklah, tanggalkanlah jubah kebesaran kamu itu (jubah yang dipakai Imam Ghazali kerana beliau merupakan orang tertinggi di Universiti Nizamiyyah). Sapulah meja tempat aku memotong dan menjual daging ini dengan jubahmu itu."
Tanpa berlengah lagi Imam Ghazali terus menunaikan kehendak penjual daging tersebut tanpa sedikitpun merasa terkilan. Setelah selesai, beliau berkata lagi kepada penjual daging; "Ajarkanlah aku ilmu"
Penjual daging kemudian berkata;"Baiklah, esok datanglah ke rumahku selepas Subuh"
Tepat selepas Subuh keesokan harinya Imam Ghazali sudah sedia menanti sipenjual daging di hadapan rumah. Sebaik sahaja melihat Imam Ghazali beliau terus menyuruhnya memotong rumput di kawasan rumah. Imam Ghazali terus akur tanpa terdetik di dalam hatinya sedikitpun rasa terhina. Selesai menyiapkan tugas yang dipinta oleh penjual daging, Imam Ghazali pun mendatangi beliau, lalu mengulangi kata-kata;"Ajarkanlah aku ilmu"
Penjual daging berkata;"Baiklah, esok datanglah ke rumahku selepas Subuh"
Sama seperti hari sebelumnya, sebaik-baik sahaja selepas Subuh Imam Ghazali sedia menunggu di hadapan rumah penjual daging. Melihatkan Imam Ghazali, penjual daging meminta pula beliau mencuci longkang di sekeliling rumahnya. Imam Ghazali tetap taat menuruti perintah penjual daging.
Setelah selesai, Imam Ghazali berkata kepada penjual daging;"Wahai Tuan, kerja yang Tuan suruh telah dilaksanakan. Ajarkanlah aku ilmu."
Penjual daging berkata lagi;"Baiklah, datanglah kembali selepas Subuh esok"
Keesokan harinya hal yang sama juga berlaku. Kali ini penjual daging meminta Imam Ghazali menimba najis dari tandas beliau. Tugas yang ini juga dilaksanakan tanpa terselit sedikitpun perasaan terhina dalam hati Imam Ghazali.
Apabila selesai penjual daging tersebut berkata; "Segala ilmu yang kamu mahu telah kamu dapat. Pulanglah."
Dalam perjalanan pulang Imam Ghazali terkejut kerana mendapati pandangannya telah tersingkap dan beliau dapat melihat hal-hal yang ghaib.
Pengajaran:
1. Kita melihat Imam Ghazali sebaik sahaja mengetahui tentang sesuatu ilmu terus sahaja beliau mencari dan mendatanginya serta berusaha untuk mendapatkannya tanpa berputus asa. Tidak pula beliau mengambil sikap menunggu ilmu itu mendatangi beliau.
2. Perkara lain yang boleh dipelajari ialah ketaatan Imam Ghazali terhadap arahan gurunya. Apabila diminta datang selepas Subuh, beliau menghadirkan diri tepat pada waktunya. Tatkala diminta membuat pelbagai perkara, beliau akur tanpa banyak bersoal jawab bahkan tidak terdetik pun di dalam hatinya perasaan musykil dan prasangka terhadap gurunya. Sikapnya yang tawaduk dan menyerahkan diri bulat-bulat seumpama mayat menyerah diri kepada si tukang mandi agar dapat dididik sepenuhnya oleh gurunya inilah yang mendorongnya untuk mentaati tiap perintah, membuat segala yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh gurunya.
3. Dalam mendidik, penjual daging tersebut menumpukan kepada mengikis sifat-sifat mazmumah seperti ego dan menanamkan sifat-sifat mahmudah seperti tawadhuk dalam diri anak muridnya. Sifat-sifat mazmumahlah sebenarnya yang menghijab ilmu yang ingin dialirkan daripada sampai ke hati. Manakala sifat mahmudah merupakan kunci kepada kefahaman ilmu. Apabila hati bersih, hati mudah menerima ilmu. Dan dengan hati yang bersih dari sifat mazmumah ini juga menjadikan hati itu semakin tenang dengan banyaknya ilmu dan bukannya semakin berserabut.
Hasil daripada itu kita dapat lihat mengalirnya keberkatan ilmu dari gurunya itu kepada Imam Ghazali. Sehingga beliau berupaya menghasilkan tulisan yang agung, dapat menghafal lebih 100,000 hadith dan digelar Hujjatul Islam. [Ilustrasi dari bahan terbitan Karya One Sdn Bhd].
Bahan ini ditranskripsi dari tazkirah yang disampaikan oleh Profesor Muhammad Syukri Salleh dalam kuliah SIW502, Program Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam.
