Thursday, July 16, 2009

MUSAFIR INI - ENGLAND 27 JUN HINGGA 4 JULAI 2009 [UNIVERSITY OF LEICESTER, LEICESTER]

Setelah tiga hari berada di Islamic Foundation, tanggal 2 Julai kami berangkat menuju ke destinasi seterusnya iaitu University of Leicester. Kami ke sini untuk membentangkan kertas kerja dalam Conference on Islamic Perspectives on Management and Finance anjuran School of Management, University of Leicester.

University of Leicester, UK

Di sini kami sekali lagi berpeluang berjumpa dengan Profesor Khurshid Ahmad yang dijemput membentangkan ucap utama persidangan. Hari yang pertama menyaksikan pembentangan kertas kerja oleh Dr. Zakaria yang bertajuk "The Changes Of Product Structural In Islamic Banking: Case Study In Malaysia" dan Dr. Zahri yang bertajuk "Business Zakat Accounting and Taxation in Malaysia". Manakala Profesor Syukri, Dr. Zaini dan saya sendiri dijadual membentangkan kertas kerja pada hari yang kedua. Terbetik sedikit perasaan lega kerana masih punya peluang untuk membuat persediaan akhir pembentangan.

Profesor Khurshid Ahmad menyampaikan ucap utama persidangan

Profesor Syukri mempengerusikan pembentangan kertas kerja oleh Dr. Asyraf Wajdi Dato' Dusuki dari ISRA (International Shari'ah Research Academy for Islamic Finance)

Bergambar bersama sebahagian pembentang kertas kerja

Pelajar-pelajar PhD dari Malaysia yang menuntut di UK turut mengambil kesempatan untuk membentangkan kertas kerja dalam persidangan ini

Peserta dari Malaysia berbincang sementara dihidangi makan tengahari

Selain kudapan, makan tengahari dan minum petang, pihak penganjur turut menyediakan makan malam di salah sebuah restoran Muslim buat semua peserta persidangan

Mengadakan post-mortem selepas pembentangan oleh Dr. Zakaria dan Dr. Zahri

Di hari kedua Profesor Syukri, Dr. Zaini dan saya sendiri membentangkan kertas-kertas kerja yang bertajuk "Management of Islamic Development Approach: A Critical Analysis of the Management of Islam Hadhari in Malaysia", "The New Economic Policy As A Mechanism Of Islamic Conflict Management In The Multicultural Society: The Case Of Malaysia" dan "Total Quality Management (TQM) from Islamic Perspective: An Epistemological Analysis" masing-masing. Sekalipun ini merupakan pengalaman kedua membentangkan kertas kerja di peringkat antarabangsa, namun perasaan gementar masih tetap ada. Malah rasa gementar pada ketika ini lebih hebat berbanding semasa membentangkan kertas kerja di Adelaide, Australia tidak lama dahulu. Mengapa? Pertamanya, mungkin kerana di persidangan ini pembentangan tidak dibuat dalam bentuk sessi selari sebagaimana di Adelaide. Ini bermakna pembentangan kertas kerja akan disaksi dan dinilai oleh semua peserta persidangan di satu dewan yang cukup besar. Kedua, mungkin kerana jadual pembentangan agak lewat, maka pemikiran kebanyakan peserta persidangan telah dapat dibaca serba sedikit. Berdasarkan penilaian, diperhatikan peserta persidangan kebanyakannya masih melihat model-model dari Barat merupakan model contoh ikutan yang terbaik. Sedangkan kertas kerja yang akan dibentangkan ini akan mengkritik pemakaian model TQM Barat. Ketiga, sememangnya bercakap di khalayak bukanlah merupakan satu kegemaran. Apatah lagi apabila perlu bercakap dalam bahasa selain bahasa ibunda. Bahkan pengalaman kurang enak kali pertama membentang kertas kerja dalam bahasa Inggeris di pusat pengajian masih basah dalam ingatan. Keempat dan mungkin faktor yang paling utama - diri ini masih belum betul-betul membulatkan pergantungan pada Allah dalam setiap hal yang dilakukan. Moga Engkau mengurniakan keampunan wahai Tuhan, atas kelemahan ini.

Di celah-celah kegusaran itu kata-kata kiriman seorang teman yang masih terakam dalam telefon bimbit diulang baca buat kesekian kalinya:

"Courage is not the absence of fear but rather the judgement that something else is more important than fear".

Untuk itu, sejalur harapan dipanjatkan pada Ilahi agar apa yang disampaikan dalam pembentangan dapat memberi manfaat pada yang mendengar, juga pada yang menyampaikan - demi Islam. Sesungguhnya kuserah segalanya padaMu Tuhan.

Semasa pembentangan

Selesai pembentangan, Alhamdulillah

2 comments: