Profesor Syukri telah dijemput untuk menyampaikan Syarahan Umum yang bertajuk "Pembelajaran dari Hati ke Hati" untuk para dosen (pensyarah) Universitas Asahan pada 14 Ogos 2009 dan kertas kerja berkenaan Pendidikan Yang Berkualiti dalam seminar yang bertajuk "Pendidikan Berkualitas dalam Perspektif Manajemen Mutu dan Investasi" untuk hampir seribu orang pendidik di Asahan pada 15 Ogos 2009. Dr. Zaini dan saya pula diminta menjadi Nara Sumber Pendamping bagi Syarahan Umum Pembelajaran Hati ke Hati yang akan disampaikan oleh Profesor Syukri pada 14 Ogos.
Asahan, destinasi permusafiran kami kali ini terletak dalam 4 hingga 5 jam perjalanan menaiki kereta dari Medan. Oleh kerana hari telahpun lewat malam ketika pesawat Air Asia mendarat di Medan tanggal 13 Ogos 2009, maka kami bermalam di Medan terlebih dahulu. Mengikut perancangan, kami seharusnya bertolak ke Asahan pada keesokan paginya. Syarahan Umum tersebut dijadual bermula pada sebelah petang.
Di lobi hotel tempat kami menginap sewaktu di Medan
Bersama Pak Umry di Polonia
Ketibaan kami di Polonia Medan disambut oleh Pak Umry, pelajar PhD ISDEV di Medan. Beliaulah juga yang membawa kami ke Asahan menaiki kenderaan beliau. Sebenarnya Pak Umry merupakan pengantara pihak Jawatankuasa program di Asahan dengan pihak ISDEV. Kesemua urusan kami di Asahan dan juga Medan diuruskan oleh beliau. Alhamdulillah, berkat susah payah dan usaha beliau, banyak urusan kami yang dipermudahkan. Terima kasih wahai Tuhan kerana mengirimkan beliau.
Perjalanan dari Medan ke Asahan agak panjang. Jalannya juga agak sempit. Hanya ada satu lorong untuk setiap laluan. Gementar juga melihat Pak Umry memandu ala-ala Michael Knight memandu KITT di jalan yang sesempit itu. Namun Pak Umry kelihatannya tenang sahaja. Di sepanjang perjalanan ucapan-ucapan selamat menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak dan selamat menyambut kemerdekaan Republik Indonesia menghiasi pemandangan. Di satu ketika kami berkesempatan memerhatikan anak-anak Indonesia sedang membuat raptai perbarisan kemerdekaan. Selain itu, perjalanan ke Asahan turut dihiasi bangunan-bangunan yang menempatkan sarang burung layang-layang. Satu pemandangan yang baru bagi saya. Menurut Pak Umry, perdagangan sarang burung layang-layang merupakan aktiviti yang sangat aktif di sana.
Ucapan selamat menyambut kedatangan Ramadhan menghiasi pemandangan sepanjang perjalanan ke Asahan
Lagi raptai perbarisan kemerdekaan. Kelihatan beberapa botol teh manis yang mungkin buat menghilang dahaga setelah letih berbaris
Dua buah bangunan yang menempatkan sarang burung layang-layang di dalamnya
Terdapat lubang-lubang kecil di dinding bangunan untuk burung keluar masuk bangunan
Ruang tamu kediaman yang menempatkan kami
Makan minum kami di sepanjang tempoh menginap disediakan oleh pembantu khas yang bertugas
Bergambar bersama pembantu khas rumah tamu
Selesai acara seminar kami dibawa oleh Pak Umry kembali ke Medan. Keesokan harinya kami menerima jemputan makan tengahari di rumah Pak Wardi, Timbalan Rektor UMSU dan pelajar PhD ISDEV di Medan. Sekaligus selepas itu kami mengadakan penyeliaan tesis bagi pelajar-pelajar siswazah ISDEV yang berada di Medan sebelum kembali ke tanahair pada petangnya.