Saturday, July 12, 2008
TAZKIRAH & MUHASABAH - KISAH IMAM SHAFIE MENUNTUT ILMU
Imam Shafie merupakan salah seorang Imam Mazhab yang empat. Beliau mempunyai ketajaman akal dan kecerdikan yang luar biasa. Beliau telah menghafaz al-Quran seawal umur 9 tahun lagi. Setahun kemudian pula, beliau menghafal kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik. Beliau merupakan seorang yang sangat mencintai ilmu. Lantaran itu, pada satu hari beliau meminta izin daripada ibunya untuk keluar menuntut ilmu ke Madinah. Ia merupakan kali pertama Imam Shafie keluar daripada tempat kelahirannya, Makkah dan mengembara untuk meluaskan ilmu.Apabila tiba di Madinah, beliau terus menuju ke Masjid Nabawi dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Setelah selesai solat, beliau terpandang satu Majlis ilmu yang disampaikan oleh seseorang yang sangat hebat dalam masjid tersebut. Orang tersebut sedang bersyarah di hadapan begitu ramai anak-anak muda yang kesemuanya khusyuk mendengarnya. Orang itu ialah Imam Malik yang sedang mengajar murid-muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Dengan langkah yang tertib, Imam Shafie terus menuju ke tempat Imam Malik dan duduk bersama murid-murid beliau. Imam Shafie lantas mengambil sebatang lidi lalu membasahkannya dengan air liur. Beliau menulis segala apa yang diajar oleh Imam Malik tersebut di atas tapak tangannya. Tanpa di sedari, Imam Malik memerhati segala tingkah lakunya.
Selesai pengajian, Imam Malik pun memanggil Imam Shafie untuk menegur beliau. Sangkanya Imam Shafie berbuat perkara kurang sopan ketika belajar. Imam Malik bertanya kepada Imam Shafie, “Apakah kamu berasal dari Makkah”. Jawab Imam Shafie, “Benar”. Imam Malik kemudian bertanya, “Mengapakah engkau bermain-main dengan lidi dan air liurmu semasa aku sedang mengajar?”. Jawab Imam Shafie, “Maaf tuan. Sebenarnya saya tidak bermain-main. Oleh kerana saya tidak ada kertas dan pena, segala yang tuan ajar saya tulis di atas tapak tangan saya dengan menggunakan lidi dan air liur untuk saya menghafalnya”.
Apabila Imam Malik membelek-belek tangan Imam Shafie, beliau tidak menjumpai sebarang tulisan pun. Beliau terus berkata, “Tetapi kenapa tapak tangan engkau ni kosong sahaja”.
Kata Imam Shafie, “Benar tuan. Namun demikian tuan, saya telah pun menghafal semua hadis-hadis yang tuan riwayatkan itu”.
Setelah beliau disuruh membaca apa yang dihafalnya, Imam Malik mendapati tidak ada satu hadis yang tinggal daripada 20 hadis yang diajar hari itu. Perkara yang aneh ini belum pernah terjadi sebelumnya. Imam Malik begitu tertarik hati dengan kebijaksanaannya. Semenjak peristiwa itu, Imam Shafie dijemput untuk menetap di rumah Imam Malik sebagai tetamu sekali gus menuntut ilmu dengan Imam Malik. Selama 18 bulan Imam Shafie berguru dengan Imam Malik. Hatinya yang terang memudahkan beliau memahami dan menghafal kitab al-Muwatta’. Sehingga akhirnya, murid kesayangan Imam Malik ini sering diberi penghormatan bersyarah dan mengajar murid-murid yang lain.
Pengajaran:
1.Diperhatikan kehadiran Imam Shafie yang sedikit lewat dalam majlis ilmu Imam Malik telah sedikit sebanyak mengganggu perhatian Imam Malik untuk menyampaikan ilmu sepenuhnya. Lantaran itu, dalam menuntut ilmu sebaik-baiknya biarlah berada di dalam majlis seawal mungkin dan tepat pada masanya kerana sesungguhnya ilmu itu ditunggu dan bukannya menunggu. Hal ini juga dapat mengelak daripada penyampai ilmu dan penerima ilmu yang berada dalam majlis merasa terganggu dengan keterlewatan kita itu.
2. Dalam majlis ilmu, tumpuan perhatian yang sepenuhnya perlu diberikan kepada penyampaian ilmu. Apa sahaja perlakuan yang tidak berkaitan seharusnya dielakkan. Perlakuan Imam Shafie sahaja yang sedang mencatat isi pengajaran kuliah Imam Malik dengan menggunakan lidi dan air liur di atas tapak tangan pun sudah begitu mengganggu tumpuan Imam Malik untuk mengajar apatah lagi sekiranya ada anak-anak murid yang bercakap-cakap atau melakukan hal-hal lain yang tidak berkaitan semasa pengajaran.
3. Seorang pendidik yang baik akan mengenal pasti kebolehan dan keistimewaan anak muridnya dalam mendidik, agar dengan itu proses pendidikan dapat dilakukan dengan tepat, sesuai dengan kebolehan dan keupayaan murid tersebut. Menyedari kemampuan dan keistimewaan Imam Shafie, Imam Malik terus mengajak Imam Shafie ke rumah beliau untuk terus dididik dan dipertajamkan kebolehannya sehingga akhirnya ilmu tersebut dapat dimanfaatkan untuk kebaikan umat. [Ilustrasi dari bahan terbitan Multi Triple Vision Sdn Bhd].
Bahan ini ditranskripsi dari tazkirah yang disampaikan oleh Profesor Muhammad Syukri Salleh dalam kuliah SIW502, Program Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam.







Link berkaitan: