Monday, July 06, 2009

MUSAFIR INI - ENGLAND 27 JUN HINGGA 4 JULAI 2009 [HEATHROW & OXFORD]

Alhamdulillah, saya dikurniakan kesempatan oleh Allah untuk menyertai permusafiran ke England bersama dengan Profesor Syukri, pengarah ISDEV berserta Dr. Zakaria, Dr. Zaini dan Dr. Zahri - teman-teman seperjuangan dari ISDEV. Pemergian kami ke England adalah di atas tiket melakukan penyelidikan dan membentangkan kertas kerja di the International Conference on Islamic Perspectives on Management and Finance anjuran School of Management, University of Leicester. Melakukan penyelidikan, menghadiri serta membentangkan kertas kerja dalam persidangan adalah di antara keperluan asas dalam bidang akademik. Saya amat bersyukur kerana dapat melakukan tugas-tugas aradhi ahli akademik ini secara berjamaah. "Berjamaah itu rahmat" - Begitulah sabda Rasulullah s.a.w. dan hal ini jugalah yang cuba kami tegakkan. Lebih-lebih lagi bersyukur kerana dapat berjamaah dengan guru dan sahabat-sahabat yang berkongsi satu matlamat perjuangan, iaitu untuk meninggikan Islam melalui bidang akademik. Moga-moga pemergian kami ke England ini selain pemergian kami ke Medan sebelum ini dikira sebagai ibadah dan dikira sebagai penerus tradisi para sahabat dan salafussoleh yang berduyun-duyun keluar dari tanah kelahiran mereka untuk meninggikan Islam dan mendalami ilmu pengetahuan.

Permusafiran ke England ini bermula pada tanggal 26 Jun 2009. Kami bertolak pada jam 9.45 malam 26 Jun dan tiba di Lapangan Terbang Heathrow, London jam 6.50 pagi keesokan harinya.

Dari kiri ke kanan - Dr. Zakaria, Profesor Syukri, Dr. Zaini dan Dr. Zahri sedang menanti waktu untuk berlepas. Kelihatan sebahagian kami memakai topeng kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada jangkitan H1N1 yang sedang menular kini terutamanya di UK.

Awan nan putih bersih, langit membiru teguh berdiri tanpa tiang lambang kekuasaan Ilahi - pemandangan di atas pesawat

Sesekali kami dijengah oleh pesawat lain

Ucapan Selamat Datang ke kota London di luar kawasan Lapangan Terbang Heathrow

Bergambar sebaik selesai urusan menuntut bagasi

Alhamdulilah, pendaratan pesawat di London dan urusan imigresen berjalan lancar. Sebaik selesai urusan tuntutan bagasi, kami terus mendapatkan bas ekspres untuk ke Oxford, tempat penginapan kami untuk 2 malam yang pertama di UK. Perjalanan dari Heathrow ke Oxford mengambil masa lebih kurang 50 minit. Sesampai di Oxford kami menaiki teksi pula untuk ke Athena Guest House.

Bas yang kami naiki untuk ke Oxford City

Mula berangkat dari Stesen Bas Heathrow untuk ke Oxford City

Sesampai di Stesen Bas Oxford, kami menaiki teksi untuk ke tempat penginapan


Syukur pada Ilahi, tempat tinggal yang disediakan sangat selesa. Athena Guest House ini diuruskan oleh pasangan suami isteri yang datang dari China kira-kira 10 tahun yang lalu. Di UK adalah menjadi senario biasa melihat warga luar melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi dan perniagaan. Selain pasangan suami isteri dari China ini, begitu ramai lagi warga luar lain termasuk warga Timur Tengah, India dan Pakistan yang hampir kesemuanya Muslim mengendalikan pelbagai bentuk perniagaan dan kegiatan ekonomi yang berpotensi termasuk mengurus teksi, kedai cenderahati, kedai makan dan sebagainya. Untuk itu, restoran makanan halal misalnya merupakan pemandangan yang tidak asing lagi di sana. Tidak menghairankan sekiranya satu hari kelak umat Islam mampu menguasai kegiatan ekonomi di UK. Tentu lebih indah sekiranya umat Islam yang bersungguh-sungguh membangunkan kegiatan ekonomi di UK ini meniatkan pembangunan ekonominya kerana Allah.

Selepas check-in ke penginapan masing-masing dan menunaikan solat jamak taqdim Zuhur dan 'Asar, kami keluar menuju ke bandar Oxford. Bandar Oxford dihiasi dengan bangunan-bangunan lama tetapi terjaga. Antara yang kami lewati ialah Universiti Oxford dan bangunan Perpustakaannya, Oxford Centre for Islamic Studies dan Oxford University Press.










Penyelidikan kami di Oxford bermula dengan meneliti dan mendapatkan penerbitan berkaitan dan terkini dari kedai buku penerbit yang terkenal iaitu Blackwell. Di Malaysia jarang sekali kedai buku mengkhususkan satu bahagian untuk buku-buku pengajian Pembangunan - bidang yang berkaitan dengan bidang pengkajian saya. Namun di Blackwell, kami dipaparkan dengan hampir dua rak buku-buku tentang pengajian Pembangunan. Selain itu, di kedai buku ini juga dijual buku-buku lama. Saya telah memperoleh dua buah buku menarik berkenaan Epistemologi - salah satu aspek pengkajian saya yang diterbitkan pada tahun 1960-an pada harga yang sangat rendah. Alhamdulillah. Terasa begitu terhibur dekali.




Setelah selesai, kami menziarahi sebuah keluarga Muslim di Oxford, Br. Ibrahim dan Kak Nor - sahabat lama Profesor Syukri. Kak Nor merupakan warga Malaysia. Walaupun Kak Nor baru sahaja selesai menjalani pembedahan, beliau begitu bersungguh-sungguh melayani kami dengan penuh istimewa tanpa menghiraukan kesakitannya. Pasangan ini mempunyai tiga orang anak. Yang sulung, Maryam - seorang yang lemah lembut tetapi merupakan a strict Muslimah. Terpegun saya mendengar kisah beliau yang begitu bersungguh-sungguh menegakkan syariat dalam suasana tidak Islam di tempat kerja beliau. Moga-moga Allah merahmati mereka sekeluarga.


2 comments:

  1. assalamualaikum Dr, seronoknye bace perjalanan Dr kat Landon.... tgok Dr Zahri...serius kat kedai buku Blackwell...hehe

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam wrh wb Shafiq. Moga-moga senantiasa dalam lindungan Ilahi. Ya, Alhamdulillah kami dikurniakan rezeki untuk bermusafir ke sana. Didoakan agar satu hari nanti Shafiq juga dikurniakan kesempatan yang sama.

    ReplyDelete